Pesta Ke’chill Rantai X Buka Pentas

oleh Anome
1.7K bacaan

Penulis: Anome

Pada 30 dan 31 Oktober lalu, Rantai kembali dengan kolaborasi bersama Buka Pentas bagi acara Pesta Ke’chill Rantai yang berlangsung di Tingkat 3, MyTown Shopping Centre. Acara berlangsung selama dua hari dari jam 10 pagi hingga ke 9 malam.

Sedikit sejarah mengenai Rantai yang masih bergiat aktif sejak dari tahun 2006, fokus mereka adalah dalam menyediakan platform seni buat anak watan yang baru berjinak dalam arena seni tempatan. Sehingga kini Rantai telah menunjukkan kredibiliti mereka dalam setiap festival anjuran mereka bukan lagi di tahap kecil anak.

Pesta Ke’chill Rantai pada kali ini merupakan kesinambungan daripada Pasar Raya yang dibatalkan kerana pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Ramadhan yang lalu dan diganti dengan Pesta Ke’chill Rantai yang kerap kali dianjurkan sekitar tahun 2019.

Pesta Rantai kali ini hanya membawakan sesi puisi, akustik, serta jualan seni. Tidak seperti selalunya, lebih banyak acara yang dibawakan. Bagaimanapun, acara yang dibawakan Rantai bersesuaian dengan namanya, Pesta Ke’chill Rantai. Jika lebih banyak acara yang dibawakan bukanlah pesta kecil namanya.

Menarik tentang Pesta Ke’chill Rantai pada kali ini adalah pada persembahan akustik mereka. Barisan persembahan akustik rata-ratanya merupakan para pemuzik yang terbentuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan baru pertama kali mengadakan persembahan secara live di hadapan para penonton.

Antara set persembahan akustik yang menarik perhatian penulis adalah set persembahan daripada Motherwit, Outro dan Fugo. Penulis sememangnya ternanti-nanti persembahan daripada Motherwit dan Fugo secara live sejak dari penubuhan mereka dan ternyata apa yang diberikan oleh mereka di alam maya mampu dipersembahkan secara baik di hadapan para penonton.

Outro pula meski tidak dikenali, mereka hadir dengan persembahan yang penuh bertenaga bersama 3 buah EP mereka yang telah dikeluarkan sebelumnya. Secara peribadi persembahan daripada Outro agak menarik perhatian para pengunjung meskipun ada beberapa kelemahan yang perlu dibaiki.

Sesi persembahan puisi pula diisi oleh Ruang Sensitif (Fie), Khafh, dan Aniqist. Walaupun barisan persembahan bagi sesi puisi hanya diisi oleh 3 orang, namun apa yang dilihat oleh penulis persembahan mereka berjaya menarik para pengunjung ke tengah pentas. Puisi yang dibaca masing-masing beremosi bahkan puitis.

Pada pendapat penulis, jualan seni pada kali tidak semeriah selalunya, hanya lebih kurang 20 vendor yang turut serta. Mungkin disebabkan oleh faktor tempat yang diadakan di dalam pusat beli-belah. Walaubagaimanapun, beberapa vendor pada kali ini agak menarik perhatian dengan barangan jualan mereka. Antara booth yang menarik adalah Gedung Malaya yang menjual rilisan fizikal para pemuzik tempatan dan luar, AdeenArt yang menjual barangan berasaskan lilin serta boleh di custom mengikut citarasa pembeli, Scoopi yang menjual barangan berasaskan kopi, serta Auntie Fruitcake Maryam yang menjual sulaman.

Tahniah pada RantaiArt untuk acara yang dianjurkan, tahniah juga pada kesemua barisan persembahan akustik dan puisi di atas energi yang disembahkan kepada para penonton, tahniah juga kepada para vendor yang membantu menghangatkan suasana pesta. Sampai jumpa di acara seterusnya.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅