Dalam dunia muzik ini kita disajikan dengan pelbagai genre yang mencorakkan imej sesebuah kumpulan atau individu. Contohnya, genre hip-hop mempunyai fesyen, budaya dan cara hidup mereka sendiri dan begitu juga dengan genre lain.
Namun, mungkin anda sendiri tidak perasan bahawa selain genre-genre popular yang biasa kita dengar, terdapat juga pelbagai genre dan sub-genre pelik yang mungkin anda pernah dengar tapi tidak dapat kenal pasti namanya. Oleh itu, mari kita lihat lima genre pelik yang mungkin anda belum tahu.
1. Vaporwave: Mementingkan Nilai Estetika 80-an dan 90-an
Vaporwave ialah sebuah genre yang mengalunkan muzik chillwave electronic dan ia seakan-akan anda mendengar psychedelic rock atau muzik lo-fi. Genre ini juga sangat mementingkan nilai estetika, keunikan, dan elemen abstrak dalam muzik video, imej lagu serta ilustrasi albumnya.
Bukan itu sahaja, penggiat muzik Vaporwave ini sangat obses dengan budaya atau nostalgia 80-an dan 90-an. Tamsilnya, anda boleh lihat gambar-gambar album atau muzik videonya mempunyai gambar Windows, Gameboy, atau suasana dunia era 80-an.
Antara kumpulan atau penggiat muzik Vaporwave yang terkenal ialah 2 8 1 4, Luxury Elite, Fujii, Sea of Dogs dan Windows96.
2. Black MIDI: Susunan nada muzik berlapis dan memeningkan otak
Black MIDI ialah genre muzik yang terbentuk daripada komposisi fail MIDI untuk membuat lagu atau remix yang mengandungi sebilangan besar nada muzik, selalunya beribu-ribu, berjuta-juta, berbilion-bilion, bahkan trilion.
Dipanggil black kerana susunan nada muziknya sangat rapat sampaikan nampak warna hitam sahaja manakala MIDI bermaksud Musical Instrument Digital Interface.
Black MIDI ini selalunya dikaitkan dengan alunan muzik piano yang sangat laju dan susunan nada muziknya sangat kompleks dan banyak. Penggiat dalam genre ini dipanggil blacker.
Antara blacker terkenal ialah Last Brutal Flandre Sister S. dan Shirasagi Yuki.
3. Horror Country: Alunan Muzik Country yang mempunyai unsur seram
Kepada yang tidak tahu apa itu muzik country, ia merupakan sebuah gaya muzik popular Amerika yang berasal dari kawasan luar bandar di Selatan dan Barat pada awal abad ke-20.
Dikatakan horror country kerana alunan muzik, imej dan muzik videonya mempunyai elemen seram. Selalunya lagu-lagu akan menceritakan tentang pembunuhan, kesedihan dan hantu.
Contoh lagu horror country: Gloomy Sunday, Ghost Town, Old Number 7, dan The Black Bird.
4. Unblack Metal: Sebuah Genre Untuk Melawan Anti-Kristian
Unblack Metal sangat mementingkan falsafah agama yang diadun dengan muzik black metal di mana penggiatnya menentang unsur Satanisme yang lazim terdapat di dalam black metal, atau mempromosikan agama Kristian dalam lirik dan muzik video.
Ia juga dikatakan sebuah gerakan untuk mengajak semua orang supaya kembali kepada agama. Sebenarnya ia diciptakan bagi melawan gerakan anti-kristian.
Antara kumpulan unblack metal terkenal ialah Ancestors, Frost Like Ashes, Horde, Crimson Moonlight dan Grave Declaration.
5. Lowercase: Alunan Muzik Sunyi dan Menyenangkan
Muzik/genre lowercase merupakan gabungan bunyi sunyi dan muzik ambien.
Steve Roden antara pelopor utama dalam genre ini dan dia mengatakan muzik ini selalunya tidak mementingkan unsur catchy atau menarik perhatian tetapi hanyalah sekadar muzik tenang.
Sebenarnya banyak lagi genre/sub-genre pelik yang ada dalam industri muzik di seluruh dunia. Mungkin anda boleh kongsikan genre tidak pernah ramai orang tahu di ruangan komen.
Sumber: