Babylon – Band Metal Malaysia Yang Melawan Arus

oleh Fiq Irama
11.6K bacaan

 

Keratan akhbar yang menampilkan kumpulan Babylon. Kredit: Ariep Rockerz

Ketika zaman rock kapak menguasai muzik Malaysia pada awal 90an, muncul satu album dari sebuah kumpulan bernama Babylon. Album sulung mereka yang berjudul 𝙱𝚊𝚋𝚢𝚕𝚘𝚗 pada tahun 1990 telah mengejutkan peminat rock tanah air kerana dikatakan melawan arus muzik waktu itu kerana menampilkan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris.

Dalam album tersebut, Babylon memuatkan lagu-lagu seperti Metal Fire, Fight For Freedom dan Api Cinta yang telah terjual lebih daripada 47,000 unit, angka yang agak tinggi dan merupakan kemuncak kerjaya kumpulan Babylon.

Mereka turut tampil di hadapan 65 ribu penonton di sebuah konsert di Dataran Merdeka. Ini merupakan kenangan paling manis kerana sebelumnya, Babylon pernah dibayar 10 sen untuk satu persembahan sewaktu awal penubuhan.

Babylon terdiri daripada Husin, Hassan, Kamal dan Azmi. Pemain dram mereka Azmi atau Black kemudiannya meninggalkan Babylon dan menyertai kumpulan Wings sebelum album pertama mereka dan digantikan oleh Nahar.

Lebih mengejutkan , Babylon pernah menerima tawaran dari Finland dan Jepun untuk persembahan festival rock di sana dan mereka merupakan yang pertama menerima tawaran sedemikian daripada berpuluh-puluh band rock Malaysia ketika itu. Di antara jemputan luar lain adalah 𝙼𝚎𝚝𝚊𝚕 𝙵��𝚜𝚝𝚒𝚟𝚊𝚕 di Eropah. Mungkin kerana kelainan muzik mereka yang lebih raw dan metal selain lagu-lagu bahasa Inggeris yang dihasilkan menjadi aspek penting menarik perhatian penganjur festival luar negara untuk memikat mereka.

Walau bagaimanapun, pihak syarikat rakaman tidak memberi lampu hijau kerana ingin menumpukan perhatian kepada artis-artis terkenal yang lain. Babylon terpaksa menerima hakikat pilih kasih tersebut. Diceritakan oleh beberapa sumber, sebuah pengerusi syarikat rakaman antarabangsa (peminat Babylon) ada menawarkan sejumlah RM 500 ribu tunai, siri jelajah Malaysia-Indonesia beserta kontrak rakaman album dengan syarat Babylon harus menukar konsep muzik mereka seperti Dewa 19, Ari Lasso dan Gigi. Tawaran itu ditolak oleh Babylon kerana tidak mahu lari dari konsep asal yang diperjuangkan.

Tidak berhenti di situ, mereka disisihkan oleh media atas sebab tidak melayani wartawan. Tidak mengejar populariti dan ingin menjauhi gosip-gosip murahan adalah sebab utama, kerana hanya muzik yang mahu ditonjolkan.

Babylon ketika awal kemunculan mereka bersama Black sebagai pemain drum.

Maka itu, TV dan Radio memboikot lagu-lagu mereka. Insiden ini menyebabkan album kedua iaitu 𝟐𝟎𝟐𝟎 tidak menyerlah di pasaran walaupun lagu-lagu di dalamnya seperti Gila Kuasa, Wawasan dan Reaching For The Sky masih mengekalkan genre metal dan mendahului zaman. Lagu ‘rock kapak’ seperti Kembali yang mana merupakan kegemaran penulis sepatutnya berkemundang di corong-corong radio. Tiada lagi album dihasilkan selepas itu dan mereka terus menyepi sehinggalah pada tahun 2018, Babylon kembali membuat konsert untuk peminat.

Dan untuk pengetahuan pembaca, Hassan yang menggalas posisi gitaris utama merupakan salah seorang gitaris terbaik di Malaysia. Beliau sering menjadi pemuzik undangan untuk band-band popular seperti Amuk. Tujuh album direkodkan oleh beliau bersama kumpulan rock terkenal itu. Permainan gitarnya juga boleh didengar dalam lagu-lagu artis popular seperti Rahmat Ekamatra, Shima, Abot, Siti Nurhaliza dan banyak lagi. Beberapa band pada penghujung 90an juga tidak terlepas menggunakan khidmatnya.

Bagi Babylon, bukanlah populariti yang dikejar tetapi mereka ingin memperjuangkan muzik metal dan berat di Malaysia.

Keep on rocking Babylon!

Lagu-lagu Pilihan Penulis

1. Kembali
2. Metal Fire
3. Gila Kuasa
4. Fight For Freedom
5. Api Cinta


Ikuti temubual MAMY bersama Hassan yang membicarakan tentang gitar dan perkasas yang digunakannya serta pandangannya terhadap industri muzik era 80an/ 90an:

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅