Bukan mudah untuk bekarya dengan irama dan alunan tradisi, cabarannya bukan sekadar dalam penghasilan muzik dan lagu tetapi pengkarya juga perlu berusaha keras untuk melonjakkan seni mereka supaya diterima oleh masyarakat Malaysia yang kebanyakannya sudah terbiasa dengan alunan muzik barat. Yaph selama ini telah berjaya mencuri hati masyarakat dengan kehebatan penulisannya yang mendayu dan unik seperti dalam lagu “Pemergian” dan “Nota dari Amal.” Emmjay pula telah mengejutkan masyarakat sejak kemunculannya dalam lagu “Buana” bersama Fahmi Anuar.
Sejujurnya, saya tidak menyangka dua karyawan hebat ini akan berkolaborasi dan menghasilkan album bersama. Namun saya yakin bahawa penghasilan album ini adalah satu pengalaman yang menarik. Menurut Akid selaku penggerak Silent Set Entertainment merangkap produser album ini;
“Cabaran utama dalam menghasilkan album ini adalah jarak dan masa. Memandangkan YAPH berada dan menetap di Kelantan, jadi jadual yang diatur perlu dipenuhi dan diikut dengan tepat supaya timeline kerja tidak terganggu. Ada masa YAPH akan memandu ke Studio Silent Set Entertainment di Shah Alam, perjalanan itu mengambil masa berjam-jam dan kebanyakan masanya YAPH akan menaiki flight dari Kota Bharu bagi menjimatkan masa.
Selain itu, mungkin disebabkan isu Palestin, akaun media sosial kami “mungkin” di shadowban kerana engagement tidak seperti sebelum ini dan ada yang DM dan PM bertanyakan berkenaan album sedangkan album sudah direlease sejak 4 Januari 2024 di semua Platfom Digital”.
Menurut artis yang terlibat dalam album ini pula, “Album ini terinspirasi daripada cerita dan pengalaman yang hanya mampu diluah dengan irama dan lagu. Perhubungan sahabat, keluarga, anak dan insan lain menjadi inspirasi bagi penghasilan album ini. Jadi perhubungan adalah kata kunci bagi inspirasi penghasilan album ini tidak kira dari segi melodi, muzik dan lirik. Sebab itu kalau dilihat lagu di dalam Album EMMJAYAPH merangkumi pelbagai aspek perhubungan dari antara sahabat, ibu bapa dan anak, pasangan, pemerintah dan orang kanan serta menyelitkan sedikit hubungan antara individu yang diamanahkan untuk menjaga remaja kurang upaya tetapi gagal untuk membuat demikian”
“Konsep diambil dari transisi YAPH Dan EMMJAY yang kebiasaannya bergerak secara solo mengikut konsep masing-masing. Di EMMJAYAPH konsep itu digabungkan dan terhasilah EMMJAYAPH”.
Saya sendiri adalah peminat muzik yang tegar namun saya perlu bersikap jujur bahawa gaya yang mereka bawa di dalam album ini bukan minat saya. Namun saya tetap menghayati album ini dengan minda yang terbuka dan saya mengaku, ini adalah album yang menghiburkan. Semua lagu di dalam album ini disusun tepat dalam aturan yang ditawarkan. Sekarang saya akan kongsikan tentang permulaan, kemuncak dan penutup cerita album ini.
Bertemu Jua
Permulaan album yang hebat, berjaya menciptakan suasana mistik yang mampu menawan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Vokal Emmjay seakan-akan menyeru pendengar memasuki sebuah portal dan membawa kita terbang ke masa silam. Sememangnya trek pembuka yang baik dan penceritaannya juga tepat ke sasaran. Cuma saya rasa mereka patut jangan tamatkan lagu pertama ini dengan tenaga yang menurun. Sepatutnya mereka perlu biarkan tenaga itu di puncak dan terus sambung dengan lagu yang kedua.
Gurindam Dendam
Saya kurang pasti niat mereka, adakah “Gurindam Dendam” atau “Ingkar” adalah kemuncak album ini? Tetapi bagi pendapat saya, lagu terbaik dalam album ini adalah “Gurindam Dendam,” maka saya membuat kesimpulan bahawa lagu ini adalah kemuncak cerita mereka. Sebuah lagu yang tersendiri, trek ini memang luar biasa; kombinasi lirik dan muziknya berjaya menawan hati saya. Namun sebagai kemuncak album, saya sedikit kecewa kerana ia tidak berjaya menyampaikan kesinambungan tenaga yang dibina daripada lagu-lagu sebelumnya. Tetapi walau saya berasa begitu ia tetap kemuncak yang menghiburkan.
Bella
Penamat yang bertenaga. Sejujurnya saya menyangkakan penamat yang lebih perlahan selepas menghayati lagu-lagu sebelum ini. Tetapi mungkin ramai yang setuju jika saya mengatakan bahawa saya sangka ada lagu lain selepas lagu ini. Tenaga yang dibawa dalam lagu ini membuatkan saya rasa ada lagu penutup sebenar yang akan tiba sebentar lagi. Mungkin ada sesuatu yang mereka cuba lontarkan yang saya kurang faham dalam susunan sebegini walaupun sudah berkali-kali dengar. Namun ia tetap sebuah penamat yang bagus.
Kesimpulannya, album ini melebihi jangkaan saya dan saya mengaku bahawa walaupun ia bukan minat saya, saya akan mendengarnya lagi. Tiada lagu yang kurang dalam album ini, anda boleh dengar setiap lagu secara tersendiri dan ia pasti menghiburkan tetapi sebagai satu album ia tidak memberi impak yang saya harapkan.
Mungkin selepas ini mereka boleh memberikan lebih fokus dengan alunan cerita dalam muzik selain dari dalam lirik semata-mata. Saya harap karya mereka selepas ini dapat memperbaiki kekurangan yang ada di dalam album ini.
Tahniah kepada Emmjay dan Yaph dalam penghasilan album ini. Semoga terus kekal berkarya dan memberi impak kepada pendengar.