Oleh: Amm Ashraff
Dalam sesi meja bulat yang berlansung di Jio Space, Petaling Jaya bersama CEO FENIX360, Allan Klepfisz dan juga Ketua Eksekutif Asia Pasifik FENIX360, Sandy Monteiro pada 21 Januari lepas, mereka telah memperkenalkan satu aplikasi media sosial yang membantu artis dan content creator menjana pendapatan secara adil.

Ketua Eksekutif Asia Pasifik FENIX360, Sandy Monteiro menerangkan tentang peranan dan impak FENIX360 kepada pemberita.
Menurut Sandy Monteiro, penggiat seni dan pencipta kandungan selama ini tidak dibayar dengan adil ibarat “dicekik” kapitalis digital. Kebanyakan platform media sosial hanya membayar kurang daripada 15 peratus keuntungan kepada pencipta kandungan. Manakala FENIX360 membayar 70 peratus keuntungan setiap bulan dan dibayar menggunakan matawang USD .
FENIX360 mengambil masa lima tahun untuk untuk menyempurnakan aplikasi media sosial tersebut dan menekankan kebajikan kepada pencipta kandungan selain fokus membantu untuk mendapatkan pendapatan yang adil.
Untuk menjadi artis atau pencipta kandungan di FENIX360 sangat mudah kerana mereka tidak meletakkan apa-apa syarat di aplikasi tersebut. Pengguna boleh memilih antara dua kategori iaitu “Artis” mahupun “Peminat” dan boleh menukar kategori pada bila-bila masa.
“Melalui FENIX360, kami menyasarkan untuk membayar sekurang-kurangnya 500 USD setiap bulan kepada pengguna khususnya kepada golongan artis” ujarnya lagi.
Selepas sesi meja bulat tersebut, FENIX360 mempersembahkan FENIX360 Live! Malaysia di lokasi sama yang menjemput artis indie ternama Malaysia termasuk DJ Jemput Dengar, Frakie Sixes, Leaism, Myo, Insimniacks, Noh Salleh dan Masdo.
Aplikasi FENIX360 kini boleh didapati di fenix360.com dan platform iOS serta Android secara global.