Konsert Jiwa Malaysia 2024: Ekspresi Patriotik dan Cinta Negara

oleh Amm Ashraff
419 bacaan

Kredit: MND Sport & Event

Oleh: Amm Ashraff


Tidak lengkap bulan Ogos tanpa pengisian yang melestarikan semangat patriotisme sempena Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos. Dan apabila September tiba, semarak cinta tanah air semakin berkobar dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2024. Menyambut baik bulan bersejarah ini, Perbadanan Stadium Malaysia dengan kerjasama MND Sport & Event telah menganjurkan Konsert Jiwa Malaysia 2024 pada 7 September 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Konsert ini bukan sekadar hiburan biasa, tetapi sebuah acara yang penuh makna dengan tujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Dengan kehadiran 15,000 penonton yang berjiwa Malaysia, Konsert Jiwa Malaysia 2024 berjaya menjadi platform ekspresi cinta negara yang mengagumkan.

Sebagai tanda penghargaan terhadap legasi muzik tempatan, penganjur telah menampilkan enam kugiran terkemuka dan seorang solois yang mewakili jiwa Malaysia. Antara yang terlibat adalah kugiran legenda Spider, band popular Hujan, Ruffedge yang penuh warna, trio gadis sensasi Dolla, band energetik Bunkface dan Insomniacks. Tidak ketinggalan, Bella Astillah dari Sandakan, Sabah turut memeriahkan malam tersebut.

Konsert bermula seawal jam 2 petang dengan pengunjung mula membanjiri stadium. Pada pukul 6 petang, Bella Astillah dan Dolla membuka tirai konsert dengan persembahan penuh bertenaga.

Kredit: MND Sport & Event

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, turut hadir untuk memberi sokongan dan memuji penganjuran acara bertemakan patriotik ini. Beliau menekankan bahawa konsert seperti ini merupakan satu bentuk ekspresi patriotik yang menyemai rasa cinta terhadap negara melalui muzik.

Menurut Adam Adli, “Konsert Jiwa Malaysia 2024 merupakan satu medan ekspresi patriotik. Mencintai muzik tempatan juga adalah salah satu bentuk patriotisme.” Beliau berharap agar melalui persembahan yang mengangkat tema patriotik ini, generasi muda dapat lebih menghargai nilai-nilai kebangsaan.

Kehadiran 15,000 penonton pada malam itu merupakan satu pencapaian memberangsangkan, membuktikan betapa besar minat dan sokongan golongan muda terhadap acara yang memupuk semangat cinta negara. Angka ini mencerminkan betapa rasa cinta terhadap tanah air sentiasa mekar dan tumbuh segar di kalangan rakyat Malaysia.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅