M. Nasir Terus Unggul – Konsert Raya Pertama di Malaysia!

oleh Khaliq G
274 bacaan

Kredit: Bangsawan Pictures

Apa lagi yang mahu diperkatakan? Malam Ahad, 13 April yang lalu menjadi satu bukti keunggulan figura seni tanah air, Mohamad Nasir bin Mohamed Sam — atau lebih dikenali sebagai Dato’ M. Nasir. Legenda hidup ini mencatat sejarah sebagai artis pertama di Malaysia yang tampil dengan konsert rayanya sendiri — Konsert Cipta Raya Dato’ M. Nasir!

Dianjurkan oleh ICON Entertainment, sudah pasti orang ramai boleh mengagak bahawa konsert ini pasti tampil luar dari kebiasaan. Dan ya, Iman Tang selaku nahkoda utama dalam kejayaan konsert ini membawa kemeriahan apabila mengadakan ‘rumah terbuka’ sebelum konsert bermula. Jam 6.00 petang, penonton sudah mula berpusu-pusu untuk menikmati juadah raya yang disediakan ‘tuan rumah’. Bukanlah ICON Entertainment kalau tidak menuntut penonton hadir dengan tema pakaian. Kali ini, penonton diminta datang dengan berbusana raya paling cantik mereka, kerana malam itu bakal menjadi konsert paling istimewa yang pernah mereka hadiri.

Kali ini, Zepp KL menjadi gelangang buat Dato’ M. Nasir ligat berpanggung. Walaupun jauh berbeza kalau hendak dibandingkan dengan dua konsert terdahulu yang diadakan di Axiata Arena, tetapi penulis berpendapat bahawa Zepp adalah venue yang ideal kerana penonton dapat menikmati suasana konsert yang lebih intimate dan meriah.

 

Tidak membiarkan penonton menunggu lama, tirai panggung dibuka tepat jam 8.15 malam. Raya Yang Sempurna, lagu yang pernah dipopularkan oleh Dato’ Awie dipilih sebagai lagu pembuka acara malam tersebut. Untung saja menjadi seorang Maestro muzik, Dato’ M. Nasir mempunyai koleksi lagu yang cukup banyak dalam gudang karyanya untuk dimainkan di pentas. Hari Raya Hari Bahagia kemudian dipersembahkan. Kalau Ramlah Ram menghiburkan dengan versi lebih lunak dan manja, lagu ini di tangan Dato’ M. Nasir dipersembahkan dengan lebih jantan dan macho.

Malam itu, M. Nasir kekal menjadi seorang M. Nasir. Simple dan berbicara mudah, tetapi tetap kelakar. Beliau menyapa para penonton dan berborak sedikit, namun tetap muncul jenaka-jenaka spontan yang membuatkan satu dewan ketawa.

Walaupun konsert ini merupakan konsert raya, mana boleh sifu yang satu ini melupakan lagu-lagu keramat yang sentiasa diminta peminat untuk dia nyanyikan. Hati Emas dan Raikan Cinta dipersembahkan. Ada penonton yang mula berdiri juga untuk sama-sama menari dan bergembira.

Malam penuh meriah diteruskan dengan persembahan lagu seperti Sentuhan Di Hari Raya (Datuk Amy Search), Suara Takbir (Saleem) dan Lebaran Bonda (Dato’ Hattan). Bilang Dato’ M. Nasir, Lebaran Bonda merupakan antara lagu kesukaan beliau, dan beliau sendiri hairan kenapa lagu ini tidak popular di kalangan peminat. Terus saja beliau mengusik bahawa ini semua salah pendengar, kerana tidak mahu mendengar lagu ini! Satu dewan ketawa dengan jenaka spontan seniman yang satu ini.

Kredit: Bangsawan Pictures

Tidak mahu konsert berlangsung mendatar saja, Dato’ M. Nasir menjemput seorang penonton wanita untuk naik ke pentas bagi menyanyi bersama beliau. Satu dewan bersorak apabila penonton bernama Putri yang cantik berkebaya merah naik ke pentas, mempunyai suara cukup merdu menyanyikan Halaman Asmara (dengan asal Awie dan Ziana Zain) bersama beliau.

Tidak cukup itu, seorang lagi penonton dijemput tampil ke pentas. Kali ini, penonton lelaki diminta untuk menyanyikan sebuah lagu. Suatu Masa menjadi pilihan penonton bernama Shamsul, dan suaranya boleh tahan sedap juga. Kali ini, Dato’ M. Nasir bergurau kasar apabila meminta Shamsul turun pentas dan menamatkan lagu.

Antara rakan artis yang hadir memberikan sokongan untuk konsert raya pertama di Malaysia pada malam itu ialah Aliff Satar, Sherry Alhadad dan Dira Abu Zahar. Antara lagu lain yang didendangkan pada malam bersejarah tersebut ialah Suata Masa, Salam Dunia, Sahabat Gua dan Apokalips. Ketika Sahabat Gua dan Apokalips dimainkan, penonton semua berdiri dan menari, tiada siapa yang mahu duduk dan menjadi bosan di dalam konsert. Malam itu malam untuk berpesta buat mereka semua!

Salam Dunia menjadi satu-satunya lagu yang dinyanyikan dua kali oleh Dato’ M. Nasir pada malam itu, kerana mendapat permintaan dan sorakan daripada penonton untuk dinyanyikan sekali lagi. Siapa saja yang tidak menyukai lagu raya yang satu ini. Liriknya cukup menginsafkan dan menjentik hati kita yang mendengar. Selain itu, Selamat Hari Raya nyanyian asal Puan Sri Saloma telah ditampilkan dalam rendisi rock/punk. Penulis secara personal cukup menyukai versi ini yang sedikit jahat dan nakal. Siapa sangka maestro yang satu ini akan tampil memainkan karya agung Puan Sri Saloma, tetapi disuntik dengan energy bad boy dalam lagu raya malar segar tersebut!

Secara keseluruan, ini merupakan sebuah lagi konsert yang menjadi penanda aras baharu untuk industri muzik tanah air. Seperti dinyatakan oleh Datuk M. Nasir, beliau juga berharap bahawa akan ada lebih banyak lagi konsert raya dianjurkan selepas ini. Keberanian dan kebijaksanaan Iman Tang dan team ICON Entertainment sewajarnya kita berikan tepukan yang cukup gemuruh.

Kredit: Bangsawan Pictures

Konsert ini ternyata berjaya membuatkan semua penonton pulang dengan hati yang gembira. Ramai juga yang keluar panggung sambil menyanyikan lagu raya!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅