Setelah meluncur single Sunset Before Sunrise pada Julai 2020, Rull Darwis X Kelompok “TugasNusantara” sekali lagi berkolaborasi meluncur single baharu dengan semangat serupa, For Better Days pada 13 Ogos 2021.
Single kali ini mendapat khidmat Jane Christina sebagai penulis lirik dan menampilkan penyanyi-penulis lagu dari tiga negara termasuk Azmyl Yunor (vokal/harmonika) – Malaysia, Art Fazil (vokal/gitar) – Singapura, Amboro (vokal/gitar) – Indonesia, P.B Adi (bass) – Indonesia, Reza (dram/tamborine) – Indonesia, Rifki Afsari (gitar) – Indonesia serta penganjur Mendamrasso – Malaysia yang turut terlibat sebagai Penerbit Bersama.
Memetik siaran akhbar mereka, For Better Days merupakan sebuah karya yang lahir sebagai ole-ole dari siri jelajah Rull Darwis bersama P.B Adi di Malaysia pada bulan Disember tahun 2018.
Percakapan-percakapan ringan yang terjadi saat berkumpul bersama pemuzik tempatan yang turut mengikuti siri jelajah Salam Hangat Tur selama empat hari tersebut mencambah idea untuk diterjemahkan ke dalam sebuah lagu.
Antara isi perbualan ketika itu adalah tentang rasa kebersamaan rumpun Melayu; kebersamaan yang dulu pernah dirasa kini cuba digugah kembali dalam bentuk lagu. Ia juga tanda bahawa ‘Nusantara’ bukan hanya dimiliki rakyat Indonesia, tetapi juga rakan-rakan di Malaysia dan Singapura yang turut memiliki rasa sama terhadap makna Nusantara.
Secara ringkas, naskah bernuansa folk/ pop ini adalah satu usaha mereka untuk menjentik kembali semangat mencintai serta merawat ibu pertiwi bersama-sama.
For Better Days kini boleh dinikmati di semua platform strim digital pilihan anda. Kepada yang berminat untuk menyaksikan Tugas Nusantara mendendangkan lagu ini secara langsung, mereka bakal beraksi di Festival Muzik Rumah 2021 pada 21 Ogos 2021 tepat jam 10 malam waktu Malaysia.