3 Artis Independen Yang Tidak Sempat Jadi Lebih Gah Kerana Pandemik

oleh Chiv Iscandar
1.4K bacaan

Menjelang 18hb Mac 2021 ini, kita akan menyambut ulangtahun pertama pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menyebabkan banyak aksi persembahan dan aktiviti muzik tempatan di Malaysia tergendala.

Sebelum Mac 2020, arena muzik independen tempatan adalah sangat meriah dengan penganjuran banyak gig, konsert atau festival dan tiga (3) artis/ band ini telah menjadi buruan utama peminat-peminat namun akibat pandemik, mereka terpaksa berputih mata dan menyebabkan kemasyhuran mereka terencat:

1) Iqbal M

Iqbal M, band Indie Malaya dengan tema ‘Moden Rokes’ di bawah label Luncai Emas (M Nasir) ini seolah-olah bintang pop yang namanya sentiasa berlegar-legar dan meniti bibir ramai orang sekitar penghujung tahun 2019. Dengan antik pentas yang gila-gila dan huru-hara, Iqbal M menjadi headliner banyak gig dan konsert independen walaupun baru setahun jagung. Band ini menjadi aksi yang sering dinanti-nantikan orang jika ada persembahan. Namun, kegemilangan mereka terbantut kerana pandemik dan sehingga kini, kurang khabar atau material baru daripada mereka. Pasti ramai yang rindukan kelibat mereka di atas pentas, bukan?

2. Zynakal

Zynakal menjadi artis rapper era baharu yang namanya meniti naik sekitar penghujung 2019. Beliau mencapai kemuncak dengan lagu epik ‘Sakit’ (feat Yonniboi) dan pada sekitar Februari 2020, lagu tersebut mula mendapat perhatian ramai dan sering diputarkan di radio-radio utama. Tiba-tiba, Zynakal dan ‘Sakit’nya menjadi antem yang sangat popular seantero negara. Namun, kegemilangan Zynakal juga terbantut dengan wabak pandemik. Sepatutnya, dengan ‘Sakit’ beliau sudah menjelajah ke sana ke mari mempromosi lagu-lagu beliau dan membawa ‘Sakit’ ke pentas-pentas festival. Apakan daya.

Ia diburukkan lagi dengan penyingkiran lagu ‘Sakit’ dari senarai akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun ini yang telah dibantah dan diprotes oleh ramai orang serta juri dibidas teruk. Tetapi, umum tahu Zynakal seorang artis yang sangat berpotensi dan walaupun tersingkir di AJL, semua mengakui tahap star beliau. Sabo je la, “Kalau kau rasa tak dihargai, tutuplah mata pegangkan hati’.

3. No Good

Band punk rock dengan loghat Kelantan ini adalah aksi paling ‘exciting‘ awal 2020 dengan ramai pengikut dan kelompok peminat. Antem popular mereka, ‘Che Using’ benar-benar memberi tuah kepada No Good apabila digilai ramai orang. Namun seperti Iqbal M dan Zynakal, No Good juga tidak sempat mengecap kemasyhuran berganda setelah wabak pandemik melanda.

Mungkin jika tiada pandemik, No Good sudah melangkah lebih jauh dan menjadi kumpulan punk paling gempak dekad 2020-an. Selepas pandemik, tidak banyak kedengaran daripada mereka kecuali 1-2 persembahan virtual. Harap mereka tidak gantung gitar kerana ramai peminat merindukan mereka, Yak Boktey!

Jadi, demikianlah kisah 3 serangkai artis dan band independen yang gah sekitar awal tahun 2020 tetapi tidak sempat mencapai kegemilangan berganda akibat wabak pandemik dan pelaksanaan PKP.

#ChivasAlexandria

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅