Servants Masih Emo!

Servants Luncur Video Muzik ‘Sad’

oleh Aniq Ammar Ekhwan
893 bacaan

Pada 15 Januari 2024, Servants kembali dengan single terbaru mereka, “Sad” disertai dengan video muzik yang memukau.

Sebagai sebuah band Alternative Rock Emo yang berasal dari Puchong, Servants terdiri daripada lima anggota iaitu Mirul, Imran, Afif, Wan, dan Ijad. Mereka terkenal dengan penggabungan unsur Rock dan puisi dalam muzik mereka. Setelah melancarkan lagu Bahasa Melayu pertama mereka, “Selamanya Bukan Milik Kita,” pada tahun 2022, kini mereka kembali menggegar dengan single terbaru yang bernama “Sad.”

Single “Sad” dihasilkan oleh pihak produksi Izmal Che Ahmad (Aperforatedsphere/Transitions) dan di mix-master oleh Moe Husaini (Jemson). Lagu ini membawa gaya baharu dengan menggabungkan elemen emo khas Servants, menampilkan susunan lagu yang lebih bertenaga dan agresif. Ini memberikan gambaran kepada peminat mengenai konsep dan gaya album sulung yang bakal diperkenalkan.

Lirik lagu “Sad” membawa pendengar merentasi pengalaman perjuangan diri. Ungkapan “Sad” tidak hanya merujuk kepada kesedihan dalam konteks hubungan percintaan, tetapi turut mengangkat tema perjuangan individu terhadap dirinya sendiri. Lagu ini mengisahkan kesulitan untuk mencintai diri sendiri, dengan kesedihan yang sentiasa menyelubungi diri dan telah terakar dalam lubuk jiwa seseorang. Terkadang, kesedihan itu mungkin dirasakan akibat usaha individu sendiri, di mana mencintai diri sendiri terasa lebih sukar daripada mencintai orang lain.

Inspirasi untuk lagu ini datang daripada satu baris lirik dalam lagu terkenal My Chemical Romance berjudul “The End,” yang berkata, “If you look in the mirror and don’t like what you see, You can find out first hand what it’s like to be me.” Ini mencerminkan usaha penulis lagu untuk menerima dan menyukai dirinya sendiri, sambil merasai kesedihan terhadap eksistensinya, mengharapkan kehidupan yang tenang di atas dunia kerana beban kebencian terhadap diri sudah cukup berat, dan merasa bahawa kebahagiaan tidak akan pernah tercapai tanpa berdamai dengan diri sendiri.

Servants akan mencuba untuk mengekalkan keunikan dari segi tidak akan menghasilkan lagu yang kedengaran sama secara berulang. Servants sentiasa memberikan kelainan dari segi teknikal dan komposisi dalam setiap lagu yang dihasilkan namun tetap mematuhi tema khas band kami. Dari segi lirikal pula, Servants akan mengelak pengulangan tema dan isu yang sama serta mengeksplorasi variasi teknikal dan gubahan untuk setiap lagu. Penulisan lirik yang jujur dan berkait rapat dengan penulis dan pendegar juga adalah elemen penting untuk memastikan lagu-lagu Servants mempunyai keaslian tersendiri.

Dalam muzik video kali ini, Servants memilih untuk menyajikan imej yang lebih berwarna berbanding dengan karya-karya sebelumnya yang lebih dominan dengan warna hitam dan putih. Konsep komik yang diilhamkan daripada filem “Spiderman: Across The Spiderverse” digunakan untuk menggambarkan kehidupan yang penuh warna dan menghiburkan. Konsep ini juga bertujuan menyampaikan mesej tentang realiti kehidupan di mana seringkali kita hanya memperlihatkan sisi ceria dan gembira kepada dunia, sementara perjuangan yang tersembunyi tidak dapat dilihat oleh orang lain.

Lebih dari sekadar sebuah lagu, “Sad” adalah kisah pengalaman peribadi yang mengajak pendengar merenung dan merasai perjalanan emosi yang mendalam. Servants membuka pintu kepada dunia kebahagiaan sejati dan perjuangan hidup melalui melodi dan lirik yang penuh makna. Dengan “Sad,” Servants tidak hanya menyajikan lagu yang memukau, tetapi juga membawa pendengar dalam suatu perjalanan yang menyentuh hati dan mendalam.

Ikuti Servants di

Facebook

Twitter

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅