Pemuzik Sape’ profesional dan pencipta lagu, Alena Murang, telah melancarkan sebuah video muzik (MV) bertajuk Many Tomorrows, sebuah usahasama dengan Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) sempena Hari Kanser Sedunia bagi tahun ini.
Sambutan Hari Kanser Sedunia telah diwartakan pada 4 Februari 2000 dan diraikan setiap tahun di peringkat antarabangsa. Tema untuk Hari Kanser Sedunia selama 3 tahun akan datang (2022-2024) ialah “Close The Care Gap.”
Jelas masih terdapat jurang dan kekurangan dalam hal kebajikan pesakit kanser di seluruh dunia terutamanya negara dunia ketiga. Penghidap pesakit kanser masih sukar mendapatkan rawatan yang secukupnya. Jurang permasalahan ini amat ketara daripada aspek pendapatan, pendidikan, tahap kesedaran, lokasi, bangsa, jantina, umur dan banyak lagi faktor lain yang perlu ditangani. Penghidap dari kawasan terpencil harus bergerak jauh ke bandar untuk mendapatkan rawatan. Malaysia juga tidak terkecuali daripada menghadapi masalah kebajikan asas ini. Para penghidap dari kawasan pendalaman adalah yang paling terkesan. Kes seperti ini bukanlah sesuatu yang baru bagi pesakit terutamanya dari pedalaman wilayah Sarawak yang adakalanya perlu menggadaikan harta untuk menanggung kos perjalanan, penginapan dan rawatan. Kos perubatan dan rawatan untuk penyakit kanser juga semakin meningkat dan selalunya tidak dibiayai oleh kerajaan. Hal ini telah membebankan kebanyakan pesakit dari segi kewangan termasuklah ahli keluarga mereka. Sebagai natijah, pesakit tidak berkemampuan cenderung untuk meninggalkan rawatan dan memilih untuk hidup dengan kanser.
Tema baru Hari Kanser Sedunia, “Close The Care Gap”, yang diutarakan oleh Perikatan untuk Kawalan Kanser Kebangsaan (UICC) berhasrat untuk mengatasi jurang perbezaan dalam hal ehwal kebajikan pesakit kanser di seluruh dunia. Sebagai ahli UICC, SCAN yang menjadi suara kepada pesakit kanser di Sarawak, amat berbesar hati telah bekerjasama dengan pemuzik Alena Murang dalam menghasilkan muzik video “Many Tomorrows”. Idea penghasilan lagu ini diilhamkan daripada luahan pesakit kanser yang berdepan cabaran mendapatkan rawatan dan amat berharap jurang perbezaan yang menyumbang kepada isu ini dapat diatasi. Pertubuhan ini percaya untuk mencapai matlamat “Close The Care Gap” dan penghasilan “Many Tomorrows” memerlukan kefahaman dan kerjasama setiap pihak. Mereka juga amat berharap lagu ini nanti akan dapat mengajak lebih ramai individu dan banyak pihak melenyapkan jurang perbezaan itu.
Lirik nukilan Alena sendiri ingin mengingatkan tiada individu yang ditinggalkan tanpa mengira latar belakang dalam menghadapi isu ini. Gubahan lagu ini pula diketuai oleh Jonathan Wong Ketshin dan diterbitkan oleh Joshua Maran juga turut diindahkan dengan alunan petikan Sape’.
MV ini telah diarahkan oleh Alwyn Tay daripada Asa Esa Films. Beliau amat tersentuh dengan jumlah rakaman sokongan yang dihantar oleh ahli persatuan dan penghidap dari dalam dan luar negara untuk pembikinan muzik video ini. Penari daripada Zephyr dan ahli Persatuan Masalah Pendengaran Kuching turut menyumbang kepada pembikinan video ini dengan gerakan yang indah dan bahasa isyarat tangan. Penglibatan pelbagai pihak jelas menunjukkan kesungguhan mereka menyebarkan mesej positif dan kesedaran tentang masalah penghidap kanser di Malaysia yang boleh diatasi dengan kerjasama ampuh semua pihak.
Membincangkan pelancaran muzik video Many Tomorrows, Alena berkata “Sejak usia kecil, saya membesar dengan isu kanser. Ibu bapa saya pernah membawa saya bertemu pesakit kanser di Hospital Umum Sarawak untuk bermain dengan mereka dan menghiburkan mereka dengan muzik saya. Beberapa penghidap yang saya kenal baik di kampung mahupun bandar juga berjuang keras untuk melawan penyakit ini. Saya sedar bukan mudah bagi penghidap dan keluarga mereka mengharungi cabaran ini. Oleh itu, saya tidak menolak untuk bekerjasama dengan SCAN. Saya hanyalah penyumbang kecil untuk usahasama sini – ahli kumpulan, SCAN, UICC, penari Zephyr, ahli Persatuan Masalah Pendengaran Kuching, mereka yang menghantar rakaman sokongan dan pasukan sayalah telah memberi sumbangan besar. Saya percaya produk yang terbaik adalah hasil kerjasama yang jitu.”
Beliau juga menambah; “Saya berharap lagu ini dapat memberikan kelegaan kepada penghidap kanser termasuklah mereka yang prihatin; dan juga berharap ini dapat menarik lebih perhatian kepada permasalahan mereka.”
Rentetan pelancaran “Many Tomorrows”, produk t-shirt dan beg kantung juga boleh didapati secara pra-pesanan di laman sesawang Tandang Store (www.tandangstore.com) yang merupakan usaha bersama Alena dengan SCAN untuk menyebarkan kesedaran dan hasil jualan akan disalurkan kepada SCAN.
Ikuti Alena Murang di: