Faizal Tahir Suara Rakyat: Dua Dekad, Satu Legasi - Music Addicts Malaysia

Faizal Tahir Suara Rakyat: Dua Dekad, Satu Legasi

oleh Khaliq G
0 komen 43 bacaan

Kredit: Hitman Solutions

Dua dekad bukanlah tempoh yang singkat. Tidak semua anak seni mampu kekal relevan dan terus mendapat tempat di hati peminat selepas 20 tahun perjalanan karier.Namun, malam Sabtu lalu, Faizal Tahir (FT) membuktikan bahawa pengaruhnya masih utuh apabila berjaya menghimpunkan lebih 10,000 peminat di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 3 Oktober lepas menerusi konsert Faizal Tahir : Suara Rakyat.

Superstar kelahiran program One In A Million (OIAM) musim pertama tersebut membuktikan bahawa kredibiliti beliau sebagai seorang penghibur ternyata masih berbisa dan belum pudar. Tepat jam 8.30 malam, tirai konsert dibuka. Petikan gitar menandakan bahawa malam bersejarah itu bakal dimulakan. Batu Dan Golek dipilih sebagai opening song – penulis kira suatu langkah yang cukup bijak. Lagu rock and roll itu membuatkan adrenaline penonton jadi membara, lagi pula lagu dari album pertama beliau sangat jarang didendangkan secara live. Set opening diteruskan dengan Gemuruh dan Cuba – dua lagu wajib di era awal kemunculan figura bernama Faizal Tahir ini. Gemuruh sehingga kini, masih lagi didendangkan lagi-lagi dalam majlis kem bina semangat, orientasi sekolah dan universiti, mahupun di acara korporat. Lagu ini seperti menjadi lagu wajib dalam membina semangat rakyat Malaysia, sekali gus memberikan makna tersendiri kepada gelaran Suara Rakyat yang diangkat menerusi konsert ini.

Momentum konsert pada set pertama diteruskan dengan himpunan lagu popular FT – Hanyut, Karma, Anti Graviti dan juga Sejati. Pilihan lagu-lagunya tentu saja membuatkan satu stadium bernyanyi bersama-sama, apatah lagi bila FT sentiasa membiarkan penonton singalong di bahagian chorus lagu-lagu tersebut. Cuma penulis perasan, banyak lagu di awal kemunculan beliau lagi-lagi lagu bernotasi tinggi, tidak dapat dia nyanyikan seperti dulu. Banyak key yang telah diturunkan dan seperti penulis nyatakan tadi, banyak kali juga FT mengajak penonton menyanyikan di bahagian tinggi. Iyalah, faktor usia tentu saja membuatkan tidak mudah untuk seseorang penyanyi, menyanyikan lagu dengan note asal seperti zaman kemunculan mereka. Tidak mengapa, penonton faham dan mereka enjoy menjadi sebagian daripada persembahan malam itu.

Perjalanan konsert diteruskan dengan set kedua, yang mana Assalamualaikum dipilih menjadi pembuka acara. Lagu yang dinobatkan sebagai Naib Juara AJL-30 ini antara lagu yang cukup signifikan dalam transisi perubahan muzik FT. Beliau yang kita cukup kenali dengan irama rock dan juga punya koleksi lagu balada yang banyak, kemudian memilih untuk menghasilkan lagu berunsur kemanusiaan. Assalamualaikum menjadi naskhah awal perubahan dunia muzik beliau, dan malam itu satu stadium tidak ketinggalan bernyanyi sambil menghayati maksud dalam lagu ini.

Mana mungkin kembara seniman bernama Faizal Tahir dalam arena muzik ini tidak diraikan tanpa kita menyingkap sejarah kemunculan awal beliau bersama kumpulan nasyid Mirwana. Mirwana dijemput ke atas pentas menjadi artis jemputan dan mereka bergabung menyanyikan semula lagu nasyid mereka yang cukup popular – Aku Tanpa Cintamu. FT dan Mirwana sempat berceloteh seketika mengingkap kembali perjalanan awal mereka dalam dunia muzik, sebelum persembahan diteruskan dengan lagu Biar Satu Dunia Tahu.

Faizal Tahir yang kita kenali di zaman kegemilangan beliau cukup gemar membawa gimik di atas pentas AJL. Malam itu, tiada gimik ditampilkan, namun Faizal membawa kejutan dengan menjemput sifu muzik nusantara, Datuk M. Nasir ke atas pentas! Bersorak sakanlah peminat kerana malam itu mereka menyaksikan dua gergasi muzik dari dua era berbeza di atas pentas, membawakan naskah duet mereka – Campak Bintang. Datuk M. Nasir sempat berseloroh, katanya “Bila Faizal Tahir masuk dalam industri, saya dah boleh relaks”. Simple, tapi pujian dari seorang maestro industri muzik membuktikan kehadiran Faizal Tahir mengubah landskap dunia muzik kita. Beliau bukan sahaja seorang penyanyi, sebaliknya seorang komposer, penerbit lagu, penulis lirik, pemilik rekod label, dan antara seniman penting dalam sejarah muzik tanah air.

Konsert Faizal Tahir : Suara Rakyat turut dihadiri beberapa tetamu kenamaan, termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh.

Hakikatnya, gelaran Suara Rakyat bukan sekadar retorik atau slogan yang menghiasi tajuk konsert. Sepanjang 20 tahun berkarya, Faizal telah menghasilkan lagu daripada pelbagai genre, termasuk karya patriotik yang kerap diperdengarkan sempena sambutan kemerdekaan negara.

Simbolik pengibaran Jalur Gemilang di atas pentas mengiringi persembahan Negaraku dan Malaysia, sekali gus memberikan dimensi kebangsaan kepada malam tersebut. Kedua-dua lagu ini mengukuhkan lagi hubungan antara karya Faizal dengan semangat serta identiti masyarakat Malaysia.

Dalam konteks ini, kekuatan Faizal terletak pada keupayaannya untuk bergerak daripada lagu berentak rock dan balada kepada karya berunsur kemanusiaan serta patriotik. Katalog muziknya memperlihatkan seorang pengkarya yang tidak terikat pada satu identiti muzik semata-mata, sebaliknya terus berkembang mengikut perjalanan seninya.

Berlangsung selama dua jam 30 minit, konsert tersebut turut menampilkan lagu-lagu seperti Santai, Kasih Tercipta, Sampai Syurga dan Aku Berjanji. Deretan karya tersebut menjadi pelengkap kepada perjalanan muzik yang telah membentuk hubungan panjang antara Faizal dengan para peminatnya.

Malam penuh nostalgia itu akhirnya menghampiri penghujung menerusi Mahakarya Cinta, lagu yang cukup sinonim dengan kemunculan Faizal di pentas akhir OIAM, sebelum persembahan diteruskan dengan Bila Lagi Nak Jumpa, lagu asal yang pernah dirakamkannya secara duet bersama kumpulan Senario.

Pemilihan Mahakarya Cinta sebagai penutup memberikan kesan tersendiri. Lagu ini bukan sekadar antara karya yang melonjakkan namanya, malah menjadi simbol kepada permulaan sebuah perjalanan yang kini sudah menjangkau dua dekad. Daripada seorang peserta program realiti kepada penghibur dan pengkarya yang membina katalog muzik tersendiri, perjalanan Faizal seolah-olah kembali kepada titik mula yang membentuk segalanya.

Jadi, adakah Faizal Tahir benar-benar Suara Rakyat? Melihat ribuan peminat menyanyikan lagu-lagunya bersama-sama malam itu, jawapannya semakin jelas. Karya yang terus hidup dalam ingatan pendengar, menjadi sebahagian daripada momen penting kehidupan mereka dan merentasi batas generasi ialah bukti bahawa pengaruh seorang seniman tidak terhenti pada tempoh popularitinya.

Dua puluh tahun sudah berlalu, tetapi perjalanan Faizal Tahir belum semestinya sampai ke penghujungnya. Jika malam itu menjadi ukuran, masih banyak ruang untuk beliau terus berkarya dan mencipta momen baharu bersama peminat. Suara Rakyat bukan sekadar tentang siapa yang berdiri di atas pentas, tetapi tentang lagu-lagu yang terus bergema dalam kehidupan mereka yang mendengarnya.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅