
Dari kiri: The Rock, Stone Cold, The Undertaker.
Sukan gusti profesional merupakan satu cabang sukan yang teramat sinonim bagi semua generasi yang lahir sejak tahun 80-an sehingga kini, malahan masih lagi aktif, segar dan relevan pada waktu ini. Sebut sahaja tentang gusti pasti terbayang-bayang akan susuk tubuh yang sasa dan gagah perkasa bak badang seperti Stone Cold Steve Austin, The Rock, Undertaker dan ramai lagi. Setiap kali tercetusnya perlawanan di antara mereka pastinya memberikan keterujaan kepada para peminat yang hadir pada waktu itu untuk menonton penggusti kegemaran mereka membuat Entrance yang cukup WOW lantas memberikan riak muka keterujaan dan laungan serta sorakan tanpa henti untuk melihat mereka berentap sesama sendiri di gelanggang. Akan tetapi, di sebalik entrance yang begitu hype disusuli oleh muzik yang gegak gempita, pernahkah anda terfikir siapakah sosok yang bertanggungjawab menyajikan kita muzik bagi setiap Entrance penggusti WWE?

Jim Johnston, insan yang bertanggungjawab bagi setiap lagu tema penggusti kegemaran rakyat jelata .
Ya, inilah dia insan di belakang tabir yang bertanggungjawab dan patut diberi penghargaan atas jasa dan ideanya sepanjang berkhidmat sebagai komposer untuk label WWE MUSIC iaitu saudara Jim Johnston persis Hasnul Rahmat kalau kita tengok dua tiga kali ya? Haaa penulis gurau saja 😁 . Anak kelahiran Pocahontas, Arkansas, United States ini telah berkhidmat dengan cemerlangnya selama tiga dekad sebagai komposer lagenda terulung WWE di mana bagi penulis itu merupakan satu jangka masa yang panjang dan amat memberangsangkan. Pendapat penulis mengapa beliau boleh bertahan sebegitu lama adalah kerana kualiti sentuhan muzik tema yang dibikin oleh beliau memberikan impak yang besar bagi rata-rata peminat gusti dari dulu hingga kini. Muzik yang dicetuskan beliau memberikan kesan yang mendalam sehingga bait-bait irama lagu beliau masih lagi digunakan sehingga kini walaupun beliau telahpun dilepaskan oleh WWE pada tahun 2017.

The Rock semasa menyandang gelaran juara WWE Championship pada tahun 2013 selama 69 hari. Walaupun ketika itu sibuk dengan jadual lakonan, beliau tetap komited dan cinta akan gusti professional.
Pada hemat penulis lagi, cara beliau menulis lagu tema bagi seseorang penggusti itu teramatlah teliti kerana beliau tidak membuat dengan cara sesuka hati sahaja, uniknya ialah beliau membuat lagu tema tersebut berdasarkan karakter pembawakan penggusti itu sendiri. Jim Johnston telah mengkaji secara mendalam akan watak yang dibawa oleh seseorang penggusti itu tidak kira sama ada watak itu adalah watak Heel mahupun Face, ianya bersesuaian dengan penggusti itu sepanjang masa. Lagu tema penggusti kegemaran kita semua sepanjang masa seperti The Rock, Triple H, Randy Orton dan The Undertaker serta tidak ketinggalan juga bos besar WWE sendiri Vince McMahon sebahagiannya merupakan sentuhan idea asal Jim sendiri sebelum diberi untuk dimainkan oleh band-band terkenal seperti Motorhead, Rev Theory dan ramai lagi. Apa yang penting ialah idea asal semuanya itu datang dari ilham Jim sendiri. Antara fakta menarik yang penulis boleh kongsikan kepada semua para pembaca Music Addict Malaysia ialah lagu tema The Rock “If You Smell What The Rock Is Cookin” dicetuskan dengan hanya bassline yang simple sahaja! Menarik kan? Boleh lihat di pautan bawah ini.
Akhir kalam , walaupun beliau tidak lagi bersama WWE, jasa dan bakti beliau sepanjang berkhidmat sebagai Maestro terulung bersama WWE amatlah dihargai oleh semua. Penulis berharap agar beliau mendapat pengiktirafan WWE Hall Of Fame pada masa akan datang di mana pendapat penulis beliau teramat layak untuk mendapat pengiktirafan tersebut bagi mengenang jasa dan penat lelah beliau memerah idea untuk membuat lagu tema penggusti di WWE dan sekaligus mencetuskan revolusi muzik WWE sepanjang zaman. Sekian, sehingga berjumpa lagi. Terima Kasih. Jyeah! 😁
Di bawah ini penulis tinggalkan pautan satu sesi podcast paling terbaru dari beliau.