Masih ingatkah kalian dengan Najmi Niery, penyanyi solo yang membuat persembahan debut di Drum Asia Kuala Lumpur pada 19 November 2021? Kini beliau telah hadir dengan single bertajuk ‘Dekati’ pada 22 Disember 2022 di semua media platform.
Najmi Niery merupakan artis tempatan yang sedang meningkat naik berpangkalan di Kuala Lumpur. Sepanjang 2022, beliau telah membuat pelbagai persembahan seperti Malam Galau Indonesia 2.0, majlis resepsi dan pelbagai lagi. Penulis menyukai kredibiliti beliau bukan sahaja sebagai penyanyi yang versatil, malah Najmi mempunyai aura yang tersendiri dan mengingatkan penulis kepada Afgan dan Tulus iaitu penyanyi Indonesia.
Lagu ini menceritakan tentang cinta di antara dua jiwa yang dulunya teramat tulus. Atas alasan apa pun mereka terpisah, mereka tidak lagi membuka ruang hati untuk sesiapa pun yang hadir dalam hidup mereka atas dasar kecewa dan tawar hati.
“Single ni saya mengharapkan kita akan belajar untuk menerima dan menghargai insan yang hadir ke dalam hidup kerana mungkin ini merupakan perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup anda kerana apabila orang tu dah tiada, mungkin kita akan menyesal dan mengharapkan segalanya kembali seperti dulu.”
Pada pendapat penulis, ‘Dekati.’ menarik perhatian dalam pelbagai bentuk, seperti melodi, lirik & susunan muzik yang bijak. Bukan itu sahaja, cara Najmi menyampaikan lagu ini seolah-olah menginginkan pendengar merasa apa yang beliau lalui selama ini.
Lagu ini juga merupakan hasil kolaborasi antara Malaysia & Indonesia. Ditulis & dicipta oleh Najmi Niery manakala susunan muzik dilaksanakan oleh Joel Christ dan mempunyai sentuhan Ari Renaldi dari Indonesia. Sejujurnya, single ini telah menetapkan kayu ukur & jangkaan yang besar terhadap lagu-lagu mereka yang akan datang.
Tahniah atas pelancaran single ini. Penulis mendoakan kesejahteraan Najmi dan teruskan perjuangan anda dalam industri muzik Malaysia serta teruskan dalam berkongsi rasa bersama pendengar. Adios.
Ikuti Najmi Niery di: