Dongker Bawa ‘Melankolia Radikal’ ke Ipoh - Music Addicts Malaysia

Dongker Bawa ‘Melankolia Radikal’ ke Ipoh

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 33 bacaan


Oleh: Wan Ahmad Syakir


Ada band yang membuat muzik untuk didengar. Ada juga band yang membuat muzik kerana ada sesuatu yang perlu diluahkan. Dongker barangkali berada di antara kedua-duanya. Datang dari Bandung, Indonesia, sekumpulan anak muda ini membawa ‘punk’ bukan sekadar sebagai ‘genre’, tetapi sebagai bahasa. Bahasa untuk bercakap tentang keresahan, kemarahan, kesedihan dan segala benda yang kadang-kadang terlalu berat untuk disebut secara biasa.

Selepas Bertaruh Pada Api, Dongker kembali dengan album kedua mereka, Melankolia Radikal. Dilancarkan sekitar penghujung Ogos, bertepatan dengan bulan kemerdekaan Indonesia, album ini hadir dengan sebelas trek yang terasa seperti serpihan daripada sebuah zaman yang sedang tidak baik-baik sahaja. Selamat Malam Tuhan, Takbir Terdengar Kejam, Penyesalan > Kelahiran, Kukubur Trauma, Metafora Berpelukan, Lamunan Ringan di Singapura, Lagu Selepas Hujan, Lautan Bunga Berwarna Terang, Kisah Sedih Kontemporer, Nyaris Sempurna Sedikit Cacat dan Nir Imajinasi.

Sebelas lagu. Sebelas ruang untuk melankolia itu bernafas. Dan Dongker tidak menyimpannya lama-lama di Bandung. Melalui akaun rasmi mereka, @baladagehel, Melankolia Radikal dibawa mengelilingi tiga buah negara iaitu Jepun, Malaysia dan akhirnya Indonesia, tanah kelahiran mereka.

Selepas meninggalkan negara matahari terbit, Malaysia menjadi persinggahan seterusnya. Kuala Lumpur sudah menerima mereka pada minggu lalu. Sekarang, giliran Ipoh. Ipoh bukan sekadar tempat persinggahan di dalam peta. Bandar ini mempunyai komuniti muziknya tersendiri, komuniti yang mungkin tidak selalu berada di bawah radar, tetapi tidak pernah mati. Sebuah bandar yang turut diiktiraf UNESCO sebagai ‘City of Music’, dan untuk sebuah ‘band’ seperti Dongker, cukup masuk akal untuk menjadi persinggahan wajib.

Pada 24 September ini, Pedrosebelas akan menjadi tempat Dongker meneruskan perjalanan Melankolia Radikal mereka. Sebelum itu, jika ada yang masih tertanya-tanya apa yang menarik tentang album ini, mungkin jawapannya bukan terletak pada sebelas trek lagu tadi. Jawapannya terletak pada masa album ini dilahirkan. Melankolia Radikal muncul ketika rasa tidak puas hati terhadap keadaan sosial, ekonomi dan politik di Indonesia sedang membuak. Kemelut ekonomi, korupsi, kegagalan sistem dan persoalan tentang kebajikan rakyat menjadi latar yang sukar dipisahkan daripada keresahan yang dibawa album ini. Di tangan Dongker, semua keresahan itu diterjemahkan menjadi muzik. Bukan muzik untuk melarikan diri daripada realiti. Sebaliknya, muzik untuk memandang realiti yang sedang tembak tepat menampar diri.

Melankolia di Kolong barangkali Cara terbaik untuk memahami Dongker bukan dengan membaca tentang mereka tetapi lihat susun atur buah catur mereka bermain. Ketika pelancaran album melalui persembahan khas Melankolia di Kolong di Taman Skateboard, Bandung, hampir 4,000 peminat dikatakan berkumpul memenuhi ‘venue’ di bawah jambatan. Tiada pentas mewah. Tidak perlu ‘venue’ eksklusif. Hanya Dongker, muzik mereka dan lautan manusia yang datang untuk berkongsi satu cerita. Lebih menarik, tiket persembahan tersebut dilaporkan boleh dibayar ganti menggunakan beras, bukan wang tunai. Beras yang dikumpulkan kemudiannya diberikan kepada peminat yang memerlukan.

Di situ, Melankolia Radikal terasa lebih daripada sebuah album. Ia menjadi sebuah kehidupan. Sebuah karya yang tidak berhenti selepas bunyi terakhir daripada gegedang ‘speaker’, tetapi cuba kembali kepada manusia yang menjadi sebahagian daripada cerita itu.

Berbalik kepada ‘tour’ Melankolia Radikal di Ipoh, bagi yang belum mendapatkan tiket, anda boleh mendapatkannya di ‘door’ dengan harga RM60 selagi masih ‘available’. ‘Early bird’ dan ‘presale’ pula dikhabarkan sudah tamat. Selain Dongker, malam tersebut turut menampilkan HEM, Burn Furry, Besska Tok Saad Dan Eksemplar.

Lima nama. Satu pentas. Sebuah malam yang sepatutnya bukan hanya tentang ‘band’ dari Indonesia yang datang bermain di Ipoh. Ia juga tentang ruang yang diberikan kepada muzik untuk bertemu manusia. Kalau datang kerana Dongker, jangan lupa pulang dengan mengenali yang lain. Kalau datang kerana muzik tempatan, mungkin malam itu akan membuka pintu kepada sesuatu yang selama ini belum pernah didengar. Sebab kita terlalu lama bercakap tentang muzik berdasarkan sempadan, ‘genre’, negara, bahasa, ‘scene’. Sedangkan muzik tidak pernah peduli tentang semua itu. Apa sahaja ‘genre’, kita raikan. Tanpa prejudis. Tanpa perlu terlalu banyak alasan dan ‘drama indie’.

Selepas semua bunyi ini hilang, Melankolia Radikal mungkin bermula sebagai cerita Dongker. Tetapi setelah ia sampai ke telinga pendengar, cerita itu bukan lagi milik mereka sepenuhnya. Ia menjadi milik sesiapa yang pernah merasa kecewa. Sesiapa yang pernah marah. Sesiapa yang pernah tertanya-tanya kenapa hidup terasa semakin berat. Dan mungkin juga milik mereka yang masih memilih untuk terus hidup walaupun keadaan memaksa sebaliknya.

Kepada Dongker, terima kasih kerana membawa karya ini keluar dari Bandung dan menyeberangi sempadan.

Kepada Ipoh, sedikit pesanan 24 September nanti jangan datang sekadar untuk menonton. Datang untuk merasa. Datang untuk berpeluh. Datang untuk menyanyi. Dan kalau boleh, jangan lupa bawa topeng Dongker.

Penuhkan Pedrosebelas dengan pelbagai warna-warni topeng kebangsaan Dongker. Semoga kita semua bergembira di dalam melankolia ini. Jumpa lagi.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅