
Fenomena muzik Peterpan bakal kembali menggegarkan Malaysia menerusi konsert “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” yang akan berlangsung pada 11 Julai 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Konsert yang dianggap antara acara nostalgia paling dinantikan tahun ini itu bakal menghimpunkan semula lagu-lagu ikonik Peterpan yang pernah menjadi soundtrack kehidupan ramai peminat di Malaysia dan Indonesia.
Antara lagu yang dijangka menghidupkan malam penuh emosi itu termasuk “Semua Tentang Kita”, “Mimpi Yang Sempurna”, “Yang Terdalam” dan “Ada Apa Denganmu”.
Pihak penganjur sebelum ini menerima sambutan luar biasa selepas pengumuman rasmi pertama dibuat pada 28 April lalu, sekali gus mencetuskan gelombang keterujaan besar dalam kalangan peminat di media sosial dan komuniti muzik serantau.
Lebih istimewa, konsert ini turut menampilkan kemunculan semula anggota pengasas Peterpan iaitu Ilsyah Ryan Reza, Loekman Hakim, Andika Naliputra dan Indra yang bakal menghidupkan kembali legasi muzik kumpulan legenda Indonesia itu di atas pentas.
Turut memeriahkan konsert ialah barisan artis terkenal Indonesia dan Malaysia termasuk Marcello Tahitoe (Ello), vokalis kumpulan Dewa, Tantri Syalindri daripada Kotak, Rony Parulian, Arda Hatna serta penyanyi Malaysia, Hael Husaini.
Menurut pihak penganjur, konsert tersebut bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebuah perjalanan emosi yang menghubungkan semula peminat dengan memori zaman sekolah, cinta pertama, persahabatan dan pelbagai fasa kehidupan yang pernah ditemani lagu-lagu Peterpan.

Sambutan terhadap penjualan tiket juga dilihat sangat memberangsangkan apabila kategori CAT 3 serta semua pakej Royal Box dilaporkan telah habis dijual sejak jualan dibuka pada 8 Mei lalu.
Pihak penganjur turut memaklumkan bahawa baki tiket terutama kategori premium kini sedang dijual dengan pantas susulan permintaan tinggi daripada peminat Malaysia dan Indonesia.
“Apa yang menjadikan Peterpan begitu istimewa bukan sekadar lagu-lagunya, tetapi memori yang melekat bersama lagu tersebut. Ramai bukan sekadar membeli tiket untuk menonton persembahan, tetapi untuk merasai semula satu perasaan,” kata wakil penganjur.
“The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” akan berlangsung pada 11 Julai 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya. Tiket kini boleh didapati menerusi platform rasmi Ticket2U dan Fantopia.