Power Trio Voice of Baceprot Gegar Kuala Lumpur

oleh Rahmat Mohd Did
1.5K bacaan

Setelah berjaya menempa nama di Eropah, Voice of Baceprot (VOB) akhirnya hadir ke Malaysia untuk konsert sulung mereka di negara ini pada 19 Februari 2023 di Zepp Kuala Lumpur.

Trio metal berhijab dari Indonesia yang dibarisi Marsya (gitar/vokal), Widi (bass) dan Sitti (dram) ini sebenarnya telah sembilan tahun ditubuhkan, tetapi jenama muzik mereka hanya mula dikenali dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Impaknya pula bukan biasa-biasa, sehingga mendapat jemputan beraksi di Festival Wacken Open Air, liputan meluas majalah-majalah metal antarabangsa serta dipuji legenda-legenda rock dan metal. Berita kehadiran mereka ke negara ini disambut positif peminat dan rata-ratanya tidak sabar untuk menyaksikan mereka beraksi. Kami juga sempat menemubual mereka sebelum konsert ini berlangsung.

Konsert yang dianjurkan oleh Pentas365 dan Lampu Neon pada Ahad lepas berjalan dengan sangat lancar. Peminat dari serata tanah air termasuk dari Indonesia telah berkumpul di Zepp KL seawal jam 7 malam dan kelibat DJ Bob Ringgo tenang melayan peminat dengan celoteh-celotehnya sebelum Blind Tribe membuka pentas tepat jam 8.15 malam dengan energi dan aksi yang memukau ratusan peminat yang hadir pada hari itu.

Blind Tribe.

Band Alternative Metal tempatan tersebut membawakan enam buah lagu termasuk Thy Devine Faith, One Man Machine, U2, Head Up dan Berita Gempa (OA Sweet Charity). Tam (vokal/gitar) ternyata mempunyai karisma yang tersendiri dalam mengemudi pentas. Tom (gitar) pula walaupun tidak banyak bergerak, tetap menjalankan tugasnya dengan sangat baik. Tam turut memperkenalkan barisan anggota baharu mereka iaitu Amad (dram) dan Daniel (bass) yang dipinjam daripada Massacre Conspiracy untuk menggantikan pemain bass mereka yang belum pulih daripada kemalangan (turut hadir pada malam itu).

Voice of Baceprot.

Tepat jam 9.00 malam, VOB muncul mengambil alih pentas dengan bergaya. Dimulakan dengan [Not] Public Property, penulis dan peminat-peminat yang lain terus dipukau oleh kehebatan ketiga-tiga gadis seberang ini mengendali instrumen masing-masing.

Konsep all-girls-band bukanlah sesuatu yang baharu, malah di Jepun ketika ini mungkin ada beratus band lain yang lebih baik. Namun, pengalaman menyaksikan VOB di hadapan mata ternyata menyegarkan, lebih-lebih lagi dari sudut sosio-politik kita yang masih prejudis dan memandang rendah terhadap wanita, lebih-lebih lagi apabila diasosiasikan dengan muzik metal yang keras.

Anda mungkin boleh mengkritik lagu-lagu mereka, namun tidak sesiapapun mampu mengkritik bunyi yang dan skill yang terhasil daripada gabungan sengatan gitar Marsya, gentelan bass Widi dan paluan dram Sitti. Permainan mereka sangat matang, teknikal dan saling melengkapi. Formasi ini tidak pernah belajar muzik secara formal tetapi dengan usaha gigih setiap satunya, kualiti yang digarap memang boleh dibanggakan, adakalanya lebih baik berbanding pemuzik yang lebih lama.

Secara keseluruhan, VOB membawakan lapan buah lagu termasuk The Enemy of Earth is You, Age Oriented, PMS, Kawani, What’s the Holy Nobel Today?, School Revolution, Got the Time (Anthrax cover), God, Allow Me (Please) to Play Music dan encore Sabotage (Beastie Boys cover).

Jika ditanya kepada peminat-peminat yang hadir pada malam itu, pasti semuanya teruja dengan persembahan VOB, namun durasi persembahan mereka yang terlalu pendek (lebih kurang 45 minit) membuatkan penulis sendiri terkejut. Baru nak panas dah last song. Tetapi perkara ini boleh difahami kerana VOB masih belum mempunyai album penuh dan set mereka hari itu adalah keseluruhan diskografi mereka setakat ini termasuk beberapa lagu baharu dan lagu saduran. Mungkin setahun lagi mereka akan mempunyai ‘bekalan’ secukupnya untuk mengadakan konsert solo yang lebih panjang.

Tahniah diucapkan kepada penganjur dan VOB yang sudi hadir ke Malaysia menghibur dan membuka mata peminat-peminat di sini. Semoga terus sukses di pentas antarabangsa dan membawa mesej keamanan dan kemanusiaan yang amat diperlukan ketika ini. Sampai ketemu lagi di kemudian hari!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅