Bagaikan di Alam Fantasi, Tulus Mengubat Kerinduan Peminat di Malaysia

oleh Aniq Ammar Ekhwan
1.5K bacaan

Kredit Foto: Shiraz Projects

Pada 6 Januari yang lalu, penulis telah menghadiri Pertunjukan Fabulous Friday: Tulus di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan menjadi malam yang sangat indah buat penulis dan semua peminat penyanyi yang berasal dari Indonesia ini.

Kali terakhir beliau membuat persembahan di sini ialah pada Sewindu Tour tahun 2019 dan setelah sekian lama, para peminat berpeluang kembali mengubati rindu apabila dapat melihat Tulus membuat persembahan di Malaysia pada 5 dan 6 Januari lalu.

Bermula jam 8.30 malam, Tulus telah menyampaikan 15 buah lagu antaranya ‘Satu Kali’, ‘Ruang Sendiri’, ‘Gajah’, ‘Sewindu’, ’Teman Hidup’, ‘Monokrom’ dan juga lagu hits beliau dari album Manusia iaitu ‘Hati-Hati Di Jalan’. Bukan itu sahaja, beliau turut menghiburkan para peminat dengan lagu ‘Pamit’ dan ‘Langit Abu-Abu’ yang menjadi permintaan penonton yang hadir dan mengakhiri persembahan dengan Encore ‘Manusia Kuat’ di hadapan 2800 penonton. Pertunjukan berakhir pada 10.30 malam.

Kredit Foto: Shiraz Projects

Ketika pertunjukan berlangsung, beliau meluahkan rasa gembira apabila dapat ke Malaysia untuk berjumpa dan membuat persembahan secara langsung di hadapan para peminatnya.

“Saya sangat senang dapat kembali ke Malaysia untuk membuat persembahan di hadapan anda sekali lagi, dalam masa yang ada ini. Saya akan cuba menyampaikan lagu sebanyak mungkin untuk anda.”

Beliau juga sempat berceloteh mengenai hari pertama pertunjukan berlangsung.

“Semalam (Khamis) saya turun ajak peminat untuk nyanyi bersama saya, tapi saya ada berita baik dan buruknya.”

 

“Yang baiknya saya dapat mendekati peminat-peminat saya tapi yang buruknya suara peminat saya semua sedap-sedap, saya rasa tercabar (sambil berseloroh). Jadi hari ini tidak perlu ya, saya tahu semua boleh menyanyi dengan baik sekali.”

Peralihan setiap lagu dalam Pertunjukkan Fabulous Friday: Tulus memberi makna yang tersendiri apabila para peminat seolah menelusuri alam fantasi di mana setiap lagu mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Kredit Foto: Shiraz Projects

Sejujurnya, penulis sangat berpuas hati dengan pertunjukan pada hari itu bukan sekadar persembahan bertenaga daripada Tulus, malah pihak penganjur juga telah menjalankan tugas dengan baik dari awal hingga akhir acara. Walaupun penulis mendengar ada yang tidak berpuas hati tentang minit persembahan selama 1 Jam 15 minit tidak setaraf dengan harga, namun tidak mengapa. Asalkan kualiti sesuatu persembahan itu bagus dan memberi impak yang positif buat pendengar. Penulis yakin bahawa Tulus akan kembali pada satu hari nanti dan membawakan lebih banyak lagu-lagu kegemaran peminat.

Tahniah buat penganjur. Semoga kalian sukses di masa hadapan dan mengharapkan lebih banyak pertunjukan sebegini di hari mendatang. Adios.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅