Disebabkan faktor pandemik yang melanda negara, gitaris utama The Cigspop, Wan memulakan projek solo beliau dengan psedonim perindukalbu dan baru sahaja meluncur EP pertamanya, Putaran Dimensi pada 20 Jun yang lepas.
EP mengandungi lima lagu berdurasi hampir 18 minit ini dimain dan dirakam sepenuhnya oleh Wan di studio bilik tidurnya, termasuklah proses adunan dan mastering. Kesemua lagu juga ditulis 100 peratus olehnya kecuali Keliru yang ditulis bersama pensyarahnya, Encik Juraimi di bahagian lirik.
Menurut beliau, inspirasi menubuhkan perindukalbu adalah dari gitaris The Strokes, Albert Hammond Jr. yang turut mempunyai projek solonya sendiri. Mengenai asal nama perindukalbu, ia adalah ekspresi beliau yang merindui sang Pencipta.
“Lima lagu dalam EP ini menceritakan perjalanan seorang insan dalam perjalanan mencari sang Pencipta, bermula dari trek satu, Keliru hinggalah ke trek terakhir, Sang Perindu. Dua daripada lima lagu iaitu Dreamscape dan The Humbucker adalah trek instrumental.”
Tambah beliau, nuansa yang dibawa dalam EP ini adalah alternative pop/ rock dengan sedikit unsur post punk. Tidak pelik kerana beliau turut memetik The Cure sebagai inspirasi dan turut bereksperimen dengan pelbagai alat muzik seperti bunyian gamelan dan cello dalam sesetengah lagu.
Penulis mendapati, Putaran Dimensi adalah sebuah produk yang sangat baik dari segi kualiti jika mengambil kira ia dikerjakan hanya seorang individu dari mula sehingga akhir. Namun begitu, kritikan harus diberi kepada projeksi vokal yang agak lemah dan kurang ekspresif. Kadang-kadang rasa macam Wan menyanyi malas-malas dan tidak serius. Mungkin boleh diperbaiki di material seterusnya. Dari segi susunan lagu, boleh dibanggakan kerana walaupun hanya lima lagu, setiap lagu mempunyai dinamik tersendiri dan tidak bosan. Trek paling standout bagi penulis adalah Keliru dan instrumental Dreamscape juga tidak kurang hebatnya. Trek terakhir, Sang Perindu pula seperti cuba mahu menjadi Iqbal M. tetapi masih boleh dipuji progresinya.
Buat masa ini, EP penuh boleh dilayan di platform strim digital seperti YouTube, Spotify, Deezer, iTunes dan Apple Music terlebih dahulu. Versi fizikal akan menyusul tidak lama lagi.
Ikuti perindukalbu di: