Banyak sekali band-band baru yang masih muda dan bertenaga lahir saban tahun. Cuma sebagai peminat, bergantung kepada kita saja sama ada kita peka atau tidak dengan band-band tempatan ini. Kali ini kita berbicara sedikit dengan band-band berat yang kebanyakan dari mereka kami di Music Addict Malaysia sudah pun perkenalkan melalui artikel-artikel sebelum ini. Namun mari kita ulangkaji semula, menarik atau tidak lagu-lagu yang boleh dikategorikan berat dan padat dari enam buah band ini.
1. May of Scarlet – Afornisme
– Pertama kali diperdengarkan dengan lagu berjudul Afornisme ini, sudah cukup mengujakan sebenarnya. Tidak sangka pula May Of Scarlet akan membawa sesuatu yang sangat berbeza untuk single terbaru mereka ini. Sudahlah di dalam Bahasa Melayu pula. Band ini bukanlah nama baru, meskipun barangkali ramai yang tidak berapa mengenali nama May Of Scarlet. Tahun lepas mereka pernah meriliskan sebuah karya hebat berjudul Saka bersama Riko dari Sekumpulan Orang Gila sebagai penampilan istimewa. Lagu tersebut jelas mempamerkan kemampuan May Of Scalet di dalam genre ini. Namun melalui Afornisme. Mereka benar-benar mahu melarikan diri dari tipikal sound metalcore yang dah biasa kita dengar dari band local. Mereka mula meneroka daerah-daerah yang belum dimasuki orang lain. Lebih modern, segar dan terkini. Seperti komen peminat-peminat mereka, ia sangat dekat dengan sound Bad Omen atau Bring Me The Horizon. Ini sound yang kita perlu isi dalam scene local pada hari ini.
2. Danella – Racist
– Nama Danella pasti masih tidak dikenali ramai, namun mereka pernah muncul dengan single Hopeless sejak dua tahun lepas lagi. Dan terbaru, mereka kembali lagi dengan material yang lebih serius dan tegas, berjudul Racist. Perhhh…mereka nampaknya semakin berani mengetengahkan genre slamming death metal yang kejam lagi buas sehingga menyebabkan punggung terasa panas membahang-bahang. Lima anak muda ini jelas terpengaruh dengan scene slamming antarabangsa yang sedang rancak menjarah isi pelusuk bumi ketika ini. Peningkatan ketara dari segi kualiti melalui rilisan ini berbanding lagu Hopelass dahulu. Vokalnya juga lebih brutal, bersama riff gitar yang mengerikan. Band ini perlu diberi peluang untuk menjadi the next big thing dalam scene metal local.
3. Radikal – Radiasi
– Nampaknya mereka seperti mahu semakin serius, lagu Radiasi ini bukan lagu untuk bermain-main lagi. Sound yang diketengahkan lebih mencengkam dengan lirik yang menggenggam kuat gegendang telinga. Breakdown juga tidak mengecewakan. Dari lagu demi lagi, Radikal sentiasa memastikan prestasi mereka semakin meningkat. Jujurnya Radiasi adalah lagu terbaik yang mereka hasilkan setakat ini kerana garapannya lebih kemas dan menyerlahkan keganasan mereka sebagai sebuah band metal. Memang banyak bau-bau Parkway Drive dan August Burns Red jika dengar sekali lalu. Lirik yang ditulis dengan gaya bahasa unik antara keistimewaan yang Radikal mahu ketengahkan. Memang mengancam.
4. Crazy Grizzly – The Seven Sleepers
– Tidak sangka Crazy Grizzly akan merubah corak muzik mereka menjadi lebih unik dan tersendiri. Pasti pendengar sendiri akan menduga inspirasi mereka kali ini begitu dekat dengan Architects. Dan ya, memang membawakan konsep seperti ini adalah sesuatu yang segar dan lari dari bawaan klise seperti band-band lain yang suka mengitar semula apa yang sudah berlambak di sekeliling kita. Mereka asalnya adalah sebuah band yang membawakan konsep alternative rock/pop punk, yang tiba-tiba menukar corak sejauh ini. Ini adalah kemajuan yang wajar dipuji. Sebenarnya mereka telah bermula dengan sound baru ini sejak single Phoenix mereka keluar pada tahun lepas lagi. Selamat maju jaya kepada Crazy Grizzly. Blerghhh!!!
5. Zerophobia – Seru
– Menyaksikan persembahan Zerophonia di pentas Anugerah Lagu Indie dengan memabwakan lagu Dursila tahun lepas, sudah menduga band ini tidak boleh dipandang sebelah mata. Sayangnya mereka hadir di masa muzik metal seperti ini bukan di zaman gemilang. Namun ia tidak dapat menidakkan mereka dari menghasilkan karya bermutu, sepeti lagu Seru ini. Melodi korusnya benar-benar asyik, lembut dengan anda kemelayuan klasik yang menghasilkan rasa kagum ya amat kepada penulisan mereka. Lihat juga lirik, seperti satu evolusi di dalam muzik berat tempatan, lirik-lirik yang anak-anak muda ini tulis, benar-benar mengangkat jiwa dan minda. Arrangement muzik mereka juga boleh dikatakan bertepatan dengan jiwa dari api yang marak. Keep it up guys.
6. Measmata – Throne Ov Misery
– Entiti deathcore dari Sabah ini benar-benar mengasyikkan. Amaran keras, pembawa panji dari Borneo jangan sesekali dipandang enteng. Kerana sekali diabaikan, mereka akan membakar seluruh tubuh anda dengan muzik yang diluar jangkauan. Tahun 2021 tidak boleh berlalu begitu saja tanpa memahat nama Measmata di dalam ingatan peminat muzik bebas tempatan. Lagu Throne Ov Misery adalah raungan metal yang maha brutal yang pasti mengingatkan anda kepada band seperti Lorna Shore ataupun Sign Of The Swarm. Band ini memberikan harapan untuk genre deathcore kembali hidup di bumi Malaysia selepas satu demi satu pioneer genre ini tenggelam di dasar lautan terdalam. Dengarkan lagu mereka Megalomaniac pada tahun lepas, ia umpama satu sequel demi sequel yang memaksa anda untuk tidur di dalam kelemasan dengan bunyian buas tidak terperi. Ini umpama rasaksa yang sedang menunggu masa untuk membaham anda.
7. Moneybag – Torture In Vain
– Kalau lagu Torture In Vain ini sudah dipilih masuk ke dalam channel Slam Worldwide yang bertaraf antarabangsa itu, agak-agak sejauh mana kehebatan yang akan mereka persembahkan kepada anda? Ya, muzik slam metal lebih fresh dan canggih. Kuat pengaruh deathcore yang diadun sempurna bersama breakdown mematikan urat-urat saraf saat anda mendengar dengan penuh penghayatan. Meskipun usia band ini masih baru, namun mereka begitu pantas meriliskan satu demi satu single umpama melepaskan hawa nafsu yang sudah lama dipendam dalam keadaan resah-gelisah sehingga hasilnya, setiap satu lagu yang mereka tawarkan kepada anda, terasa seperti mendengar buatan dari luar. Ini band memang bukan calang-calang, kalau mereka dikurniakan rezeki, boleh bawa satu revolusi kepada scene muzik tempatan.