Di tengah lambakan band-band indie yang berlumba untuk menonjolkan identiti masing masing, kadang kadang yang paling memberi kesan bukanlah yang paling bising atau kompleks, tetapi yang paling jujur pada rasa. Di situlah Honeydazed mula mencuri perhatian. Dibentuk oleh Shah sebagai vokalis, bersama Anep di posisi lead gitar, Kamil sebagai rhythm gitar, Syafiq di bass dan Nasyat di drum, mereka hadir tanpa banyak gimik, dengan satu pendekatan yang sederhana tetapi ada jiwa; sesuatu yang perlahan-lahan melekat dan membuat pendengar berhenti seketika untuk benar-benar mendengar.
Single pertama mereka, “Jeans Biru” membawa sebuah cerita yang nampak mudah di permukaan, namun menyimpan makna yang lebih dalam. Ia berkisar tentang seorang lelaki yang ditinggalkan oleh wanita yang pernah dicintainya, tetapi apa yang tinggal selepas itu menjadi inti sebenar lagu ini. Kehilangan tidak digambarkan sebagai satu titik akhir, sebaliknya sebagai sesuatu yang berlarutan melalui kenangan yang enggan hilang. Objek kecil seperti seluar jeans biru itu menjadi simbol kepada perasaan yang masih terlipat rapi, walaupun masa terus bergerak ke hadapan.
Seperti yang dikongsi oleh penulis lagu, “Kehilangan dalam lagu ini bukan sekadar tentang seseorang yang pergi, tetapi tentang apa yang tinggal selepas itu. Benda kecil seperti bau, tempat dan barang jadi sesuatu yang paling susah untuk dilepaskan.” Petikan ini merangkum keseluruhan emosi yang cuba disampaikan dalam “Jeans Biru.”
Pendekatan penulisan ini memberi kekuatan kepada lagu. Ia tidak dramatik secara berlebihan, tetapi cukup dekat dengan realiti ramai pendengar. Siapa sahaja pernah melalui fasa di mana perkara kecil seperti bau, tempat atau barang lama tiba-tiba membawa kita kembali ke masa lalu. Honeydazed berjaya menangkap emosi ini dengan cara yang tenang tetapi tepat.
Dari segi bunyi, mereka menggabungkan tekstur dreamy dengan asas indie rock yang santai. Melodi gitar disusun dengan kemas, tidak terlalu sarat tetapi cukup untuk membina suasana. Groove yang relaks memberi ruang kepada vokal untuk bergerak secara natural, tanpa perlu dipaksa. Hasil produksi juga berada pada tahap yang baik, dengan mixing dan mastering yang smooth dan seimbang. Keseluruhannya menjadikan “Jeans Biru” sangat sesuai didengar ketika memandu, terutama dalam perjalanan yang panjang dan sunyi.
Malah, seperti yang mereka sendiri jelaskan, “Kita tak kejar sangat nak jadi kompleks, yang penting orang boleh rasa. Kalau orang dengar dan rasa macam lagu tu cerita pasal hidup dia, itu dah cukup.” Pendekatan ini jelas menjadi kekuatan utama Honeydazed.
Honeydazed menonjol melalui keutamaan mereka terhadap rasa berbanding aspek teknikal. Mereka tidak cuba menjadi terlalu kompleks atau eksperimental. Sebaliknya, setiap lagu disusun supaya mudah dirasai. Pendekatan ini memberi kelebihan kerana pendengar dapat melihat sebahagian diri mereka dalam lagu yang didengar.
Namun begitu, sebagai band yang masih baharu, Honeydazed jelas sedang berada dalam proses membentuk identiti mereka sepenuhnya. Arah itu sudah mula kelihatan, dan mereka juga memiliki aura tersendiri yang patut diketengahkan. Untuk melangkah lebih jauh, mereka perlu menjadi lebih berani dan agresif, sama ada dari segi penghasilan lagu atau kehadiran dalam persembahan secara langsung.
Menariknya, Honeydazed bukan sekadar band yang muncul secara kebetulan. Ia terbentuk daripada pertemuan semula rakan-rakan lama selepas zaman universiti yang berkongsi cita rasa muzik yang sama. Dari situ lahir keinginan untuk membina sesuatu yang benar benar mencerminkan diri mereka. Nama Honeydazed sendiri membawa makna yang selari dengan muzik mereka, gabungan rasa manis dan keadaan yang sedikit kabur, seolah olah terperangkap antara kenangan dan realiti.
Dengan beberapa lagi lagu yang sudah tersedia dan perancangan untuk terus aktif sepanjang tahun ini, “Jeans Biru” hanyalah langkah pertama. Jika momentum ini dapat dikekalkan dan diperkukuhkan dengan langkah yang lebih berani, Honeydazed berpotensi untuk menjadi salah satu nama yang memberi warna dalam scene indie tempatan.
Ikuti Honeydazed di: