Hari Esok Yang Lebih Cerah Buat Mekynoza

oleh Aniq Ammar Ekhwan
1.7K bacaan

Band: Mekynoza

Tajuk Single: Bila Esok

Tarikh Pelancaran: 12 Disember 2020

Seperti yang penulis jangka, banyak rilisan yang sedang hangat dipasarkan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan di penghujung tahun 2020 ini. Paling rancak di telinga penulis buat ketika ini, kehadiran sebuah band rock alternatif yang diberi nama MEKYNOZA, diadaptasi dari perkataan ‘Make Noise’. Kenapa? Carilah sendiri kerana penulis lebih fokus kepada rilisan pertama mereka iaitu Bila Esok yang dilancarkan di Youtube pada 12 Disember 2020.

Sedikit pengenalan, band ini dianggotai oleh 5 anak muda iaitu Syahir sebagai vokalis, Adam dan Amirul di posisi gitar, Khairi sebagai bassist dan semestinya Syahmi sebagai pemain drum. Penulis difahamkan mereka berasal dari negeri yang berbeza namun dapat menubuhkan band ini dengan jayanya. Satu usaha yang padu walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, mereka dapat menyiapkan sebuah lagu yang bagus pada penulis.

Seterusnya, di bahagian bunyi. Penulis amat tertarik dengan bahagian solo gitar yang ada cengkaman ketat. Ketat dia lain macam sebab ada 2 solo. Haaa nak tahu di bahagian mana? Dengarkan lagu mereka. Bunyi guitar dan bass yang kemas, drum disusun dengan baik dan ketat. Paling penting, vokalnya disampaikan dengan baik namun penulis yakin vokalisnya mampu melontarkan vokal dengan lebih baik. Mungkin Syahir menyimpan “ramuan istimewa” untuk rilisan yang berikutnya dan penulis sudah cukup berpuas hati mendengar buah tangan pertama ini. Cuma penulis membayangkan alangkah baiknya jika lagu ini mempunyai elemen synthesiser atau bunyi violin kerana kedengaran sedap jika disuntik dalam Bila Esok.

Tidak dilupakan juga, penulis agak menggemari lirik yang disampaikan. Bunyi macam gembira namun jika diamati liriknya, agak sedih di situ. Lirik ini juga menyeru kita agar meneruskan hidup di hadapan walaupun bunga sudah tiada. Penulis ingin mengingatkan, bunga bukan sekuntum. Dengan izin-Nya, mungkin akan dapat yang lebih baik di masa hadapan. Untuk lirik, penulis bagi rating 8/10. Lagi dua tu jangan marah haa. Nanti kena jual….

Yang terakhir, kualiti. Tidak dinafikan bahawa SOG Production antara studio yang menjadi kegemaran ramai pemuda-pemudi tak kira genre muzik membawa bahan masing-masing untuk dimasak dengan sempurna. Dan mutu rakaman juga sangat baik dan merupakan keputusan tepat buat MEKYNOZA untuk melaksanakan rakaman di situ. Dengan harga yang berpatutan, pasti ramai pemuzik ingin melakukan sesi rakaman bersama mereka dan Badek (Raja Nazrin dan Raja Nazmin) tidak kedekut ilmu untuk dikongsikan bersama.

Konklusinya, Bila Esok merupakan sebuah single yang sangat baik dan penulis yakin band ini memang ada potensi untuk berada sepentas dengan band rock arus perdana. Penulis diberitahu juga yang mereka dalam rangka untuk melancarkan single kedua tidak lama lagi. Sama-samalah kita doakan agar MEKYNOZA dipermudahkan urusan dalam menyiapkan material yang akan datang. Tahniah dan Syabas buat mereka. Penulis tidak sabar untuk melihat mereka di atas pentas dan dapat bertemu mereka satu hari nanti. Adios!!!

Ikuti MEKYNOZA di

Youtube

Instagram

Email : mekynoza@gmail.com

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅