Berita yang memeranjatkan pada awal tahun 2021 ini aialah kematian Alexi Laiho, gitaris/ tunggak utama Children of Bodom yang ditemui mati di rumahnya dekat Finland akibat isu kesihatan berpanjangan pada usia 41 tahun.
Imbas beberapa kegilaan Alexi bersama Children of Bodom:
Bodom After Midnight – (antara antem Metal teragung dunia)
Lake Bodom:
Hate Me:
Menubuhkan Children of Bodom pada 1993 sehingga menjadi antara band Metal termasyhur Scandinavia (Finland) di bawah label Nuclear Blast dengan 10 album studio sepanjang 26 tahun, pengaruh awalan Alexi sebagai gitaris sebenarnya ialah Glam Metal 80-an dan tentunya Yngwie Malmsteen yang menjadi sumber utama identiti beliau.
Sentuhan gitar beliau lebih bercorak neo-classical (Malmsteen), Rock 80-an dan Heavy Metal. Perkara yang menarik, Alexi ialah gitaris Metal dengan skil yang paling terhampir dengan gaya permainan solo lagenda agung dewa gitar Yngwie Malmsteen. Apatah lagi, kedua-duanya datang dari lubuk benua yang sama (Yngwie dari Sweden).
Laiho Sang Pencinta Black Metal
Kerana Laiho sangat cintakan Black Metal, tetapi berasa sedikit terpinggir kerana genre tersebut kurang mengiktiraf permainan solo dan riff-riff teknikal.
Dalam temubual dengan Guitar World (2010), dia pernah mengulas:
“Wa sangat cintakan Black Metal. Tapi bro, masa tu korang tak boleh letak solo dalam lagu black. Ada semacam taboo kalau letak, kau mungkin dianggap tak ‘true’, budak-budak akan pandang ko amenda shial dia ni shred ke laut pulak.”
“Jadi, Bodom adalah manifestasi abadi aku untuk mencantumkan aspek gitar teknikal dalam Black Metal.”
Benar, Children of Bodom muncul sebagai antara band Metal terulung dunia dan Alexi adalah satu-satunya virtuoso gitar yang berjaya menempelkan unsur teknikaliti ke dalam Black Metal tanpa menjatuhkan atau mencemari nilai ‘kesucian’ genre itu sendiri.
Versatiliti Alexis (Black Metal Goes Pop)
Alexi, untuk makluman merupakan seorang gitaris yang sangat versatil, satu keunikan dan kualiti yang ‘sangat jarang ada’ di kalangan pemuzik. Berupaya menampilkan pelbagai lapisan genre ke dalam antem gelap Metal dengan sentuhan magis beliau.
Selain versatiliti, Alexi juga menerapkan unsur humor dalam karya-karya Metal tanpa ada sedikit rasa canggung, cengeng atau cringe. Antaranya seperti cover Britner Spears – Oops.. dan kumpulan Poison – Talk Dirty to Me.
Oops I Did It Again! – Britney Spears cover
Talk Dirty to Me (Poison):
Waris Generasi Malmsteen Terakhir
Pemergian Alexi sesuatu yang sangat mengesankan namun pencapaian beliau bersama Children of Bodom akan menjadi legasi yang berpanjangan kerana beliau adalah antara satu-satunya pewaris terakhir solo Malmsteen di kalangan lapisan generasi yang ada sekarang dalam arena Metal.
Mungkin sukar hendak mencari gitaris Metal sevirtuoso atau sekualiti Alexi selepas ini, di tangannya adalah seperti kata keramat beliau,
“Muzik adalah tentang mencipta sesuatu yang belum pernah terjadi; ia umpama kembara tak berpenghujung – kau tak pernah tahu apa yang akan berlaku tapi kau tahu apa yang kau lakukan“.
#ChivasAlexandria