Unit New Wave of Traditional Heavy Metal (NWOTHM) Kajang, STEEL mengumumkan vokalis wanita baharu, Zazza menggantikan tempat Muzam yang telah meninggalkan band tersebut sejak November tahun lepas.
Band yang turut dianggotai Rexx (gitar), Fit (bass) dan Aian Pees (dram) itu juga kini dalam proses menghasilkan album baharu yang bakal menemui peminat pada bulan April tahun ini. Menurut Rexx, kali ini mereka akan menawarkan sesuatu yang istimewa dan berbeza berbanding naskah terdahulu.
“Album itu nanti akan keluar dalam dua versi berbeza, satu dalam Bahasa Melayu dan satu dalam Bahasa Inggeris. Untuk permulaan, kami akan keluarkan versi Bahasa Melayu dahulu dengan dua video muzik muzik (MV).”
Terdahulu, band yang mengikat kontrak bersama label Defox Records dari Itali itu pernah mengeluarkan sebuah album mini berjudul Fear is a Liar dalam format digital pada tahun 2016. Versi fizikal album tersebut juga pernah dikeluarkan dan habis terjual ketika siri jelajah mereka di Jepun.
“Kami akan meneruskan kerjasama dengan Defox Records untuk album kali ini.” – Rexx
Di laman Facebook STEEL, ramai yang tertanya-tanya tentang kehilangan vokalis asal mereka, Muzam. Jawab Rexx:
“Muzam tidak dapat lagi meneruskan perjuangan bersama kami kerana beliau kini sibuk dengan komitmennya dalam urusan dakwah keagamaan.”
https://www.facebook.com/HeavyMetalSteel/posts/356701599790622
Vokalis baharu mereka, Zazza pernah menyertai ujibakat Akademi Fantasia 4 dan pertandingan Bintang Lagu Asli RTM selain meminati muzik heavy metal.
“Zazza adalah penyanyi yang serba boleh dan mampu membawa lagu dalam pelbagai genre dari Melayu Asli hingga ke heavy metal.”
Kepada yang belum mengenali STEEL, anggota-anggota mereka sebenarnya bukan calang-calang. Rexx merupakan pengasas band thrash metal Antacid dan heavy metal Nuclear Strikes. Aian Pees pernah bersama kumpulan Juntion, Samudera dan Joe Burnmark manakala Fit adalah bekas anggota kumpulan Hotbrains.
Ikuti STEEL di media sosial untuk mengetahui kemaskini selanjutnya: