Hey Jay! Semakin Matang Dalam Karya Terbaharu – ‘Don’t Wake Me Up’

oleh Mohd Asyraf Firdaus
1.2K bacaan

Unit Alternative Rock Hey Jay! yang sebelum ini dikenali melalui single Never-End (Pemenang Anugerah Best Rock Song di US Indie Songwriting Awards 2021), Good Vibrations (Tercalon Anugerah Best Rock Song di US Indie Songwriting Awards 2021) dan Gentle Secrets (Pemenang Anugerah Best Rock Song di US Indie Songwriting Awards 2022) kini meneruskan serangannya ke halwa telinga penagih muzik tegar tempatan dengan pelancaran single terbaharu, Don’t Wake Me Up.

Naskah ini telah dilancarkan pada 30 September 2022 yang lepas dengan durasi 5 minit dan 18 saat di platform penstriman digital. Terbitan kali ini ternyata mengejutkan penulis kerana Hey Jay! semakin menunjukkan titik kematangan mereka menerusi persembahan vokal, penulisan lirik dan gaya permainan instrumen setiap personel yang mantap dan ia merupakan indikator progres yang sangat memuaskan.

Don’t Wake Me Up dimulai dengan petikan gitar dan bass yang tenang ala Post Rock sebelum vokal Jay Ridzwan dan dram menerjah masuk memberikan momentum yang tidak terjangka sekaligus membuat penulis terus menghentak-hentak kaki mengikut irama. Ternyata Hey Jay! memang tidak pernah menghampakan!

Kali pertama penulis mendengar naskah ini terus terlintas di kepala, inilah konsep dan formula yang sepatutnya diketengahkan Hey Jay! selepas ini. Vokal yang energetik, susunan muzik yang catchy ditambah dengan permainan tamborin pada korus lagu cukup padan dengan lantunan suara Jay. Bassline dalam lagu ini cukup teratur dan permainan dram yang  sentiasa memenuhi ruang menjadikan penulis tidak pernah berasa bosan sepanjang menikmati naskah ini. Pastinya peminat muzik, khususnya peminat rock moden juga akan berpendapat sama jika lagu ini berpeluang sampai ke telinga mereka.

Mungkin ada yang berpendapat naskah kali ini dibayangi dengan band rock dari Amerika Syarikat seperti Jimmy Eat World, kerana gaya dan efek vokal sepanjang lagu yang dirasakan menerima banyak pengaruh dari band tersebut, namun itu perkara biasa buat warganet. Bersandarkan perspektif mana-mana pengkarya, pasti ada rujukan-rujukan yang akan dijadikan sebagai ilham dalam menghasilkan seni bunyian yang baharu.

Seperti kebiasaan, penulis juga gemar membaca lirik untuk lebih mendalami makna sesebuah lagu tersebut. Bahagian yang menjadi kegemaran adalah di bait:

You always make me feel like I could touch the sky,
Whenever you’re around I feel alive,
Don’t fly away, this is a dream.

Penulis dapat merasakan ini adalah lagu yang ditulis sebelum Hey Jay! memulakan formasi sebagai sebuah band dan lagu ini menjadi lonjakan terhadap apa yang telah mereka capai sebagai sebuah band.

Selain itu, penulis juga sempat menemubual Jay Ridzwan selaku vokal utama dan berkongsi tentang masa hadapan HeyJay! dalam waktu terdekat selari dengan terbitnya lagu baharu ini.

Kami akan menerbitkan single dalam berbahasa Melayu pada awal 2023 bersama EP memandangkan sesi rakaman seluruh EP tersebut sedang giat dijalankan dan juga kami akan adakan persembahan akustik secara dalam talian melalui platform YouTube pada hujung Oktober 2022 ini.

 

Ribuan tahniah diucapkan kepada Hey Jay! dan semua individu yang terlibat dalam pembikinan Don’t Wake Me Up.Semoga terus komited menulis lagu-lagu yang bukan sahaja sedap di telinga, tetapi juga cemerlang dari segi produksi.

Lihat skor yang penulis berikan kepada lagu ini di bawah dan jangan lupa ikuti HeyJay! di semua platform media sosial dengan menekan pautan:

Facebook

Instagram

Twitter

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅