Sebuah lagu yang dilepaskan ke ruang udara muzik pada 7 Februari 2000. Ia juga merupakan salah satu lagu dalam album Standing on the Shoulder of Giants (album studio kelima daripada Oasis). Liriknya ditulis oleh pemain gitar utama, siapa lagi kalau bukan, Noel Gallagher dan dihasilkan oleh Mark “Spike” Stent.
Ia juga merupakan sebuah lagu yang pernah berada di tangga juara dalam carta:
- UK Independent Single Chart.
- Canadian Single Chart.
- Ireland Single Chart.
Perasaan pelik menghantui semua orang, lalu timbul satu soalan — mengapa lagu ini berjaya menduduki tempat pertama dalam carta dan apakah maksud di sebalik lagu ini?
Lagu memfokuskan tentang hilangkan segala ketakukan dan kerisauan dalam mengejar impian
Secara terang lagi bersuluh penulis ingin huraikan, iaitu lagu ini mengajak pendengar supaya mengimunkan kekuatan aura positif serta melepaskan segala kerisauan dan ketakutan dalam diri sendiri. Ia juga menyeru kita semua supaya berpegang teguh kepada pendirian sendiri dan tidak gentar untuk meluahkan segala isi hati secara bebas.
Lagu ini diserikan lagi dengan melodi yang energetik sehingga boleh mendatangkan aura inspirasi semasa kita sedang bersedih.
Bahagian yang penulis suka dalam lagu ini ialah selepas bahagian pertama lirik “go let it out”, ada suara yang berkata “pick up the pace” diiringi dengan peralihan nada muzik yang funky, rif gitar kuat serta bassline. Suara Liam Gallagher (vokalis) garau menjadikan ia sebuah lagu yang sempurna.
Tidak dinafikan ramai orang mula mencemuh Liam Gallagher kerana suaranya yang kian merosot pada waktu ini, tidak seperti suaranya semasa album “Definitely Maybe”. Akan tetapi, lagu ini telah membuktikan bahawa suara Liam masih lagi hebat dan tidak teruk seperti apa yang dikatakan oleh segelintir peminat muzik.
Sebelum tirai ditutup, eloklah penulis sajikan lagu Go Let It Out, kemungkinan ia boleh memberikan sedikit semangat kepada semua yang sedang hilang semangat:
Akhir sekali, satu soalan kepada semua penggemar Oasis, adakah lagu ini boleh diklasifikasi sebagai underrated? Berikan hujah anda di ruangan komen media sosial kami!