IPOH MUSIC SYMPOSIUM 2022: “POP 1960-AN: EMULASI, REVOLUSI DAN LEGASI” (IMS2022) merupakan sebuah program simposium muzik tahunan anjuran People of Remarkable Talents (PORT) dan Kerajaan Negeri Perak. Edisi keempat pada kali ini dijalankan dengan sokongan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Bertemakan “Pop 1960-an: Emulasi, Revolusi & Legasi”, program ini turut mendapat kerjasama antaranya, Majlis Bandaraya Ipoh, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, JKKN Perak, Majlis Kebudayaan Negeri, Tourism Perak dan Penang House of Music.
Selain simposium sebagai program utama, IMS2022 selama tiga hari ini akan memuatkan lain-lain program menarik seperti forum, bengkel, pameran dan sebuah konsert khas yang bakal dijayakan oleh para seniman ternama dan yang sedang meningkat naik.
SIMPOSIUM
IPOH MUSIC SYMPOSIUM 2022 menampilkan 23 orang pembentang yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, pengkaji budaya dan penggiat seni. Lima sesi pembentangan makalah akan berlangsung pada 22 dan 23 Oktober 2022.
Barisan pembentang dengan latar belakang yang berbeza ini akan merungkai topik-topik mengenai wacana serta isu-isu seputar muzik 1960-an. Antara mereka yang terlibat adalah Dr Raja Iskandar Raja Halid, Dr Isabella Pek, Dr Adil Johan, Dr Shazlin Amir Hamzah, Adi Satria dan Mohd Rafi Jafranee (Malaysia); Art Fazil dan Azlan Mohd Said (Singapura); Michael HB Raditya, Viela Wiradz dan Muhammad Febriansyah (Indonesia). [Sila rujuk Lampiran Jadual Program untuk senarai pembentang dan tajuk makalah]
Ucaptama simposium akan disampaikan pada 22 Oktober 2022 oleh tokoh seniman bidang muzik YBhg Dato’ Johari Salleh.
SESI PERKONGSIAN, FORUM & BENGKEL
Hari pertama pada 21 Oktober 2021 (Jumaat) dimulakan dengan tiga buah bengkel iaitu Bengkel Penulisan Lirik Lagu oleh Profesor Madya Dr Haji Mohd Azam (Azam Dungun) di PORT pada jam 10.00 pagi; Bengkel Gitar Elektrik oleh Edrie Hashim di Ladyboss Studio pada jam 10.00 pagi; dan Bengkel Dram oleh Zahid Ahmad di Ladyboss Studio pada jam 3.00 petang.
Sesi perkongsian bertajuk “Dari Analog ke Digital (Pembikinan Kulit Album)” bersama pereka grafik terkenal Tapa Otai akan berlangsung di PORT pada jam 3.00 petang; diikuti dengan forum bertajuk “Pengarkib Muzik Bebas dan Sejarah Muzik Alternatif” yang menampilkan panel jemputan Paul Augustin (Penang House of Music), Joe Kidd (The Ricecooker Archives), Gerry Apriryan dan Renovan Reza (Yayasan Irama Nusantara, Indonesia) dan moderator Adly Syairi Ramly.
Sesi perkongsian pada 23 Oktober 2022, jam 2.30 petang di PORT bertajuk “Muzik 60-an: Emulasi dan Revolusi” mengetengahkan panel jemputan yang terdiri daripada penggiat seni muzik tanah air iaitu Adnan Othman, Billy Chang (The Strollers), Yusop Najmi dan Kenny Ham.
PAMERAN POP 1960-AN
Sebuah pameran khas akan turut dijalankan dari 21-30 Oktober bertempat di Black House PORT dari jam 10.00 pagi – 6.00 petang setiap hari. Antara bahan-bahan pameran adalah seperti piring hitam, pakaian dan majalah yang diatur mengikut naratif perkembangan muzik 1960-an. Pameran ini dijayakan dengan kerjasama Penang House of Music serta para kolektor piring hitam dan bahan-bahan berkaitan muzik pada era 60-an.
PESTA MINI 1960-AN
Bagi memeriahkan lagi IMS2022, sebuah festival “Pesta Mini 1960-an” berkonsepkan era 1960-an akan dijalankan di PORT pada Sabtu, 22 Oktober 2022 dari jam 10.00 pagi – 6.00 petang. Di antara pengisian program adalah Jelajah IMS2022 yang melibatkan 60 buah motosikal dari beberapa kumpulan motosikal klasik dan vespa, reruai pameran dan jualan barang-barang oleh kolektor terpilih, peragaan pakaian, sesi persembahan DJ dan kugiran undangan serta pelbagai aktiviti menarik. Masuk adalah percuma.
PROMOSI BUKU
Tiga buah penerbitan berkaitan muzik akan diketengahkan sewaktu slot Promosi Buku pada 23 Oktober 2022, jam 4.00 petang.
- The Malay Nobat: A History of Power, Acculturation, and Sovereignty oleh Raja Iskandar Raja Halid
- Muzik Nusantara terbitan PORT
- The Fabulous Falcons: Selected Notes oleh Liz-Sammy Chin
KONSERT
Konsert Malam Pesta 1960-an pada Sabtu, 22 Oktober 2021, jam 8.00 malam akan dijalankan di Auditorium RTM Negeri Perak. Persembahan yang mengangkat nuansa muzik pop 1960-an akan dijayakan oleh The Strollers, The Rythmn Boys (Singapura), Kugiran D’ Tepi Pantai, S.Mariam, Adnan Othman, Ahmad Yassin, A.Rozaini, FLEUR! (Indonesia) dan diserikan oleh kumpulan penari Gema Warisan Majlis Bandaraya Ipoh.
Untuk mengikuti program-program secara fizikal, orang ramai perlu mendaftar melalui borang pendaftaran di pautan yang disediakan di laman sesawang PORT www.portipoh.com.my serta di laman sosial PORTIPOH. Yuran komitmen (commitment fee) yang dibuat semasa pendaftaran akan dikembalikan kepada pendaftar apabila hadir ke program secara fizikal.
Program simposium dan konsert akan disiarkan secara langsung di meta–facebook PORT IPOH dan orang ramai dijemput untuk mengikuti halaman meta-facebook IPOH MUSIC SYMPOSIUM untuk mendapatkan maklumat yang dikemaskini dari masa ke semasa.
Untuk maklumat lanjut mengenai projek IMS2022, boleh hubungi Encik Zulhamizan di talian 05-2412287/019-4567248.