Tahun 2021, 24hb September ialah ulangtahun ke-30 kelahiran satu album yang telah mengubah sejarah muzik dan kehidupan seluruh generasi di dunia iaitu ‘Nevermind‘ oleh kumpulan Nirvana.
Mengandungi 12 lagu termasuklah ikonik ‘Smells Like Teen Spirit’, ia boleh dianggap mukjizat kepada muzik moden.
Berikut 10 dalil mengapa ‘Nevermind’ ialah mukjizat kepada muzik dan seluruh dunia moden:
1. Membunuh karakter ‘Rock Star’ dalam muzik
Sebelum Nevermind, manusia didongengkan hanya mereka dalam kalangan artis dan pemuzik berpengalaman sahaja yang boleh mengeluarkan lagu. Nevermind mengubah lanskap tersebut dengan menunjukkan sesiapa sahaja dari pelbagai latar belakang boleh mengeluarkan karya muzik.
2. Melahirkan semula Punk Rock dalam bentuk versi baharu.
Nirvana mengangkat semula Punk Rock sebagai genre keramat yang menjadi asas muzikal dan mesej anti-establishment mereka menerusi Nevermind. (Ia juga adalah satu jujukan tersirat kepada album punk tersohor Sex Pistols – Nevermind The Bollocks.)
3. Merintis Grunge sebagai aliran dan ‘agama’ rasmi muzik dunia baharu
Nirvana secara tidak sengaja bertanggungjawab mewujudkan satu genre baharu yang sebenarnya menjadi asas tapak aliran muzik dan Rock moden sehingga kini.
4. Perintis kepada pelbagai cabang dan aliran muzik baharu.
Tanpa Nevermind, tiada Korn, tiada Linkin Park atau mana-mana Deathcore dan Nu Core yang bertebaran menembusi petak-petak bunyi Spotify dari seluruh pelusuk benua.
5. Mesej semua orang boleh bermain gitar (Anyone can Play Guitar)
Seperti agama, Nevermind juga memberi perutusan bahawa semua orang boleh bermain muzik dan ‘bermain gitar’.
6. “Nirvana adalah Peminat, Peminat adalah Nirvana”
Nevermind membuktikan mereka sebagai artis dan peminat adalah satu, dengan aras kedudukan dan peringkat yang sama, tiada beza dan status yang memisahkan antara mereka. (Kurt sendiri enggan menjalani kehidupan ala selebriti yang bertentangan dengan nilai hidup beliau)
Nevermind juga ialah tesis karya ulung yang menitikberatkan nilai perasaan seperti angst, disillusionment dan alieanation (alienisasi) yang seterusnya dikongsi oleh jutaan peminat – satu eskapisme yang nyata daripada masyarakat arus perdana di sekeliling mereka.
7. Petunjuk muzikal kepada seluruh artis generasi baharu (X, Milenial dan Z)
Nevermind adalah sumber rujukan muzikal yang memberi petunjuk kepada semua generasi tentang bagaimana tesis karya ulung akan terus mendepani zaman dan pelbagai era.
8. Membunuh hipokrasi muzikal gitar solo dan skala akademik.
Nevermind menunjukkan kita tidak perlu jatuh kepada falasi John Petruci atau Dream Theater untuk bermain muzik yang dapat mempengaruhi kehidupan manusia.
9. Bakat, kreativiti dan karya agung sebenar berada di tepi jalan dan tempat yang tidak terduga.
Nevermind membuktikan karya-karya agung sebenarnya dari jalanan seperti Nirvana yang mengharung sirkit-sirkit kecil dan ruang sempit gigi-gig sebelum kelahiran album tersebut.
10. Kurt Cobain mati meninggalkan legasi muzikal agung yang kekal dirujuk sepanjang zaman
Seperti para ikon nabi dan rasul, Kurt perlu mati untuk membolehkan legasi berpanjangan seperti juga agama yang menjadi titik rujukan kehidupan sepanjang masa.
Kesimpulannya, Nevermind ialah mukjizat muzikal yang mana prometusnya memberi impak, pencerahan dan panduan yang sangat besar kepada dunia kerana daripada kelahiran ini, semua jenis muzik yang melata dan tumbuh pada era pascamoden kini berasal dari sumber inspirasi dan satu origin iatu – ‘Nevermind’.
#ChivasAlexandria