Perjalanan sebagai sebuah kumpulan muzik pop punk dari Kuching Sarawak untuk memahat nama dalam jalur muzik era ini bukanlah satu perkara mudah. Enam tahun setelah ditubuhkan sejak tahun 2017 sehingga hari ini, kumpulan Roses Are Black kini akhirnya tampil dengan video muzik (MV) pertama mereka untuk lagu Face The Truth.
Menurut mereka, seringkali mereka merasa terharu melihat kejayaan kumpulan-kumpulan anak muda yang berjaya menempa nama. Perkara tersebut mereka ambil sebagai cabaran dalam usaha menghasilkan projek muzik yang diidamkan dan terus mencuba untuk benar-benar menghasilkan muzik yang diyakini berkualiti dengan identiti tersendiri.
Semua 4 ahli kumpulan Roses Are Black yang dianggotai oleh Arthur Belare (vokalis utama & gitar), Stephen Martin (vokalis kedua & gitar), Joshua Marilyn (bass) dan Bryan Kallang (drum) masih lagi tidak menyangka MV pertama mereka ini sudah mencatatkan jumlah tontonan di YouTube lebih dari 4,000 kali dalam tempoh satu hari sahaja selepas diluncurkan.
Menurut Arthur, “Kami memang mengharapkan jumlah tontonan yang banyak, namun kami tidak sangka untuk mendapat lebih dari 4,000 tontonan di hari pertama. Rata-rata komen yang kami terima di ruangan YouTube juga amat memberangsangkan dan membuat kami semangat untuk meneruskan perjuangan kami dalam menghasilkan lagu di masa akan datang “.
Stephen pula menambah, “Semestinya, catatan tersebut satu pencapaian dan permulaan baik daripada sebuah kumpulan yang sudah lama menyepi seperti kami. Perkenalan kami sudah lama, kami telah berkawan sejak dari bangku sekolah lagi dan kami semua mempunyai angan-angan untuk membawa kumpulan ini menjadi lebih berjaya.”
MV pertama mereka tersebut telah dirakamkan di Project Borneo (Jambu), Kuching, Sarawak. Proses rakaman yang mengambil masa hanya 1 hari itu telah diarahkan oleh Sydney Atin dari Ensera Creatives. Jurukamera rakaman video pula adalah Syahrizan Ramlee yang berpengalaman beberapa tahun dalam dunia rakaman dan turut mahir dalam proses mengolah video secara profesional.
Lagu Face The Truth berkisar tentang kisah realiti ahli-ahli kumpulan Roses Are Black. Kesemua mereka bersetuju bahawa setiap manusia tidak mempunyai cerita dan kisah jalan hidup yang sama. Maka, amatlah penting untuk seseorang itu memberi semangat antara satu sama lain agar tidak ada manusia yang rasa tersisih akibat kritikan yang diiterima dalam kehidupan.
Jika melihat MV berdurasi 3:45 minit itu pula, pasti penonton akan tertanya-tanya jalan cerita sebenar di sebaliknya. Ia sebenarnya berkisarkan tentang kisah buli yang banyak berlaku di luar sana. Maka, 9 orang yang memegang kad manila di dalam MV ini adalah mangsa buli yang mahu menceritakan kisah pembulian yang telah berlaku ke atas diri mereka.
Bagi pihak MAMY, cubaan kumpulan ini berusaha menghasilkan MV pertama sebenarnya adalah sesuatu yang boleh diberikan pujian. Namun begitu, adalah lebih baik jika MV tersebut disertakan sekali dengan satu jalan cerita yang berkaitan dan bertepatan dengan lirik lagu agar pendengar boleh memahami maksud lagu tersebut dengan lebih mendalam.
Lagu Face The Truth dari EP pertama kumpulan Roses Are Black ini sudah boleh dinikmati di pelbagai platform digital seperti Spotify, iTunes, Deezer dan Amazon Music sejak 3 Januari 2022. Terdapat juga 5 lagu lain yang mengiringi lagu ini seperti Addiction dan Here Tonight.
Setelah sebulan EP dikeluarkan diikuti dengan MV pertama ini, mereka turut merancang untuk menghasilkan MV untuk lagu seterusnya. Menurut mereka sebelum mengakhiri temubual bersama penulis, “Perancangan rapi telah dibuat untuk MV ke-2 dan akan datang, kami akan mengumumkan semuanya di Instagram dan Facebook supaya peminat dapat menikmati bersama hasil kerja keras kami.”
Ikuti Roses Are Black di: