Dasawarsa TAPAU – Satu Dekad Kembara Seni

oleh Hamizan Hamsan
157 bacaan

Kredit: @arttherockshow

Tahun 2024, genap 10 tahun Tapau merayakan ulang tahun penglibatan mereka sebagai sebuah komuniti seni lokal yang sangat aktif mempromosikan bakat-bakat tempatan. TAPAU telah wujud dengan sangat signifikan sejak awal kemunculannya, mengadakan pelbagai acara daripada gig kecil-kecilan hingga ke pentas besar. Bahkan mereka juga sudah berjaya menembusi peringkat serantau kebelakangan ini dengan penganjuran festival yang disertai artis-artis dari Singapura, Thailand dan juga Indonesia bersama-sama barisan artis indie Malaysia yang lain.  

Ahmad Faris, pengasas TAPAU. Kredit: @arttherockshow

Kali ini TAPAU 10 Tahun dilangsungkan di Studio AB Petaling Jaya selama dua hari berturut-turut pada 28 dan 29 Disember 2024.  Acara pada hari pertama bermula seawal jam 10:00 pagi dengan TAPAUkon Mini yang seakan persidangan membicarakan hal-hal pergerakan komuniti seni indie sehingga petang. Sesi sebelah petang kemudiannya disambung dengan pentas konsert TAPAUfest Rojak All Stars bermula pada jam 5:00 petang.

Konsert dimulakan oleh Terrer dan disusuli dengan suri-jiwa-indie Liyana Fizi yang mempersebahkan lagu-lagu hits beliau seperti Ternyata, Jatuh dan Stay yang pasti menggamit memori pengunjung kembali ke era awal kemunculan penyanyi jelita ini. Sebelum berhenti rehat waktu Magrib, slot Aktadiri tidak kurang hebat dengan bunyi-bunyian alt-rock mereka. Sedikit ralat ketika ini yang kadangkala mikrofon seakan terputus-putus namun tidaklah mengganggu keseluruhan set.

Gard Wuzgut meneruskan acara sebelah malam bersama barisan rappers jemputan bagi memeriahkan set beliau termasuk Airliftz juga muncul menyampaikan sebuah lagu. Okirama, band berasal dari Johor Bahru mengambil alih pentas mempersembahkan lagu-lagu mereka yang mendayu-dayu meruntun jiwa penonton. Gard Wuzgut dan Okirama adalah dua nama yang perlu diperhatikan dalam tahun mendatang. Mereka ada potensi besar untuk bersinar dan menyinari arena muzik tempatan. Kemuncak hari pertama diakhiri dengan band Iqbal M. yang amat sinonim dengan nama TAPAU itu sendiri. Upacara “buka baju” terus menjadi tradisi Iqbal M. sambil menghiburkan pengunjung dengan lagu-lagu mereka yang energetik.

TAPAUkon Mini. Kredit: @arttherockshow

Hari kedua juga dimulakan seawal jam 10:00 pagi. Namun, kali ini bukanlah sesi persidangan tetapi Tapau FC Battle berlangsung dengan dimeriahkan oleh penyertaan pempengaruh media sosial seperti Bidin dan juga Luqman Podolski. Nafis Abang Botak dinobat sebagai juara TAPAU FC Battle edisi 2024 selepas mengalahkan Luqman di peringkat Akhir dengan agregat 9-2.

Acara konsert untuk hari kedua dibarisi band-band yang lebih energetik dari segi genre. Dimulakan oleh FUAD, The Filters dan Porcelain untuk tiga band pertama sudah cukup untuk menggambarkan hype yang dialunkan menggegarkan pentas. Disusuli dengan Jemson yang cukup terkenal dengan aksi adrenalin tinggi di pentas. Band yang sudah tour di Jepun dan Taiwan ni mudah sahaja mengawal pentas dengan lagu-lagu popular mereka.

Seru kemudiannya mengambil pentas seolah-olah “merehatkan” konsert dengan genre post-rock mereka yang beralun-alun. Encore keseluruhan acara TAPAU 10 Tahun diletakkan di bahu band tersohor negara, Masdo. Sebagai raja arena indie yang saban hari dan minggu berpentas, Masdo membuatkan pengunjung tidak henti-henti bernyanyi dan menari bersama lagu-lagu seperti Dinda dan lain-lainnya.

Tahniah kepada TAPAU atas segala usaha dan dedikasi yang dicurahkan. Semoga TAPAU terus membungkus pergerakan ini dengan rapi untuk puluhan tahun akan datang.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅