Trophy Knives Umum Pelancaran Album ‘Look The Other Way’ dan Showcase di The Bee Bersama Jemson, An Honest Mistake dan Emo Night KL

oleh Rahmat Mohd Did
933 bacaan

Trophy Knives pada hari ini mengumumkan bahawa ia bakal melancarkan album terbaru bertajuk Look The Other Way yang dijadualkan berada di kesemua platform digital pada 9 September 2022. Ini merupakan album kedua bagi kumpulan punk rock tempatan tersebut yang juga terkenal di peringkat global. Album pertama mereka dikeluarkan pada tahun 2019 dengan tajuk Glass Ceiling.

Look The Other Way bakal menampilkan 9 buah lagu yang juga akan dipasarkan dalam bentuk fizikal (CD dan piring hitam atau vinyl). Album dalam format vinyl turut memuatkan single We Can’t Be Saved dengan penyanyi jemputan Chris#2 dari kumpulan punk ikonik dari Amerika Syarikat, Anti-Flag, sebagai lagu bonus. Look The Other Way dianggap lebih kemas dari segi produksi dan padat dengan pelbagai faktor- faktor musikaliti yang membuktikan bahawa Trophy Knives amat serius dan mengambil berat bukan sahaja susunan melodi tetapi juga mesej di dalam setiap lagu. Berbekalkan pengalaman berkolaborasi dengan pelbagai artis lain samada tempatan mahupun antarabangsa ketika dunia dilanda pandemik, dan juga pengunduran Syamir Ali (bekas pemain bass Trophy Knives) dari kumpulan tersebut, Trophy Knives kini bagaikan melalui proses bersalin kulit dan mula bereksplorasi dengan elemen-elemen muzik yang baru sebagaimana yang dapat didengar daripada album terbaru ini. Berasal dari Kuala Lumpur, Trophy Knives kini dianggotai oleh Vinesh M (vokalis), Sani Khalid (gitar utama) dan Ryan Lee Bhaskaran (dram).

Untuk menghangatkan lagi pelancaran album baru ini, Trophy Knives akan menganjurkan sebuah konsert khas di The Bee, Publika pada 16 of September 2022 bersamaan dengan Hari Malaysia. Trophy Knives akan mempersembahkan kesemua lagu yang terkandung di dalam album Look the Other Way secara eksklusif buat kali pertama!

Turut menjayakan malam konsert punk rock tersebut adalah kumpulan Jemson yang sememangnya amat diminati ramai, kumpulan pop-punk An Honest Mistake dan trio yang dikenali sebagai EMO NIGHT KL.

“Kami amat berbangga kerana dapat berkongsi pentas bersama rakan-rakan kami pada 16 September ini, yang juga merupakan di antara kumpulan-kumpulan rock generasi baru terbaik di Malaysia. Setelah bertahun kami berkecimpung di dalam industri ini, kami sedar bahawa muzik punk rock seringkali dianaktirikan dan tanpa kumpulan-kumpulan seperti Jemson, An Honest Mistake, Emo Night KL dan ramai lagi di luar sana yang terus berjuang untuk mengekalkan genre ini agar terus hidup di Malaysia, memerlukan pengorbanan yang besar.

 

Kami amat terharu kerana dapat meraikan kejayaan ini bersama mereka, lebih-lebih lagi sudah agak lama kami tidak membuat persembahan bersama. Harapan kami agar semua peminat muzik, bukan sahaja muzik punk atau muzik rock, akan turut hadir. Muzik adalah universal”, kata Ryan Lee.

Vokalis Trophy Knives, Vinesh pula berkata, “Kami memilih Hari Malaysia untuk mengadakan konsert ini kerana kami berbangga menjadi anak Malaysia dan kami mahukan agar keharmonian negara ini terus kekal tanpa sebarang prejudis di antara kaum, agama dan kepercayaan.”

“Di dalam setiap lagu kami terdapat mesej yang mendalam tentang hak-hak kemanusiaan dan kami percaya kita masih punyai harapan untuk membina sebuah negara yang ideal, maju dari segala segi dan juga bebas berkarya tanpa halangan yang tidak munasabah. Ianya mungkin agak berat tapi ia perlu dibincangkan. Namun Trophy Knives akan memastikan elemen hiburan tetap diutamakan. Itu amat penting kerana peminat-peminat kami sudah pasti mengharapkan sesuatu yang di luar jangkaan dari kami”.

Look The Other Way akan berada di semua platform strim pada 9 September 2022 dengan 9 lagu termasuk single Elder Snakesman, Look the Other Way, Smokescreen dengan penyanyi undangan khas, Nas dari kumpulan Plague Of Happiness, dan juga High Horses.

Tiket untuk menghadiri konsert Look the Other Way kini boleh didapati di:

https://trophy-knives.peatix.com/

Muzik video Trophy Knives yang terbaru bertajuk Elder Snakesman kini sudahpun
boleh ditonton di YouTube. Untuk maklumat terkini tentang Trophy Knives, ikuti
mereka di Instagram via @trophyknivesband dan Facebook via Trophy Knives.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅