Band yang menjadi inspirasi Rotting Christ dan Beherit.
Mat metal di Malaysia secara umumnya mengetahui Black Fire adalah band metal ekstrim pertama yang ditubuhkan pada tahun 1982. Selepas itu, banyak band baharu beraliran sama wujud di tanah air namun tidak ada yang sempat merakamkan sebarang material sehinggalah pada tahun 1989.
Berikut adalah biodata band Rator:
Nama: Rator
Asal: Selangor
Tahun ditubuhkan: 1987
Genre: Thrash/ Death/ Black Metal
Diskografi: Evil Symphony (demo), Possessed (album)
Anggota asal/ bekas anggota: Shah Jahan (bass/ vokal), Roslee Hassan (gitar/ drum), Ogy (bass), Hamid (drum), Lee Space (drum) dan Dead Zull (bass)
Rator adalah antara lagenda metal ekstrim Malaysia yang terawal merakamkan demo di Malaysia dengan berpaksikan aliran thrash metal, death metal dan black metal kuno dengan mengidolakan Sodom, Sarcofago dan Hellhammer yang muziknya lebih barbarik, gelap, jahat dan keji pada era permulaan.
Demo pertama mereka, Evil Symphony dirakam di Hellion Studio, Kuala Lumpur dan dicetak pertama kalinya pada 1989 tetapi kurang bagus kualitinya, lalu diulang cetak pada 1990. Dengan terbitnya demo ini, maka semakin rancak dan gila band-band underground lain untuk mencipta lagu-lagu sendiri dan mula merakamkan demo.
Evil Symphony juga berjaya menerjah jauh ke peringkat antarabangsa apabila ditampilkan dalam zine-zine ternama luar negara. Selain itu, band-band lagenda metal ekstrim seperti Beherit dan Rotting Christ juga turut menyebut Rator sebagai salah satu band inspirasi mereka.
Rator suka menceroboh pentas-pentas yang didominasi band-band rock kapak untuk menonjolkan identiti dan kelainan muzik mereka pada peminat-peminat muzik rock pada ketika itu. Dengan imej serba hitam, memakai paku atau ‘spikes’ di lengan, wajah bermekap mayat, menyerlahkan lagi betapa jahat dan kejam muzik yang mereka bawa. Mereka juga adalah band pertama mempunyai logo yang cukup jahat pada masa itu. Dengan diiringi pengikut sendiri (Rator Army), mereka mendominasi pentas dengan kejam. Ramai peminat-peminat rock yang terkejut dengan muzik dan imej yang dibawa mereka. Ini membuatkan pihak penganjur terpaksa membuat tapisan kepada setiap band yang ingin menyertai setiap pertandingan atau persembahan.
Dan jika dilihat sekali imbas, band Malaikat Maut di dalam filem “Rock” yang pertama (2005) seakan-akan gambaran pada Rator di zaman tersebut. Zaman “Emas Hitam” yang tidak akan pernah kembali lagi.
Sumber:
Rator/ Mus Fazle/ Daeng Hasri