Hyde park 1969: Bagaimana King Crimson Memperkenalkan Prog Rock Kepada Dunia

oleh Rahmat Mohd Did
2.4K bacaan

Pada 05 Julai 1969, The Rolling Stones membuat persembahan pertama mereka setelah hiatus selama dua tahun secara percuma di Hyde Park, London. Ia juga merupakan persembahan untuk memperingati Brian Jones (pemain gitar) yang baru meninggal dunia. Dikhabarkan, lebih setengah juta penonton hadir pada hari tersebut.

King Crimson yang dianggotai oleh Robert Fripp (gitar), Greg Lake (bass/ vokal), Ian McDonald (saksofon/ flut/ mellotron/ vokal), Michael Giles (dram) dan Peter Sinfield (penulis lirik/ penata cahaya) pada ketika itu telah ditawarkan untuk menjadi band pembuka tirai walaupun tanpa sebarang album dan hanya bermain live sebanyak enam kali sebelum itu.

Mereka yang langsung tidak dikenali ketika itu membuka pentas dengan paluan 21st Century Shizoid Man yang sangat berat dan kompleks untuk era itu. Sedang majoriti band rock tahun 60-an memasukkan pengaruh blues ke dalam lagu-lagu mereka, King Crimson tanpa rasa bersalah bereksperimen dengan bunyian-bunyian seperti jazz, orkestra, klasikal, simfoni serta lirik-lirik emosional dengan gandingan hard rock.

Dikhabarkan, suasana ketika itu sangat sunyi. Muzik mereka tidak dapat dihadam oleh penonton dan Robert Fripp menjadi panik. Beliau menanggalkan kasut dan menghentak-hentakkannya di lantai untuk memecahkan kesunyian.

Persembahan avant-garde mereka diteruskan dengan lagu-lagu seperti In The Court Of The Crimson King, Get Thy Bearings, Epitaph, Mantra, Travel Weary Capricorn dan diakhiri dengan Mars.

Persembahan ini mencatat sejarah bagi King Crimson kerana mereka bukan sahaja mendapat peminat baru dari kalangan orang UK, malah Amerika dan Eropah yang turut hadir pada hari tersebut.

Album debut mereka, In the Court of the Crimson King hanya dilancarkan tiga bulan selepas itu, tepatnya pada 10 Oktober 1969 dan menjadi album yang sangat penting untuk genre Prog Rock dan disenaraikan di tempat kedua ’50 Greatest Prog Rock Albums of All Time’ oleh majalah Rolling Stone.

Album pertama King Crimson: In the Court of the Crimson King (1969).

Malangnya, anggota-anggota King Crimson yang merakam album ini berpecah hanya selepas satu album di mana Greg Lake (bass/ vokal) menubuhkan Emerson, Lake and Palmer, Ian McDonald menubuhkan Foreigner, Michael Giles menjadi artis undangan untuk rakaman pelbagai artis dan Peter Sinfield menulis lirik untuk pelbagai artis lain. Hanya Robert Fripp sahaja yang kekal untuk 12 lagi album studio King Crimson selepas itu.

Pada tahun 2016, King Crimson memuatnaik rakaman amatur persembahan mereka di Hyde Park 1969 di Youtube dan kalian boleh lihat sendiri betapa mereka melangkaui zaman pada ketika itu.

Memetik kata-kata Peter Sinfield tentang King Crimson,

“Jika ia (susunan muzik) kedengaran sedikit pop, pasti akan dibuang. Jadi ia perlu rumit, besar dan pelik. Kalau terlalu mudah pula, kami akan merumitkannya dengan menukar tanda masa kepada 7/8 atau 5/8, sekadar untuk berlagak.”

Ada tak peminat King Crimson di sini? Lagu/ album mana yang menjadi kegemaran kalian? Dalam ramai-ramai anggota King Crimson yang bertukar ganti, siapakah yang paling kalian kagumi? Kongsikan di komen.

Sumber:

1. Happymag.tv

2. Wikipedia

3. Rolling Stone

4. Dgmlive.com

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅