Istilah ‘Kayangan’ menjadi popular dan trending sejak akhir-akhir ini. Ia merujuk kepada satu golongan yang dikatakan bebas melanggar SOP Covid-19 termasuklah melancong dan berbulan madu berbanding orang-orang biasa dan jelata yang akan didenda jika berbuat demikian.
Namun, bukan itu yang hendak dibincangkan. Dalam khazanah muzik Malaysia, ada juga lagu yang menyentuh tema ‘Kayangan’ walaupun tidak banyak jadi ini 3 lagu terbaik ‘Kayangan’:
1) Kayangan – Drama Band
Drama Band, band pop indie terbaik tempatan mengeluarkan lagu berentak Modern Rock ini pada tahun lepas untuk mengkritik golongan yang disebut kluster ‘Kayangan’. Lirik lagu ini memang sangat pedas dan menghambat golongan-golongan tertentu yang dikatakan ‘kluster kayangan’ ini termasuklah menteri.
Antara liriknya:
Kau sangka kau dari kayangan, Apakah kau sudah lupa? Kau berjalan dan kau bernafas, Bermakna kau mampu tewas.. // ..Kau masih terus berangan, Kau sangka wang itu kebal
2) Merak Kayangan – P Ramlee
Lagu oleh seniman agung negara, P Ramlee ini diambil dari filem ‘Hujan Panas’ tahun 1953. Lagu yang berentak ala-ala Frank Sinatra ini cuba menggambarkan perbezaan darjat dalam percintaan antara ‘kayangan’ dan ‘gagak di rimba’ diikuti dengan nyanyian syahdu P Ramlee.
1) Gerbang Kayangan – Sil Khannaz
Lagu yang menjadi tajuk album terbesar kumpulan Metal, Sil Khannaz ini tidaklah menggambarkan tentang kluster kayangan musibat per se, tetapi lagu ini adalah karya Metal teragung tempatan yang pernah dihasilkan.
Dengan kombinasi lirikal sastera Melayu dan sanskrit, ‘Gerbang Kayangan’ adalah satu pengalaman sonik yang mengasyikkan. Daripada seawal riff intro sehinggalah ending ala Rock N Roll, lagu ini benar-benar membangkitkan nostalgia terutama abang-abang Metal kental.
Walaupun telah berusia 25 tahun (sejak pertama kali dikeluarkan pada tahun 1996), ‘Gerbang Kayangan’ masih kekal megah sebagai opus Metal paling hebat di Malaysia dan rantau Nusantara.
#ChivasAlexandria