‘Immigrant Song’ – Pengalaman Led Zeppelin Yang Diabadikan Sebagai Sebuah Kisah Viking

oleh Anome
2.4K bacaan

Penulis: Anome

Immigrant Song merupakan salah sebuah trek dalam album Led Zeppelin III yang dilancarkan pada 5 Oktober 1970. Album tersebut mengandungi 10 trek dengan durasi selama 43 minit 04 saat.

Single ini ditulis oleh Jimmy Page dan Robert Plant, gitaris dan vokalis Led Zeppelin. Menurut Plant, Immigrant Song ditulis ketika mereka melakukan konsert jelajah di Iceland.

Para pekerja yang sepatutnya terlibat dalam menjayakan konsert mereka melakukan mogok, lalu sekumpulan pelajar di sekitar wilayah berkumpul dan bersama-sama menolong menjayakan konsert tersebut. Kejadian itu mengingatkan Plant kepada Kapal Viking.

Jika diterjemahkan secara literal, Immigrant Song mengisahkan tentang pengembaran puak Viking bagi menakluk England. Tetapi bagi Plant, ia hanyalah salah sebuah pengembaraan Led Zeppelin sebagai puak Viking di tanah asal masyarakat itu sendiri.

Baris ‘We come from the land of ice and snow, from the midnight sun and the hot spring flows’ menjelaskan tentang Iceland, tempat di mana kumpulan Led Zeppelin berada pada ketika itu. Musim panas di Iceland, matahari tidak terbenam pada waktu senja dan pada tengah malam langit kelihatan berwarna oren terang, dengan gelaran ‘midnight sun.’

‘The hammer of the gods will drive our ship to new land’ merujuk kepada tukul Mjölnir milik Thor, tuhan perang dan petir masyarakat Viking. Baris ini membuatkan para peminat menggelar muzik Led Zeppelin sebagai ‘Hammer of The Gods.’ Frasa ini juga diguna pakai oleh Stephen Davis sebagai tajuk bukunya yang ditulis pada tahun 1985 mengenai kumpulan tersebut.

Valhalla di dalam lagu pula merujuk kepada sebuah tempat di Asgard di mana roh para pahlawan yang tumpas di medan perang dengan penuh keberanian sahaja yang dibenarkan masuk. Plant mengibaratkan perjalanan Led Zeppelin ketika itu sebagai sebuah perjalanan yang penuh keberanian dan heroic.

‘On we sweep with threshing oar, our only goal will be the western shore’ pula menceritakan tentang ketibaan puak Viking ke England. Dalam konteks pengembaraan Led Zeppelin ‘western shore’ merujuk kepada tempat asal mereka, London.

Menarik tentang verse terakhir lagu, puak Viking terkenal dalam sejarah sebagai sebuah bangsa gasar yang merompak, merogol dan membunuh dalam setiap misi penaklukan mereka. Bagaimanapun verse tersebut lebih kedengaran sebagai satu panggilan keamanan. Mereka mencari keamanan agar pihak yang dijajah dapat bangun semula daripada reruntuhan akibat peperangan yang berlaku. Mereka juga mencari sebuah ikatan atas keamanan dan kepercayaan tanpa dendam.

Led Zeppelin menyatakan bahawa Immigrant Song sepatutnya menjadi satu humor, mengaitkan perjalanan muzik mereka dengan penjelajahan puak Viking dalam menakluk daratan baru. Disebabkan mereka tidak dikenali sebagai sebuah kumpulan yang penuh humor, makanya para peminat mengambil makna Immigrant Song secara serius.

Kebanyakan lagu-lagu Led Zeppelin mempunyai banyak makna yang berbeza mengikut pengetahuan dan pemahaman anda terhadap kumpulan tersebut. Apa pula erti Immigrant Song pada pandangan anda?

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅