Melodi Baharu dari Jiwa Lama

Lasa Luncur Album Sulung, 'Cerita Kita'

oleh Aniq Ammar Ekhwan
437 bacaan

Unit Alternative Country dari Kuala Lumpur, Lasa telah melancarkan album sulung berjudul Cerita Kita di semua platform strim digital.

Kuala Lumpur telah melahirkan banyak band berbakat, tetapi Lasa muncul dengan semangat yang segar dan mempesona. Sebagai band alt-country yang diasaskan oleh produser Aiman Z., Lasa mencampurkan tenaga dinamik alt-rock dengan sentuhan ikhlas muzik country. Inspirasi mereka terdiri daripada artis-artis antarabangsa seperti Pinegrove dan Sadurn digabungkan dengan pengaruh tempatan seperti Pasca Sini dan Mascot, menjadikan muzik mereka unik, peribadi dan sejagat.

Selepas tiga tahun mendalami dunia muzik bersama Mascot, Aiman(vokalis/gitaris) merasakan sudah tiba masanya untuk meneroka suaranya sendiri. Projek ini bukan sekadar percubaan baharu, tetapi juga ruang untuk berkongsi pengalaman hidupnya secara lebih intim. Dengan fokus kepada empati dan hubungan melalui muzik, Lasa berusaha mencipta pengalaman bermakna untuk setiap pendengar.

Album debut mereka, Cerita Kita adalah manifestasi jiwa dan pengalaman hidup Aiman. Mengangkat tema seperti menjadi ibu bapa, persoalan eksistensial dan eksplorasi diri, album ini membawa pendengar menyusuri perjalanan emosi yang mendalam.

“Oh man, it’s one of the best feelings,” kata Aiman tentang pelancaran album ini. Baginya, album ini seperti sekuel kepada Penutup, EP pertama dari Mascot, tetapi dengan fokus lebih kepada penceritaan dan penghayatan lagu berbanding teknikaliti semata-mata.

Setiap lagu dalam album ini membawa cerita tersendiri. Salah satu yang paling istimewa ialah “Kalasahan,” yang bermaksud ‘kesayangan’ dalam bahasa suku kaum Simunul, warisan ibunya. Lagu ini ditulis untuk meraikan kehadiran anak perempuannya, Aimee, yang nama tengahnya juga ialah Lasa.

“Masa dia belajar senyum untuk kali pertama, aku rasa macam berada di syurga,” cerita Aiman penuh emosi. Lagu ini adalah penghormatan kepada keajaiban kecil dalam hidup yang mengubah segalanya. Sementara itu, “Tunggu” menangkap sisi lain kehidupan — kesukaran kewangan ketika menjadi bapa baru. Dalam menghadapi tekanan menyediakan yang terbaik untuk keluarganya, Aiman menemui kekuatan melalui muzik. “Ini cabaran, bukan halangan,” adalah mesej utama lagu ini, mengingatkan kita bahawa harapan sentiasa ada.

Aiman percaya pendengar Malaysia sebenarnya mempunyai selera terhadap muzik country moden. Dari artis klasik seperti Keith Urban hingga awal karier Taylor Swift, elemen country telah lama bertapak di hati ramai. “Apa yang Lasa buat ialah mengambil elemen itu dan menggabungkannya dengan alt-rock,” jelasnya. Gabungan ini diharapkan dapat memberikan sesuatu yang baharu tetapi akrab kepada pendengar.

Lasa bercadang untuk memeriahkan pentas tempatan dengan persembahan dan beberapa single baru. Semangat Aiman untuk mencipta hubungan bermakna melalui muzik memberikan harapan bahawa Lasa akan terus relevan dan berkembang dalam industri ini.

“Cerita Kita adalah sebahagian daripada kisah hidup aku untuk dihubungkan dengan korang semua. Jika korang suka muzik ini, sokonglah kami dengan cara apa pun, sama ada membeli merchandise atau sekadar berkongsi lagu. Banyak lagi yang akan datang dari Lasa, jadi kita jumpa di pentas nanti!” ujar Aiman dengan semangat.

Lasa bukan sekadar sebuah band; ia adalah sebuah pengalaman. Dengarkan Cerita Kita dan biarkan diri anda hanyut dalam alunan melodi dan cerita yang tulus.

Ikuti Perkembangan Lasa di:

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅