Jerayawara Armpunk Sindicate Suntik Kesedaran Kesihatan Mental

oleh Music Addicts Malaysia
628 bacaan

Kugiran punk rock Kuala Lumpur, Armpunk Sindicate bakal mengadakan siri jelajah pertama mereka yang diberi nama Anarchy of the Psyche bermula 20 Januari sehingga 2 Mac 2024.

Bukan sekadar mempromosikan karya muzik mereka, siri jelajah ini juga bertujuan untuk memperjuangkan sebuah misi yang lebih utama iaitu menormalisasikan isu kesihatan mental dalam kalangan anak-anak muda di Malaysia.

Dengan menggunakan ekspresi seni mereka dan juga pengkarya tempatan yang lain, Anarchy of the Psyche berniat untuk membantu kepada perubahan budaya yang akan membawa kepada perubahan mendasar dalam masyarakat tentang isu kesihatan mental.

Ditaja bersama oleh Rakita FM, siri pertama jelajah ini bakal meliputi empat buah lokasi iaitu Ipoh, Johor, Penang dan Kuala Lumpur.

Mengenai Armpunk Sindicate

Sejak ditibuhkan pada tahun 2018, Armpunk Sindicate telah menjadi ikon dalam usaha penyingkiran stigma terhadap masalah kesihatan mental dalam industri muzik indie dan seni subbudaya tempatan.

Kebanyakan karya mereka membawa mesej yang menekankan komitmen terhadap aktivisme sosial seperti anti-rasisme, perpaduan, anti-rasuah, dan pemerkasaan belia.

Mereka juga aktif memperjuangkan penyingkiran stigma terhadap kesihatan mental. Antara usaha ini termasuklah penglibatan aktif pemain bass, HK, sebagai seorang aktivis kesihatan mental dan lagu ‘Seterumu’ yang ditampilkan dalam EP sulung mereka ‘Fakulti Kaki Lima’.

Usaha mereka telah membuka peluang untuk berkongsi pentas dengan kugiran lain seperti Hujan, ACAB, Sekumpulan Orang Gila, Gerhana Skacinta, Plague of Happiness, Naratu, Johny Comes Lately, dan lain-lain.

Tahun 2023 menjadi tonggak sejarah bagi Armpunk Sindicate kerana mereka berjaya menjadi band Ska Punk pertama Malaysia yang menghiasi pentas Zepp KL. Selain kejayaan ini, mereka telah beraksi di pentas-pentas festival terkemuka seperti Rock the World, Art of Speed, Atas Angin Festival, dan MBG Music Fest. Pencapaian-pencapaian ini menunjukkan pengaruh mereka yang semakin berkembang dalam industri muzik.

Di Sebalik Anarchy of the Psyche

Nama ini dipilih kerana ia menggambarkan cabaran penyakit mental secara jujur, iaitu juga merupakan matlamat mereka dalam usaha mengikis stigma.

Anarchy (anarki) dalam konteks ini membawa maksud ketiadaan kawalan terhadap keadaan mental seseorang, di mana struktur dan corak biasa yang mengatur pemikiran dan emosi telah menjadi kucar kacir. Ia juga boleh menunjukkan perlawanan terhadap stigma yang sedia ada terhadap kesihatan mental dalam masyarakat kita.

Mereka memilih nama ini untuk menarik perhatian audiens sasaran, termasuk pesakit kesihatan mental. Ia mencerminkan pendekatan mereka terhadap perkara tersebut – mengiktirafkan pengalaman mereka.

Mereka faham bahawa kesihatan mental jauh dari mudah; ia boleh menjadi perjalanan yang sukar dan menyakitkan. Inilah sebabnya mengapa mereka komited untuk menghilang stigma ini dengan serius dan kesungguhan.

Dengan mengadakan jelajah ini Armpunk Sindicate berharap ramai lagi anak muda khususnya dan masyarakat mendapat kesedaran tentang masalah mental diberi perhatian dan rawatan yang sepatutnya dan tidak meminggirkan mereka yang bermasalah.

Kutipan tiket yang terjual akan didermakan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dalam perawatan dan kaunseling terhadap pesakit mental.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, lawati Instagram rasmi Armpunk Sindicate sekarang.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅