Ini merupakan kali pertama penulis mendengar tentang band dari Pulau Pinang ini tapi rasa macam jatuh cinta pandang pertama! Warnabumi adalah band rock yang menyulam pelbagai elemen ke dalam muzik mereka termasuk blues, balada, hard rock dan folk. Keluasan genre yang dibawa ini adalah hasil kepelbagaian inspirasi muzik ahli-ahli band. Mesej-mesej dalam lirik mereka juga banyak menceritakan tentang kelaziman kehidupan seharian manusia, seperti warna-warna di muka bumi. Ditubuhkan pada 2019, Warnabumi dianggotai oleh Abu (pengasas, vokal, gitar), Pulip (drum), Gee (Bass) dan Dwan (gitar).
Pada 2 September 2020, Warnabumi hadir dengan single terbaharu berjudul Lari Sendiri di YouTube dan platform-platform strim digital popular setelah setahun tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Penulis suka dinamik lagu ini. Bermula rileks dengan nuansa blues rock/ slow rock sebelum perlahan-lahan menuju klimaks epik heavy rock di penghujung lagu. Paduan muzik dan kekuatan vokal Abu ternyata memberi perisa romantis yang sangat syahdu membuatkan penulis berasa bahawa Warnabumi bukan sebarang band yang sekadar muncul menambah ketepuan skena muzik Malaysia dengan sound yang hampir sama. Ini band yang kritikal dalam mencari sound dan identiti mereka sendiri! Tambahan lagi, sound lagu ini sangat besar dan garang walaupun menurut mereka ia ditulis, dirakam, diadun dan diterbitkan secara kendiri oleh Warnabumi. Syabas!
Lirik lagu Lari Sendiri mengisahkan tentang tidak perlunya kita menyimpan dendam.
Tambah mereka lagi, memang ada perancangan untuk menerbitkan video muzik untuk lagu ini namun dek kerana situasi Covid-19 dan PKP yang menjadi penghalang, mereka mendapat idea baharu yang lebih simple namun mengundang nostalgia kepada peminat muzik yang membesar di era 2000an.
Video lirik Lari Sendiri menggunakan pemain muzik Winamp bersama “visualization” untuk meneman baris-baris lirik lagu. Generasi Winamp pasti akan rasa nostalgia kerana kebanyakan mereka menggunakan aplikasi tersebut untuk mendengar lagu satu ketika dahulu.
Kepada yang baru mengenali Warnabumi, boleh juga layan EP pertama mereka, Rasa yang diterbitkan pada tahun 2019 mengandungi lima buah lagu di platform-platform strim digital pilihan anda.
Jika dibanding sound dan hala tuju terkini Warnabumi dengan EP mereka terdahulu, ternyata band ini telah memasuki fasa baharu dan lebih matang dalam karier mereka. Penulis harap naskah-naskah selepas ini akan lebih baik dan mampu menembus lebih banyak telinga khalayak pencinta muzik. Ini band yang perlu anda beri perhatian dan peluang jika mahu lihat industri muzik negara terus berkembang.
Ikuti Warnabumi di: