Trio punk rock Malaysia, No Good yang sebelum ini mencipta fenomena di sirkit muzik bawah tanah melalui EP Demo Kawe (2019) kembali dengan single terbaharu berjudul Kayaba, dipetik daripada album pertama mereka yang bakal muncul tidak lama lagi.
Lagu yang mengadun elemen dub reggae dan punk ini pertama kali dipersembahkan secara langsung sewaktu siri jelajah Tubik Derak tahun lepas dan versi singlenya secara rasmi menjengah platform strim digital pada 19 Ogos 2021 dan Rakita FM menjadi stesen radio pertama memutar lagu ini ke udara.
Memetik temubual Che Ali di NME.com, Kayaba yang dipersembahkan 100 peratus dalam dialek Kelantan adalah tentang golongan yang tetap mahu ‘khayal’ walaupun dalam kesempitan hidup.
Kayaba ni ekspresi orang guna lepas bakar ‘balut.’ Rasa melayang dan lupa semua benda. Kami mula tulis lagu ni betul-betul lepas siap EP Demo Kawe.
Mendapat khidmat rakaman dan adunan di iSeekMusic Studio disusuli mastering oleh Bijan FX, rekaan poster promosi inspirasi Bad Brains single Kayaba dihasilkan oleh Mohd Firdaus Malek.
Bagi penulis, Sound signature No Good ni memang dah tertanam dalam kepala peminat muzik bawah tanah tempatan, ditambah lagi dengan lirik-lirik kritikan sosial yang melawan arus, mereka sebenarnya dah mencapai status cult dalam masa yang sangat singkat. Jarang band-band baru memiliki magis yang mereka ada. Dari Perlis hingga ke Johor, berbekalkan hanya satu EP 10 minit, siri jelajah Tubik Derak meninggalkan impak istimewa apabila kesemua venue sold out dan lagu-lagu mereka dihafal peminat tanpa mengira latar belakang. Entah apa pula yang akan jadi bila album pertama mereka keluar nanti.
Tambah Che Ali lagi, album mereka nanti akan mengandungi 11 buah lagu dan proses rakaman telahpun siap sepenuhnya.
Sekarang kami tinggal touch up sikit-sikit lagi bagi ‘handsome,’ tapi sebab lockdown ni, semuanya tergendala. Setakat ni belum ada tarikh tepat lagi bila akan rilis.
Kepada yang belum mengenali No Good, boleh dengarkan EP Demo Kawe di platform strim digital pilihan anda.
Ikuti No Good di: