Pada Disember 2020 , Margasatwa berjaya membawa pulang geran bernilai RM 20,000 setelah menjuarai Levi’s Music Project. Geran yang mereka perolehi ini digunakan sepenuhnya dalam pembikinan video muzik (MV) lagu baru mereka, Yang Asli, yang secara rasmi dilancarkan pada 20 Mei 2021.
Ternyata Margsatwa menonjolkan sisi lain dalam pementasan Yang Asli kali ini. Mereka merupakan sebuah kumpulan yang tidak asing lagi di ruangan bawah tanah, juga semakin dikenali di saluran arus perdana semenjak melancarkan album sulung mereka di bawah naungan Luncai Emas.
Margasatwa yang dikenali sebagai sebuah band yang sering mencorakkan muzik nusantara ini disebut sebagai kumpulan yang mengimbangi permintaan pasaran dan kesenian mereka berkreatif meskipun menurut Syahir, “Kami hanya memainkan semua jenis muzik yang kami cinta dengan cara tersendiri. Tidak ada sebarang kumpulan pendengar yang kami sisihkan, baik arus perdana atau indie. Muzik Margasatwa untuk semua rakyat Malaysia.”
Setiap orang mempunyai keunikan dan kecantikan yang tersendiri. Kita tidak harus menilai diri berdasarkan pendapat orang semata-mata. Margasatwa mengajak para pendengar untuk percaya dan yakin dengan keunikan diri sendiri, menjadikan diri lebih fokus dan bahagia dalam hidup sementelah mengejar impian masing-masing yang ternyata unik.
Yang Asli adalah hasil arahan Adriana Tunku yang turut mengarah MV pelbagai artis tanah air termasuklah Dato’ Siti Nurhaliza, juga juara AJL 35 – Gila nyanyian Kaka Azraf, Noki dan LOKA B.
MV ini menceritakan tentang betapa skeptikal dan tipikal sesetengah orang dalam menilai yang lain hanya berdasarkan rupa. Namun individu tersebut kemudian bangkit dan membuktikan kebolehan dan keyakinan diri sebagai simbolik dari petikan lirik “Kecantikan tidak boleh diraih, kecantikan hanya dipelihara.” Selain dari penceritaan itu, Margasatwa turut mengetengahkan nilai fesyen yang unik. Salah satunya adalah material songket yang ditempah khas pada jaket Levi’s Fadhil (pemain gitar utama) dan pengayaan ala-ala 70an atau 80an sebagai identiti pada MV kali ini.
Ikuti Margasatwa di: