
Dari kiri: Zakuan, Elinyson, Sandro, Kopi, Mior dan Adams
“Palat sia hidup…”
Itulah bait yang terngiang-ngiang di telinga penulis daripada Smesta sewaktu mula mengenali unit ini melalui single Kota Sengsara, sebuah karya yang berkisarkan seksanya hidup di ibu kota yang penuh dengan tipu daya dan kepalsuan. Lagu tersebut bukan sekadar nyanyian, tetapi luahan sepi dari hati tentang realiti yang sering disembunyikan di sebalik kota yang tidak pernah tidur ini.
Selepas mencipta impak awal itu, Smesta terus mengukuhkan nama dalam skena muzik alternatif tanah air dengan rilisan EP Rotten Fantasy serta album penuh Bertemu Lagi Di Taman Bahagia. Kedua-dua karya ini memperlihatkan kematangan bunyi dan penulisan lirik yang sarat dengan refleksi senario yang berlaku dalam komuniti, keresahan generasi dan konflik dalaman yang sering melanda anak muda.

meneruskan momentum mereka secara konsisten menerusi EP terbaharu berjudul Smesta Maju yang memuatkan lima buah trek. Setiap lagu hadir sebagai luahan jiwa yang jujur, mentah dan sarat dengan emosi, menjadikan karya ini lebih daripada sekadar himpunan lagu. Smesta Maju turut berfungsi sebagai gambaran perjalanan getir seseorang, sekali gus seolah-olah menjadi kesinambungan kepada dua rilisan terdahulu mereka, iaitu EP dan album yang pernah diterbitkan sebelum ini.
Menerusi karya ini, Smesta membuktikan bahawa mereka bukan sekadar unit sementara dalam arus muzik bawah tanah, sebaliknya sebuah suara yang mewakili keresahan dan perjuangan anak muda dalam berdepan realiti kehidupan. Vokalisnya, Kopi, menjelaskan bahawa Smesta masih berada dalam keresahan yang sama seperti yang pernah diluahkan dalam album terdahulu. Namun kali ini, mereka memilih untuk bangkit dan berdepan dengan hidup yang penuh kepayahan itu dengan lebih berani.
Naskah yang memuatkan lima buah trek ini memberikan suatu pengalaman yang agak berbeza buat penulis. Di bawah adalah pengamatan dan ulasan ringkas penulis untuk setiap trek.
“Tanam Anggur”
Trek pembuka ini mengisahkan tentang seseorang yang kehilangan pekerjaan dan perjuangan yang perlu ditempuh demi meneruskan hidup. Seawal jam 4 pagi, dia sudah dihimpit realiti memikirkan nasib yang terasa tidak pernah menyebelahinya.
Digandingkan dengan vokal jemputan Fimie Don, lagu ini menjadi lebih catchy dan seakan-akan antidot kepada rasa serabut akibat tekanan hidup dan ketiadaan pekerjaan. Sebuah lagu yang pahit temanya, namun manis penyampaiannya. “Fasa jobless ini juga penting dalam membentuk kematangan kami,” ujar Kopi selaku vokalis.
“Satu Malam Berdiri”
Lebih dikenali dengan istilah “One-Night Stand”, trek ini menyentuh isu sosial yang semakin membarah dalam masyarakat, tetapi masih lagi berdiri pada tema asal EP ini yang meluah tentang kehidupan.Trek ini juga masih meletakkan pesanan pada diri “Teruskan hingga nafas terakhir, masa ini tak mungkin kembali.”
Strumming gitar yang berakar pada bunyi indie asli memberi identiti yang kuat, manakala tenaga lagu yang lebih agresif dipacu oleh penggunaan slurred vocals sebagai medium utama. Hasilnya, sebuah trek yang energetik namun tetap sarat dengan mesej kritikan tentang kehidupan.
“Kacip”
“Kacip” membawa naratif tentang kehabisan bekalan asas kehidupan, satu metafora kepada keletihan dan kekosongan jiwa yang sering lost. Trek ini masih mengekalkan identiti slurred vocals, namun diperkuat lagi dengan solo gitar bernuansa shoegaze-ambient yang melayang dan atmosferik.
Permainan dram Eli yang berentak d-beat pula menyuntik elemen pop punk, menjadikan lagu ini satu sebatian menarik antara indie dan energi mentah yang menggigit telinga pendengar.
“Sumpahan Disember”
Dibuka dengan iringan bassline yang kuat dan dominan, trek ini meluahkan keinginan untuk melupakan memori silam yang pahit agar kehidupan dapat bergerak dengan lebih tenang untuk menjalankan hidup yang palat. Emosi yang dipersembahkan terasa jujur dan berat, namun tidak kehilangan elemen muzikal yang solid. “Tunjukku jalan untuk lupakan kamu,” bukti Smesta ingin keluar dari kepompong yang mengigit kehidupan mereka.
“Berdiri Di Kota Ini”
Trek penutup yang paling ringkas, namun paling terkesan buat penulis. Lagu ini menghamburkan kekuatan supaya terus berdiri menghadapi kehilangan seorang ayah serta kebuntuan hidup di tengah kesibukan kota.
“Tetap berdiri walau sendiri.”
Bait yang sederhana, tetapi cukup untuk menyentuh hati. Sebuah penutup yang terasa dekat seolah-olah ditulis untuk sesiapa sahaja yang sedang berjuang dalam diam.
Secara keseluruhan, EP Smesta Maju bukan sekadar himpunan lima buah trek, sebaliknya sebuah kompilasi luahan santai yang seakan-akan lahir daripada perbualan di kedai mamak lalu diterjemahkan dalam bentuk lagu. Karya ini juga memberi gambaran bahawa penulis lirik mengajak pendengar duduk bersama, mendengar dan memahami isi hati yang diluahkan dengan jujur.
Setiap trek hadir dengan identiti tersendiri namun masih terikat dalam ruang emosi yang konsisten. Penggunaan slurred vocals, permainan gitar yang sesekali melayang dengan nuansa shoegaze serta tenaga indie yang mentah menjadikan EP ini bukan sahaja enak didengar tetapi turut terasa dinamik. Smesta Maju mengingatkan bahawa tidak mengapa untuk rapuh atau hilang arah, asalkan seseorang itu masih memilih untuk terus berdiri dan berjalan di denai kehidupan yang benar.
Tetap berdiri, walau sendiri.