Post Hardcore bukanlah sebuah genre yang menjadi bualan ramai sejak lima tahun kebelakangan ini. Namun baru-baru ini terdapat sebuah kugiran yang diberi nama Tarimosi berjaya menyebabkan genre ini kembali menarik minat dan mengingatkan kita kepada beberapa kugiran lain seperti Love Me Butch, Maddthelin, AzureForJanne, Tres Empre dan lain-lain yang pernah popular suatu ketika dahulu.
Unit ini telah melancarkan single debut Relapse menampilkan Syarul Reza dari Love Me Butch dan setakat ini telah mendapat lebih 22,000 tontonan di YouTube. Aku terpanggil untuk membuat liputan tentang mereka yang boleh dikatakan semakin mendapat perhatian pendengar muzik tempatan.
Metamorfosis Tarimosi bermula daripada Ayin di mana beliau adalah pendorong yang memulakan perjalanan band ke peringkat evolusi seterusnya bersama Tim (Bass), Mal (Gitar), Jack (Gitar) dan pemain dram mereka, Tech. Tech juga telah melahirkan imej jenama visual Tarimosi, mencipta sebuah band yang tidak hanya baik dari segi bunyi tetapi juga visual.
Mengambil ungkapan “Muzik Adalah Ubat” secara harfiah, kugiran ini bermula semasa wabak pandemik melanda negara. Tech telah mengkonseptualisasikan band ini sebagai Unit Penyelamat Auditori. Dengan memasukkan pengaruh visual dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan unit tentera taktikal, identiti unik Tarimosi dilahirkan.
Menjadikan Relapse sebagai debut, single ini merupakan ciptaan bersama dan selebihnya Ayin bertindak sebagai penulis dan penggubah lagu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Fun fact di sini, mereka sengaja biarkan lagu itu pendek kerana ingin pendengar rasa tidak puas, dalam erti kata lain macam kena tampar; pendek dan padat.
Single ini dimulakan dengan bunyian ambient yang lembut namun tertanya-tanya apa yang akan terjadi. Masuk sahaja instrumen penuh, aku dapat mengimbas kembali beberapa kugiran dalam lingkungan genre yang sama seperti Underoath, A Day to Remember dan Saosin. Tiba di minit 1.08, artis undangan mereka, Syarul Reza sudah kembali!!! Siapa sahaja tidak kenal beliau dengan karakter beliau di Love Me Butch sebagai vokalis yang garang dan penuh impak. Walaupun sudah hampir 10 tahun, vokal Syarul masih menjadi kegemaran dan aku tidak nampak langsung lompong dari beliau.
Sebagai fans kepada genre post-hardcore, sudah semestinya kita sendiri rindu dan tertunggu2 comeback dari LMB. Jadi daripada menunggu, kami ambil keputusan untuk buat sesuatu. Dari awal pembikinan album memang nama Syarul pertama dalam senarai cadangan artist untuk kolaborasi. Dan semasa kami cipta lagu Relapse ni, tak terfikir yang sound dia akan keluar macam tu, selepas dah rakam demo baru kami perasan yang lagu ni memang ‘a perfect fit’ untuk Syarul.
Jadi selepas beberapa bulan merancang dan mencuba, akhirnya kita berjaya bawa Syarul masuk ke studio di Australia, selepas 10 tahun tak jejak kaki ke studio untuk recording. Kami rasa ini lebih kepada kepuasan kami sendiri – peluang untuk berkolaborasi dengan salah satu influence terbesar music kami. Dan secara tak langsung ia menjadi hadiah kepada peminat-peminat LMB.
Selain susunan lagu yang bagus, permainan instrumen juga boleh dikatakan matang untuk single pertama ini. Komen aku hanyalah produksi mungkin boleh ditambah baik kerana aku seakan-akan tidak mendengar bunyi gitar rhythm. Bukan itu sahaja, aku mencadangkan supaya ditambah lagi bunyian ambience supaya lebih ‘berhantu’ dan membuatkan sesiapa sahaja ternanti akan rilisan seterusnya dari Tarimosi. Selainnya mantap.
Menurut Ayin, Tarimosi ada beberapa lagi trek yang mempunyai kolaborasi dan bakal menerbitkan album pada tahun ini serta mereka akan release beberapa single dahulu untuk bina momentum.
Kami juga sentiasa mencari idea dan peluang baru untuk diterokai, samada dari segi pemasaran atau kolaborasi.
Ikuti Tarimosi di: