‘Teguh’ Kembali Jadi Siulan Dan Igauan Selepas Konsert Search Kiddin (Ini 5 Sebabnya)

oleh Chiv Iscandar
13.7K bacaan

Lagu ‘Teguh’ kembali menjadi siulan dan mencetuskan fenomena tersendiri kepada para peminat tanahair selepas konsert Search Rockin’ On Rooftop 11 Jun lepas.

Rata-rata, semua peminat yang menghadiri konsert tempohari akan mengakui klimaks konsert ialah apabila Search menyampaikan lagu ‘Teguh’ manakala momen yang paling ‘dasyat’ dan diingati ialah ketika Kid memetik solo intro yang seterusnya ‘menghantui’ keseluruhan set lagu.

Ia benar-benar memukau para hadirin yang tidak menyangka mahakarya itu akan dimainkan sesempurnanya oleh mereka dalam konsert di Campbell Complex tersebut.

Lagu Teguh merupakan karya ciptaan M Nasir dengan lirik oleh Bob Lokman yang dipetik daripada album Karisma (1990). Ini bermakna ia sudah menjangkau usia lebih 30 tahun tetapi anehnya terasa baharu dikeluarkan tahun ini.

Lagu itu menyentuh tentang kisah sang suami yanng menyesal kerana mengabaikan sang isteri selepas mencapai kemewahan namun terdapat versi yang menyatakan ia adalah antem ketuhanan bahawa segala kekayaan dan keduniaan tidak membawa erti apabila tiba masa dijemput kelak.

Mungkin terdapat banyak faktor yang menyebabkan mengapa lagu Teguh menjadi istimewa dan para peminat berasa tersentuh atau emosional apabila Search Kiddin membawakan lagu berkenaan

Pertamanya, lagu itu adalah lagu yang sangat jarang dimainkan secara Live oleh Search dan ia adalah pengalaman muzikal yang sangat rare bagi para pengikut.

Kedua, Ia memerlukan vokalis dengan nada key yang tinggi, bukan calang-calang dan sukar dicapai oleh penyanyi biasa.

Ketiga, solo berhantu Kid yang menyebabkan ramai yang meremang. Raungan epik gitar Kid nampaknya tembus ke jiwa semua orang real-time (konsert) dan online.

Keempat, simbolik dan maksud mendalam di sebalik lagu. Ia juga mungkin menggambarkan kesetiaan dan keteguhan Kid dan Din untuk terus berdiri dengan jatuh bangun Search.

Kelima, Kid mendapat sound yang sewajarnya malam itu dan ia abadi dalam kenangan.

Menerusi perkongsian komen-komen di media-media sosial dan pautan YouTube, semua melahirkan rasa kagum dengan persembahan Teguh oleh Search itu.
Apatah lagi, kemampuan vokalis baru Denden dianggap telah melepasi pass test tertinggi sebagai vokal dalam misi legasi Search.

Saya sebak sebaik dengar mereka mainkan lagu tu, rasa seperti mahu menangis. Tapi saya seronok dapat tengok persembahan mereka berdua. Saya puas hati. – Hattan

 

Mengalir air mata time lagu ni berkumandang.. dengan riff gitar,  gitar solo, keyboard… paling tak tahan time solo kid naik bulu roma beb.. perfect! – Din AQihsyam

 

Entah kenapa gua tiba2 sedih dengar lagu ni..memori zaman dulu dtg semula. persembahan untuk teguh ni betul2 masuk dlm hati gua

 

Jatuh air mata jantan gua..feel kid ikhlas.. smpai.. kid betul2 menjiwai. power Search! – AhTung TV

 

Solo lagu ni mlm tu bt tak leh move on..puluhan kali tgk kat youtube mmg epik💖

Bagaimana satu karya yang berusia 30 tahun masih kekal eksotik, menyengat dan menyentuh lubuk sanubari semua orang, ia seolah-olah entiti bernyawa yang hanya bangkit apabila diseru tuan seikhlas dan seadanya.

Dalam suasana sekarang yang tidak menentu serta kejelikan politik semasa, wujudnya kelompok peminat yang memahami aspresiasi lagu ini secara tidak langsung memberi harapan bahawa dalam negara kita sebenarnya tidak ketandusan mereka yang menjiwai seni muzik sebenar dan nilai kemanusiaan dalam lagu – masih ada masa depan. Dan Teguh Search adalah penyambungnya.

#ChivasAlexandria

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅