Walaupun nama beliau tidaklah segah seperti gitaris-gitaris handalan lain di Malaysia seperti Man Keedal, Samad Lefthanded, Hillary Ang, Kid Search atau Joe Wings, tetapi dari mata penulis sendiri menganggap beliau adalah di antara 5 pemain gitar terbaik di Malaysia. Brader Opie ni sangat low profile malahan selalu menolak temubual kerana malu muncul di kaca TV.
Opie atau nama sebenarnya Saufi Ghazale asalnya merupakan gitaris kumpulan Scandals bersama Joe Wings. Seperti Joe, beliau juga adalah antara gitaris kidal di Malaysia. Namanya melonjak naik selepas menyertai kumpulan Bloodshed menggantikan Hamdan Reko, gitaris asal Bloodshed dan juga salah seorang gitaris hebat ketika itu.
M. Nasir sendiri menyatakan bahawa tunjang Bloodshed adalah Opie. Permainan gitar Opie boleh didengar dalam lagu-lagu rock kapak malar segar sepanjang zaman seperti Srikandi Cintaku (Bloodshed), Cinta Kristal (Rahim Maarof), Di Alam Fana Cinta (Fotograf) dan Teringin (Shima). Banyak lagi kerja gitar beliau telah digunakan dan telah dimuatkan di dalam album kumpulan rock dan artis solo seperti album Fotograf, May, Jamal Abdillah dan paling ikonik adalah album pertama Wings iaitu Belenggu Irama.
Dikatakan ketika Sham meninggalkan Wings selaku gitaris, posisinya ditawarkan kepada Opie. Beliau bersetuju dengan syarat Wings menambah pemain keyboard, tetapi Wings menolak dan mahu mengekalkan 4 orang pemuzik. Jadi Opie menolak tawaran tersebut dan mencadangkan anak didik beliau, gitaris muda yang bermain dengannya semasa bersama kumpulan Scandals iaitu Joe. Dan dari itu lengkaplah lineup terbaik Wings bersama Joe.
Beliau juga merupakan seorang penerbit berbakat di mana seawal umur 18 tahun, beliau telah bekerjasama menerbitkan album Alleycats dan juga dikatakan ‘anak emas’ M. Nasir.
Dari kacamata penulis , Opie adalah di antara 5 gitaris terbaik di Malaysia bersama Man Keedal, Hillary Ang, Samad dan Kid.