Pretty Ugly bakal menganjurkan konsert solo pertama mereka pada 25 Februari 2023 ini bertempat di The Paddock PJ, Kelana Jaya.
Istimewanya, konsert yang dianjurkan secara kendiri di bawah label CD Bagasi Music ini juga adalah bagi meraikan ulang tahun ke-21 penubuhan kumpulan rock yang popular dengan lagu-lagu seperti Diari Seorang Lelaki, CD Bagasi Honey, Francis Ford Coppola, En. Ronald Moore, Jika Diberikanku Satu Peluang, Kelab Jiwa Muzik dan banyak lagi ini.
Pretty Ugly yang dianggotai oleh Neves (vokalis), Jay (gitar) dan Juad (bass) menegaskan bahawa mereka akan membawakan sebanyak 21 buah lagu pada konsert yang akan bermula jam 8 malam itu nanti sebagai penghargaan kepada peminat yang terus kekal menyokong perjuangan mereka sepanjang berkarier dalam industri seni Malaysia.
Konsert tersebut juga turut menampilkan dua buah kumpulan yang sedang meningkat naik dalam industri muzik iaitu Late Night Frequency dan juga Banyakbunyikrepublik. Kedua–dua band ini dipilih sendiri oleh Pretty Ugly kerana minat pada konsep muzik yang dibawakan mereka.
Dalam pada itu, satu segmen tribute khas untuk Allahyarhamah Siti Sarah juga akan dipersembahkan di mana lagu ciptaan Neves untuk Allahyarhamah yang pernah menjadi lagu hit radio iaitu Jangan Kau Mimpi akan diberikan versi Pretty Ugly yang lebih segar. Untuk trivia, Neves pernah terlibat sebagai penerbit dan pencipta lagu di dalam tiga album pertama Siti Sarah.
Tiket konsert sudah mula dijual sejak 16 Disember 2022 yang lalu di http://prettyugly.ubertickets.asia.
Tiket-tiket berharga RM90 (early bird), RM110 (normal) dan RM150 (walk-in) adalah berdiri. Manakala RM190 untuk meet & greet (duduk termasuk makanan dan minuman) terhad kepada 30 pax sahaja.
Kepada yang berminat untuk mengetahui kisah-kisah menarik tentang lagu-lagu ciptaan Neves untuk Pretty Ugly, tonton video temubual kami dengannya di bawah:
Dengarkan juga album terbaharu mereka, Pretty Ugly 21 yang membariskan lagu-lagu popular sepanjang karier mereka dengan nafas baharu: