Supalapa Festival jadi bualan peminat muzik tanah air apabila dikatakan membayar hutang Festival Good Vibes 2023 selepas mengumumkan kehadiran The Kid Laroi sebagai salah satu headline di festival tersebut yang akan diadakan di Resort World Awana, Genting Highland pada 2 dan 3 Mac 2024 akan datang.
The Kid Laroi tidak sempat membuat persembahan di pentas Good Vibes 2023 kerana kontroversi vokalis The 1975, Matty Healy yang mempertikaikan undang-undang LGBTQ di Malaysia. Bagaimanapun penyanyi muda ini menyatakan dalam hantaran IG beliau untuk kembali dan membuat persembahan di Malaysia.
“Saya minta maaf kepada sesiapa yang sudah membeli tiket untuk melihat saya beraksi. Saya kecewa… Namun, saya jadikan keutamaan untuk kembali ke sini,” katanya.
Supalupa Festival bukan sahaja mengubat rindu peminat The Kid Laroi, festival ini juga menjanjikan pengalaman terhebat buat peminat muzik di Malaysia dan juga dari luar dengan menjemput artis ternama dunia seperti Tiësto, EAJ, Somi, XG, Ali Gatie, Armani White, Tones and I, Ian Asher, Keemokazi, Paul Van Dyk, Rave Republic, Notep dan ramai lagi bintang ternama antarabangsa yang sedia menanti peminat pada festival yang berlangsung selama dua hari ini.
Bersama mereka, bintang tempatan Yuna, Siaxse, Kidd Santhe, Talitha, Cluadia, Belle Sisoski,Jovynn, Coex, Forceparkbois & DJ Ziqq Axel Groove juga siap membuat pengunjung teruja dengan persembahan mereka.
Tambahan lagi, acara ini bukan sekadar hiburan berkaitan muzik, tetapi di Festival Supalapa pengunjung akan melalui banyak pengalaman pertama kali yang tidak didapatkan dalam acara hiburan sebelum ini.
Di Festival Supalapa, pengunjung berhak menikmati pelbagai keseronokan termasuk pengalaman di “Wrestling Ring”, “Bali Swing”, “Carnival Games” dan “Silent Cinema.”
Dengan semua keseronokan yang akan dinikmati tanpa limitasi ini, jangan terlepas temujanji anda di Festival Supalapa pada 2 dan 3 Mac 2024 di Resorts World Awana.
Sebarang pembelian tiket boleh layari supalapa.com