Pada tahun ini, penulis dapat melihat banyak kugiran sedang berusaha keras melancarkan material masing-masing untuk terus hidup dalam industri selepas terkesan teruk dengan pandemik Covid-19 sebelum ini. Tidak melepaskan peluang, Ali Idris dan Para Penonton (AIPP) telah melancarkan album pertama mereka iaitu Hujan September pada 18 Februari 2023 di Rockin Jamz Hall, Johor Bharu.
Buat yang tidak mengenali AIPP, nama ini mula hadir dalam indusri muzik pada awal tahun 2020 dengan single pertama, Menambat Hatimu dan mula mendapat perhatian pendengar muzik alternatif tempatan. Setelah itu, empangan kreativiti Ali bagai tidak pernah berhenti dengan mengeluarkan beberapa single lain dan terbaru, beliau melancarkan single Hujan September (V2) dan kemudiannya album ini lahir di bawah air tangan Spunkdok @ Lotus HQ. Proses produksi telah dilakukan oleh kesemua ahli AIPP, jurutera rakaman Marzuki Munir dan Muhammad Fakhruddin serta Zarif Muazzam mengemudi di bahagian adunan dan mastering.
Cukup sekadar di situ, penulis telah diberi kesempatan untuk mendengar keseluruhan album dan penulis telah melakukan bedah siasat yang terperinci terhadap setiap elemen yang ditampilkan dalam album ini.
Untuk beberapa trek seperti Menambat Hatimu, Perhiasan Kesayangan, dan Hujan September (V1), AIPP telah melakukan beberapa peningkatan iaitu menyuntik bunyian Post FX, horn section dan adunannya agak berbeza berbanding video di YouTube. Penulis tertanya mengapa AIPP memilih Spunkdok @Lotus HQ untuk produksi album dan ini merupakan jawapan Ali Idris selaku vokalis:
Sebelum ni rekod 4 lagu sebenarnya dengan SOG Production. Lagu last ialah Marhalah Cinta. Aku beralih ke Spunkdok sebab dekat dengan rumah aku. Kalau SOG Production kat KL. Jadi kena ulang alik JB-KL. Mungkin sebab kekangan jarak dan masa, membuatkan aku beralih ke Spunkdok.
First sekali aku suka record kat studio Spunkdok sebab Juki selalu bawa kucing dia nama ‘Lembu’ tu. Jadi bila aku nak record, aku jadi tenang dan terhibur dengan Lembu. Jadi mood nak record pun jadi best. (sambil tunjuk jari best). Keduanya aku rasa Spunkdok ni buat kerja dengan professional dalam aspek sebelum rakaman, semasa rakaman, mixing and mastering (Zarif Muazzam) dan selepas rakaman semuanya macam dah berpengalaman dan ini memudahkan proses menyiapkan album. Lagipun studio pun okay dengan kemudahan yang ada. Ketiganya Spunkdok banyak guide dan nasihat AIPP. Termasuklah arrangement, sound, cara aku menyanyi pun Juki banyak guide aku jugak. Kami banyak belajar. Idea-idea dari Spunkdok banyak membantu juga dalam album ni.
Untuk trek seperti Kebangkitan Umat, Hujan September V2 dan Dirgahayu Tanah Airku, penulis tidak menyangkal kehebatan AIPP membikin lagu yang keluar dari zon selesa namun Ali mempunyai jawapan tersendiri mengapa lagu mereka berubah genre:
Kebanyakan orang ramai mengklasifikasikan AIPP sebagai sebuah band ska punk. Tapi yang sebenarnya kami mix genre, ada element ska,rock dan punk rock.
Album ni banyak genre sebab aku suka ‘explore’. Aku nak tengok kemampuan diri sendiri mencipta lagu-lagu genre macam ni, genre macam tu. Sebab aku sendiri suka dengar macam-macam lagu dan genre. Tapi yang paling penting sekali, aku menitik- beratkan bab melodi dan of course aku suka rancak-rancak. Sebab nanti senang aku nak menari-nari atas stage time perform live. Plan aku supaya AIPP ni jadi unik dan lain daripada yang lain. Nak bagi satu genre yang ‘lari alignment’ sikit kepada para pendengar. Haaa gitu lah lebih kurang.
Untuk dua trek yang tak pernah dilancarkan di mana-mana iaitu Sampai Hayatku dan Marhalah Cinta, penulis berpendapat kedua-duanya adalah trek yang berpontensi untuk menjadi pilihan pendengar. Sampai Hayatku merupakan sebuah lagu yang sedih dan menawan hati penulis. Sepanjang trek ini berjalan, penulis seolah-olah boleh merasakan apa yang cuba disampaikan dengan bunyian vokal yang tidak terlalu syahdu dan susunan lagu yang mudah membuatkan kita merasa terbang di awangan. Untuk Marhalah Cinta pula, trek ini seperti trek yang gembira namun tersingkap elemen kesedihan. Tidak terhenti di situ, susunan lagu dan melodi vokal juga tidak mengecewakan.
Sebenarnya Marhalah Cinta haritu nak keluarkan MV dulu sebelum album launching. Tapi haritu memang tak cukup masa. Sebab pack sangat dengan album launching. Jadi aku plan nak teruskan MV Marhalah Cinta maybe sebelum kami start tour album Hujan September di beberapa negeri pada bulan May ni dan lepas tu baru releasekan MV Sampai Hayatku. Sampai Hayatku aku nak buat MV sedih-sedih. Biar masa berlakon MV tu semua orang keluar air mata. Hahahaha. Cengeng. Dah lah. Bye!
Konklusinya, penulis boleh katakan album ini ‘sesuatu’ kerana bukan sekadar album, Hujan September merupakan sebuah buku cerita yang penuh dengan variasi. Dari awal hingga ke akhir penulis boleh melihat banyak elemen yang disuntik ke dalam setiap lagu. Tambahan pula, permainan synth dan post fx telah menambah rasa terhadap album ini. Penulis juga bertanya tentang kenapa beliau ingin membuat album pertama dan apakah perancangan seterusnya.
Aku tak suka buat kerja lambat-lambat sebenarnya terutamanya berkenaan AIPP sebab aku nak capai target dalam industri. Kita ni banyak tangguh-tangguh. Semua perkara pun nak tangguh. “tunggu lepas tu, tunggu lepas ni, bagi lepas cuti dlu, bla bla bla.” Kalau nak tangguh-tangguh biar kena dengan keadaan. Contohnya tangguh dulu la nak bercinta sebab luka yang lama belum sembuh. Kang nanti kalau kecewa dan luka balik, kau ambik keputusan tukar jantina pula.
Untuk next album, aku rasa/plan nak buat lain skit daripada yang ini. Sebab yang ni kan album sulung AIPP. Lepas daripada dah siap album ni, aku rasa dapat tambah baik lagi sebenanrya dari semua aspek. Sound, lirik, melodi termasuk juga dari segi pemasaran album. Aku ada plan juga, untuk next album, nak featuring beberapa orang lagi. Macam sekarang kan Ft Catnipp dan Zarif Muazzam. Maybe next aku nak featuring penyanyi hip hop lak. Dah plan dah sebenarnya ni. Nak invite Eminem. Tak tahu la dia nak ke tak. Aku wasap dari haritu single tick je. Dan paling penting kitorang akan start tour tak lama lagi so stay tuned dengan apa nak jadi. Let’s Go!!
Tahniah buat AIPP atas pelancaran album ‘Hujan September’. Semoga kalian terus sukses dalam rangka untuk menjadi sebuah kugiran yang disegani ramai di Malaysia. Adios!
Ikuti perkembangan Ali Idris dan Para Penonton serta beli album mereka di: