47 Lagu-Lagu Rock & Metal 2020

oleh Firz Shukri
9K bacaan

Tahun 2020 merupakan tahun yang kurang baik bagi industri muzik Malaysia. Namun ia tidak mencacatkan pengeluaran produk muzik yang memberangsangkan. Lambakan lagu-lagu rock setia menemani rockhead sepanjang tahun ini. Lagu-lagu yang disenaraikan merupakan lagu-lagu yang mempunyai pautan YouTube agar mudah dilayan oleh pembaca. Beberapa band besar yang meriliskan lagu-lagu baru seperti Suffercation, A.C.A.B dan lain-lain tidak disertakan kerana mereka tidak meletakkan lagu mereka di platform YouTube.

Lagu-lagu ini disenaraikan secara random, tidak mengikut ranking. Layan bro…

1. Metalasia – Silantraku Kembali

Gergasi metal kita telah kembali selepas sekian lama berehat panjang. Metalasia meriliskan sebuah single pengubat rindu kepada peminat mereka dengan kualiti yang padu. Bisa orang lama memang tidak mengecewakan. Kita tunggu apa lagi yang mereka akan bawakan selepas ini.

2. Hujan feat. Ijam Restraint – Bila Kau Jatuh

Ya, sekali lagi Hujan kembali bermain muzik hardcore. Dan nampak mereka melakukannya dengan baik. Lagu ini mengukuhkan nama mereka sebagai band rock paling berpengaruh sepanjang tahun 2020 dan rock masih tidak mati. Memang sehingga hari ini, pengaruh mereka masih utuh dan sukar disaingi.

3. Copero Viper – Wali Pendekar

Veteran heavy metal yang membuat comeback dengan bergaya sekali. Lagu Wali Pendekar adalah lagu metal yang membawa kembali semangat heavy metal yang pernah menggegarkan industri muzik kita pada penghujung 90’an dan awal 2000. Kekuatan lagu ini adalah kerana ia keluar dari hati yang ikhlas terhadap originaliti idea dan kreativiti para rockers berpengalaman.

4. Massacre Conspiracy – Nothing Last Forever

Raja metalcore yang masih bertahan sedangkan rakan-rakan seusia mereka sudah hilang dari radar. Lagu baru dengan line up baru merupakan cara terbaik untuk memulakan perjalanan dalam dekad baru 2020’an ini. Sebuah lagu yang baik. Kita sama-sama nantikan sejauh mana mereka akan terbang selepas ini.

5. No Good – Che Using

Kemunculan trio punk rock dari pantai timur ini berjaya mencuri perhatian. Dengan lagu-lagu rock rancak yang dinyanyikan dengan loghat Kelantan, mereka mencipta satu originaliti yang sebenarnya semakin terhakis dari band-band tempatan sejak kebelakangan ini.

6. Penunggu – Gurindam Terkukur

Ketika mana kebanyakan anak muda menganggap genre heavy metal sebagai muzik ketinggalan zaman, Penunggu antara generasi muda yang berani menongkah arus menghasilkan lagu-lagu yang dipengaruhi New Wave of British Heavy Metal dengan gaya yang terkini. Buktinya adalah lagu Gurindam Terkukur yang menyelitkan elemen tradisional dengan sangat bergaya.

7. Silent Angel – Aurora’s Dream

Power metal dan symphonic metal sebenarnya agak asing di Malaysia, dan itu menjadikan lagu Aurora’s Dream ini istimewa. Karya band projek Silent Angel ini antara yang membuatkan tahun 2020 agak unik dan cantik kerana diisi dengan muzik seperti ini.

8. Transition – Konversasi Sulit

Berani dan tekad. Satu percubaan yang tidak pernah dijangka akan dilakukan oleh Transition untuk bereksperimen dengan puisi yang puitis di dalam muzik berat. Ini adalah karya paling kreatif dari Transition dan wajar dipuji kerana lari dari tipikal post hardcore sedia ada.

9. Bunuhdiri – Disembodied Liberation

Unit brutal death metal ini masih menggemparkan. Genre ini semakin kurang mendapat perhatian menjadikan material Bunuhdiri kali ini sangat istimewa. Dengan kewujudan lagu ini, extreme metal ternyata masih bernyawa dan tidak mudah untuk mati walaupun trend tidak memihak kepadanya.

10. Krusty – Bleed

Unit hardcore yang pekat dengan gabungan metal dan hardcore ini menjadikan tahun pandemik 2020 lebih keras daripada yang dijangka. Ini adalah single dari album debut mereka, Kill Your Enemy yang juga rilis pada tahun ini.

11. SOG – Sailors Of Sorrow

Satu kesyukuran apabila SOG tidak meninggalkan tahun 2020 dengan tangan kosong. Sempat juga mereka mencicirkan buah tangan untuk menutup tahun ini dengan sebuah lagu metal yang gempak dan kental. SOG tidak pernah mengecewakan.

12. Patriots – Sumire

Ada mulut-mulut yang mengatakan muzik rock sekarang perlu menjadi pop untuk kelihatan moden di zaman ini. Patriots telah menampar muka mereka dengan lagu Sumire yang moden dan terkini tanpa perlu menjadi pop. Sebuah lagu yang segar dan bertenaga.

13. Nemesys – Rise And Fall

Ketika anak-anak muda lain berlumba-lumba menubuhkan band dan memainkan muzik-muzik yang lebih ringan dan lembut, Nemesys pula mengeluarkan Rise And Fall yang kekal dengan tradisi muzik rock berat dan keras agar sifat jantan itu tidak mati dari generasi baru kita.

14. Sullivan – Mati Idup Baru

Band Borneo yang benar-benar bagus tetapi underrated. Muzik alternative yang heavy dan moden. Sesuatu yang semakin jarang kita dapatkan dari band tempatan dan sayangnya karya bagus mereka ini tidak diberi perhatian yang sepatutnya. Benar-benar membangkitkan jati diri dan identiti sendiri.

15. Gerilia – Selagi Bernafas

Band projek rock Along Exists ini sudah wujud beberapa tahun lepas. Meskipun tidak menarik perhatian peminat, wajar dipuji semangat Gerilia yang tidak pernah berputus asa dan berhenti mengeluarkan single. Lagu Selagi Bernafas berbaur grunge yang sebenarnya sangat easy listening.

16. Nogas – Nation Of Hatred

Revolusi exreme metal dari Sarawak yang membanggakan. Kekuatan muzik Nogas terbukti dengan lagu Nation Of Hatred yang membawa aliran kemarahan ke dalam urat nadi para pendengar. Jika anda penggemar metal, nescaya muzik dari band Nogas ini akan membuatkan anda jatuh cinta kepada pemuzik-pemuzik Borneo.

17. Overdrill – Fate In The Eyes

Aliran muzik keras dari Sarawak sentiasa menawarkan sesuatu yang segar dan terkini. Band deathcore ini menyajikan lagu Fate In The Eyes sebagai pembakar perasaan dikala genre deathcore di semenanjung semakin sepi ditelan zaman. Gerakan Ekstrim Borneo menjanjikan masa hadapan yang berbeza.

18. Escape Plan – Escape Tonight

Sebuah lagu alternative rock yang bersalut elemen pop punk dan metal ini adalah muzik yang sesuai untuk anak muda generasi 2000. Segar dan berani tanpa meninggalkan elemen agresif yang sepatutnya digenggam erat oleh muda-mudi kita. Lagu yang hebat ini sepertinya memberi amaran, yang Escape Plan bakal mengeluarkan sesuatu yang lebih garang selepas ini.

19. Septigorepholic – Angin Kematian

https://youtu.be/gqZJumTakvk

Sebuah lagu brutal death metal dari Sabah. Dan sememangnya brutal tanpa rasa simpati lagi. Seolah-olah ia sedang merobek isi perut anda dengan rakus lalu menelannya secara mentah-mentah. Keistimewaan lagu ini adalah hasil produksi yang bagus, meskipun beberapa tahun ini genre brutal death bukanlah pilihan yang trendy.

20. Sweetass – Celaka

Bunyian old school alternative rock yang pastinya menggamit memori. Lagu Celaka ini antara karya tempatan yang boleh dibanggakan atau sepatutnya boleh dibawa ke hadapan. Sweetass antara nama yang dominan di dalam genre rock sejak beberapa tahun ini.

21. Berdosa – Crutch For The Weak

Penggemar stoner atau doom pastinya boleh kembang hidung dengan kewujudan band yang bagus seperti Berdosa. Rilisan album dengan pertaruhan trek seperti Crutch For The Weak seolah-olah menunjukkan betapa band Malaysia sebenarnya mampu untuk meneroka muzik-muzik yang tidak terjangkau dalam fikiran kita sebelum ini.

22. Raksar – Melakar

Baru sahaja muncul, Raksar sudah mendapat perhatian yang agak membanggakan. Lagu debut mereka ini memang membuktikan, bukan calang-calang idea yang mereka bawakan. Sangat stylo dan berkarakter, sepertinya Raksar memberikan harapan yang baik untuk masa depan muzik rock di Malaysia.

23. Kapow feat. Along Zip Zieller – Kangkong & Roll

Kapow boleh diibaratkan master kepada rock n roll seperti ini. Idea mereka yang menyelitkan unsur komedi dan politikal dalam lagu ini agak kreatif dalam bersahaja. Terdiri dari barisan pemuzik yang bagus, lagu ini memang wajar diangkat dengan lebih serius.

24. Maddame – Everything To Gain

Veteran grunge yang sentiasa hidup dengan rilisan-rilisan baru. Antara lagu heavy rock yang boleh dilayan jika anda memiliki kepala rock yang rugged dan selamba. Maddame memberi petanda, tahun baru 2021 mereka akan merabakkan lagi scene dengan muzik heavy mereka.

25. Otwo – Psiko

Baru muncul kembali dengan single Propaganda, Otwo membantai pula dengan single Psiko. Menarik sekali apabila mereka membawakan konsep muzik ala-ala band hard rock Amerika seperti Shinedown atau Godsmack. Heavy yang padu dan mantap. Inilah rock yang scene kita perlukan hari ini.

26. Operahaus feat. Pakki Rodriguez – Breakdown Tak Sudah

Anda fikir metalcore di Malaysia hari ini bukan lagi trendy? Tidak, masih ada lagi anak muda yang menolak bermain pop rock seperti kebanyakan band lain, antaranya Operahaus yang masih berani mengeluarkan produk yang heavy dan energetik.

27. Alfarabi feat. Sam Cromok – FormMula

Kembalinya AlFarabi bersama buah tangan baru dan yang mengejutkan adalah kerana penampilan istimewa legenda kita, Sam Cromok di dalam lagu ini. Fuuhh.. walaupun mesej lagu ini ala nasyid tetapi gandingan ini memang benar-benar berapi membakar diri.

28. Modread feat. Rico SOG – Melarayu

Modread nampaknya benar-benar serasi dengan muzik alternative metal mereka. Berani dan terkini, sesuatu yang peminat rock di Malaysia hauskan. Gandingan dengan Riko dari band besar seperti SOG adalah langkah bijak dan bertepatan dengan masanya.

29. Humiliation – Tanjung Kunyit : The Ambush

Gergasi death metal ini kembali sekali lagi dengan lagu yang meyakinkan. Tidak berganjak walau selangkah, Humiliation masih menyajikan peluru-peluru yang menembak kencang di medan perang. Muzik mereka masih lagi kental dengan level metal international.

30. In Rising Affliction – Oblivion

Bakat baru yang muncul dengan muzik metalcore pastinya hebat-hebat kalau berasal dari Borneo. In Rising Affliction memberikan Salam perkenalan kepada rakan-rakan di luar sana, seolahnya selepas ini akan ada barang yang lebih baik akan datang dari mereka.

31. Measmata feat. Edwin of Aylette – Megalomaniac

Band pelapis deathcore tempatan, menghasilkan lagu yang bagus sebagai penyelamat kepada genre ini dari terus pupus. Memandangkan banyak band deathcore dari semenanjung sudah gugur satu persatu, kita boleh menaruh harapan kepada Measmata. Measmata memiliki kebolehan yang wajar diambil secara serius.

32. Bunkface – Akhir Zaman

https://youtu.be/qpe_QFcIwzs

Meskipun awal keluarnya lagu ini, ia dilanda kontroversi, namun ianya tetap sebuah lagu punk rock yang istimewa. Bunkface ketika ini sudah menjadi band anti-genre dan mula menghasilkan lagu-lagu pop, jadi apabila mereka cuba memujuk peminatnya dengan lagu punk rock kembali, sudah tentu ia menjadi barang rare.

33. Black N’ Blues – Anarchy

Meskipun hanya lagu remake, tetapi jiwa, roh dan penghayatannya tidak terusik sama sekali. Sebuah lagu hard rock yang pekat dengan blues dan garage. Bertunjangkan seorang frontwomen yang agresif, mereka berpotensi membawa rock n roll tempatan ke satu daerah yang segar.

34. InHuman – Mata Si Pengkhianat

Gandingan thrash dan death metal yang benar-benar mengasyikkan. Pasti anda dahagakan muzik keras dan berat dengan gaya old-school di dalam Bahasa Melayu bukan? Karya-karya dari band InHuman adalah pilihan yang tepat untuk dijadikan peneman tidur anda.

35. Fourwalls – Give Me All

Lagu punk rock/ alternative rock yang mengingatkan kita kepada Sum 41. Sangat segar, moden dan stylo. Susunan muzik yang agresif menjadikan lagu ini boleh membuatkan darah para pendengar mengalir deras ke seluruh tubuh.

36. Purbawara – Servants Of Alamin

Dengarkan saja keseluruhan lagu ini, kita sudah dapat menjangkakan betapa besarnya nama mereka selepas ini. Sebuah produksi yang mengerikan, setara dengan karya-karya ekstrim metal dari luar. Malah susunan muziknya juga terasa lebih muda dan meyakinkan jika mahu dihantar mewakili scene kita.

37. Nimang Ensera – Telichu Tuai Antu

Konsep yang ditampilkan benar-benar mengingatkan kepada band seperti The Hu ataupun Alien Weaponry. Mengangkat tradisi setempat dengan genre moden ekstrim menjadikan nafas metal anak tempatan sangat membanggakan.

38. Drama Band – JBKT

Setuju atau tidak, Drama Band masih tidak menghampakan dengan setiap keluaran mereka. Tahun ini saja mereka mengeluarkan beberapa single yang rancak. JBKT bukan saja membawa mesej yang membakar, malahan muziknya juga menunjukkan Drama Band semakin matang dan berani.

39. Mothflesh – Skyfather

Entah kenapa nama Mothflesh masih kurang menarik perhatian umum sedangkan mereka merupakan unit groove metal yang sangat berbakat. Lagu ini merupakan bukti konkrit bahawa band ini mampu menghasilkan muzik yang sangat berbahaya.

40. Trophy Knives – Look The Other Way

Tidak mengecewakan sama seperti lagu-lagu mereka sebelum ini. Punk rock moden dan kemas setara dengan band-band punk rock terkini dari luar. Trophy Knives patut diletakkan sebagai band harapan kepada scene kita untuk berkembang luas ke luar.

41. Radikal feat. Azlan – Generasi

Antara nama baru yang menggegarkan scene metal moden pada hari ini tak lain tak bukan adalah Radikal. Band ini mengambil langkah berani dengan mempertaruhkan penyanyi rock yang sudah dikenali ramai, Azlan dari The Typewriter. Dan ternyata hasilnya memang membanggakan.

42. Kristal X – Seragam Hitam

Memang gila betul eksperimentasi yang dilakukan oleh Lan Solo. Meskipun hanya remake semula lagu lama Kristal, namun hasilnya sangat segar dan menyelerakan. Bagaimana pernah terlintas bahawa lagu lama Kristal, Seragam Hitam akan bertugar menjadi sebuah lagu progressive metal di tangan Lan dan rakan-rakannya?

43. Modescape – Liar

Bagi penggemar modern rock yang tidak mengabaikan nilai-nilai komersial, trek Liar ini dikira terbaik untuk pasaran semasa. Entah di mana silapnya Modescape masih tidak berada di tempat yang selayaknya mereka berada. Liar antara lagu modern/ alternative rock terbaik untuk 2020.

43. Humanoid – Al Masih

Sayang betul kalau anda adalah peminat Oja Gegar Vaganza namun tidak pernah tahu tentang band projeknya, Humanoid dan lagu hebat ini, Al Masih. Oja menyerlahkan kreativiti yang luar biasa melalui single ini dengan elemen progressive metal yang tiada tolok bandingnya. Namun kerana kurangnya promosi, sayang lagu ini kurang dikenali.

44. Zerophobia feat. Leaisme – Dursila

Pemuzik metal moden sentiasa ada sesuatu yang hebat untuk disajikan kepada umum. Zerophobia antara bakat baru yang membawakan muzik berat dengan idea yang melangkau kebiasaan. Lagu ini menjanjikan kepuasan kepada peminat muzik berat yang dahagakan pembaharuan.

45. Moneybag – Face of Death

https://youtu.be/WQrJiF8v_64

Wajah baru gerakan hardcore yang mengasyikkan. Awal mendengar lagu ini, disangkakan adalah karya dari luar. Tetapi ternyata ia adalah hasil tangan anak tempatan. Benarlah kita memiliki pelapis-pelapis yang dasyat namun tidak diberikan ruang yang sebaiknya.

46. Yubi feat. Ash Massacre Conspiracy – Kalis Peluru

Projek solo oleh Yubi ini ternyata sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah dibawakannya sebelum ini. Irama post hardcore terkini yang mampat dan padat. Dibarisi pemuzik-pemuzik terbaik scene, lagu ini layak mendapat perhatian.

47. Kristal – Bosan

Ibarat memulakan semula hidup baru, Kristal kembali semula dengan vokalis baru. Lagu Bosan tidak menghampakan meskipun dikritik sebahagian peminat. Vokal Ewan juga dilihat seimbang dengan muzik baru yang cuba ditonjolkan oleh Kristal. Perlu nantikan apa lagi yang akan dibawa oleh mereka selepas ini.

#malaysiarocksong #rocknroll #hardrock #metal

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅