Oleh: Wan Ahmad Syakir
Petai Belalang KL hadir lagi dengan event terbarunya “Festival Muzik Kuala Lopek”. Dijadualkan berlangsung pada 14 September ini di venue rasmi mereka, acara ini sekali lagi menampilkan barisan band “ngam terox” yang sedang hangat di pasaran underground sekarang. Mereka yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Johny Comes Lately, Hacktick & Panasejook.
Walaupun digelar festival, “Festival Muzik Kuala Lopek” berbeza dengan festival lain. Nah istimewanya di sini acara ini mengetengahkan objektif mereka iaitu singkat,padat dan mutakhir (enjoy yang maksima). Acara ini akan berlangsung selama dua jam sahaja bermula seawal 1 petang hingga 3 petang sahaja. Bagaikan bermain siber kafe pc open dua jam, di sini anda semua akan dipuaskan dengan setlist yang gila lagi menggilakan. Jangan risau tentang kekurangan masa, setlist yang disediakan pasti akan memuaskan anda. Dengan harga tiket hanya serendah RM35, apa lagi alasan untuk kamu semua tidak hadir ke festival ini. Festival ini membuktikan bahawa anda tidak perlu menghabiskan masa berjam-jam atau berbelanja besar untuk menikmati muzik berkualiti. Jadi, jika anda merupakan salah seorang makhluk yang sering melalak tiket gig mahal, inilah masanya untuk menunjukkan sokongan anda. Takkan borak sahaja.
Lebih manis, untuk festival ini peminat tidak perlu meneka setlist yang akan dipersembahkan. Ketiga-tiga band ini sudah pun ‘spill the tea’ setlist yang akan mereka sajikan di laman sosial rasmi masing-masing. Peminat semua boleh menelaah setlist yang diberikan sebelum masuk ke dewan peperiksaan Petai Belalang KL. Peminat boleh semak sendiri lagu kegemaran masing-masing bagi ketiga-tiga band ini. Ah senang cakap, lagu kegemaran korang ‘confirm’ ada dalam setlist tu. Sampai bila nak dengar lagu ‘favourite’ dekat ‘spotify’ sahaja? Mari datang menikmati lagu kegemaran secara langsung. Kita berhibur bersama-sama. Jangan risau, kita semua saudara lain mak pak tapi sama citarasa muzik. Venue yang selesa dengan pendingin hawa dan kemudahan tandas memastikan pengalaman yang menyenangkan. Penulis pernah hadir acara sebelum ini, fakta di atas semuanya benar belaka. Tak tipu.
Underground music going against the grain! A celebration of doing what we love and loving what we do, in our own way.
Masa depan scene muzik kita dalam bahaya. Muzik-muzik negara jiran semakin hari semakin menjajah jiwa-jiwa peminat di tanah air kita. Belum lagi kira kebanjiran kedatangan artis luar dari benua Eropah, Amerika dan Asia Timur. Bukanlah bermazhab menolak meraikan kepelbagaian muzik, tetapi kenapa kita sanggup menghabiskan ratusan ringgit untuk mereka, namun berkira-kira dalam menyokong industri muzik scene kita sendiri. Malu? Muzik sampah? Lirik tak kena jiwa? Turun padang dulu, baru kita akan sedar kita juga ada kualiti kita tersendiri. Ini Malaysia negara kita, tanah tumpahnya darah kita. Mari hadirkan diri, raikan dengan cara kita sendiri. Hentikan rampasan tanah. Ini tanah kita!
Selesai membebel, kembali ke agenda utama kita. Sedikit berita buruk juga untuk anda di luar sana. Sehingga artikel ini ditulis, 60% tiket sudah pun terjual. Tiket boleh didapati juga di ‘door’, pun begitu jika ‘limited presale tix’ yang dijual di laman sesawang rasmi mereka sudah pun habis terjual, ucapan selamat tinggal saya ucapkan. Pendek kata, lambat tinggal. Janganlah menjadi mangsa lambat tinggal tersebut, lekas layari laman sesawang mereka http://www.petaibelalangkl.com/ untuk dapatkan tiket anda. Jangan cakap penulis tak pesan!
Untuk maklumat lokasi, sila semak Instagram rasmi Petai Belalang KL. Lokasinya terletak di atas Restoran Nasi Kandar Al Haji Bistro, Jalan Kampung Attap. Habis festival, boleh pekena kari kepala ikan sama-sama! Akhir kata, dijemput sekali lagi anda semua di luar sana untuk hadir memeriahkan festival ini. Festival yang penulis pasti 200% sepasti-pastinya, peminat semua tidak akan dikecewakan dan festival ini pasti berjaya memuaskan hari anda. Jumpa di sana okay?
Beli tiket di: https://petaibelalangkl.com/