Nadin Amizah Sambut Ulang Tahun ke-23 di Malaysia Dengan Konsert Teatrikal Yang Memukau

oleh Mohd Aqil Aiman
1.2K bacaan

Pertama sekali, jutaan tahniah penulis ucapkan kepada pihak MYdeteksi dan TAPAUasia kerana telah berjaya menerbangkan Nadin Amizah ke Malaysia sekaligus mengadakan konsert perdana yang diberi nama Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya oleh Nadin Amizah pada 21 Januari yang lepas.

Beliau yang cukup terkenal dengan lagu-lagu seperti Bertaut, Sorai, Seperti Takdir Yang Kita Tulis dan Rumpang penuh antusias akhirnya bertemu dengan lebih 2,000 peminatnya di Malaysia. Ia ternyata meninggalkan kesan terindah kepada semua yang hadir dan merupakan hadiah teristimewa untuk dirinya sempena sambutan ulang tahun ke-23 tahun bintang Indonesia tersebut.

Para peminat telah pun hadir seawal jam 5 petang bagi memenuhi perkarangan Zepp KL. Seperti tema ulang tahun yang telah ditetapkan oleh Nadin Amizah, rata-rata peminat hadir mengenakan pakaian mereka yang paling segak. Ada yang berbaju melayu, ada yang berkain batik dengan blouse berwarna warni, ada yang berkemeja, ada yang mengenakan selengkap persalinan berwarna putih dihiasi gelang tangan yang menarik dan juga ada yang bertshirt kemas. Semuanya cantik-cantik pada malam itu.

Sebanyak 18 buah lagu telah dipersembahkan pada malam itu dan Nadin Amizah memecahkannya kepada dua babak demi menceritakan kisah-kisah hidupnya daripada kecil sehingga dewasa. Tidak dinafikan, sememangnya kekuatan Nadin Amizah bukan sahaja pada vokal dan cara beliau berinteraksi dengan peminat malah persembahan beliau memang mengagumkan dengan pemuzik kontemporari diiringi Team Sorai. Sebuah konsert yang amat-amat memuaskan hati.

“Ini pertama kali saya membawakan 18 lagu dan saya tak pernah menyanyikan sebanyak ini. Dan saya sedar rupanya ia sangat penat ya. Jadi saya memerlukan stamina yang sangat banyak supaya tidak penat ketika konsert nanti,” katanya.

Benarlah kata Nadin Amizah, “Sesuatu yang kecil bisa menggerakkan hati yang besar.” Semoga nanti kita bertemu lagi di Malaysia dan bersama-sama lagi berkongsi rasa. Terima kasih untuk persembahan yang memukau.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅